suria

Lagu Duet Satukan Peminat Ramlah Ram & Sleeq

Ramlah Ram.
Ramlah Ram.
Ramlah Ram.

KUALA LUMPUR: Selepas kemunculan lagu Sesaat Kau Datang duet di antara Ramlah Ram dengan kumpulan Sleeq dari Singapura berkumandang di corong radio tempatan, kedua-dua artis tersebut mengakui populariti mereka kian meningkat.

Menurut Ramlah, peminatnya yang tidak mengenali Sleeq yang dianggotai oleh Alif Abdullah (Alif), 22, dan Ahmad Syarifullah Ahmad (Syarif), 22, itu mula menyukai kumpulan tersebut dan begitu juga sebaliknya.

“Ada juga peminat baru yang mula meminati saya selepas mendengar lagu “Sesaat Kau Datang” disiarkan di radio.

“Saya tidak menjangkakan respons yang begitu baik memandangkan lagu ini masih baru dihasilkan. Malah saya mendapat tahu lagu ini sudah menjuarai carta di Hot FM,” katanya semasa sidang media Sesaat Kau Datang bersama Ramlah dan Sleeq di Hotel Quality, di sini, Rabu.

Buat julung kalinya juga, Ramlah dan Sleeq dipertemukan memandangkan sebelum ini mereka berhubung menerusi telefon dan merakamkan lagu ini secara berasingan.

“Sebelum ini saya hanya mendengar lagu Sleeq di YouTube dan mendapat informasi tentang mereka menerusi ahli kelab Ramlah Ram Group (RRG).

“Semuanya bermula pada Mac lalu setelah wartawan dari Singapura yang bertanya bila saya akan ke negara itu dan terus mencadangkan nama Sleeq memandangkan saya memerlukan artis yang boleh menyanyi lagu rap dan R&B.

“Saya terpikat dengan bakat mereka dan pada bulan Mei lalu mendapat persetujuan daripada Sleeq setelah menghubungi salah seorang anggotanya, Syarif,” kata Ramlah.

Selepas rakaman berlangsung, lagu ciptaan ID Mifzal serta lirik oleh Zie Syafruddin, Syarif dan Alif itu disusun semula oleh Manusia Putih.

Mereka akui walaupun lagu itu dirakam secara berasingan, namun mudah untuk mencipta keserasian dalam lagu.

Lagu ini akan dimuatkan dalam album Ramlah yang dijangka siap pada tahun hadapan yang turut memuatkan lagu Cinta Gila, Sejadah Cinta, Seandainya dan Benar Mencintai (bersama Faris AwanBand).

Dalam perkembangan lain, Ramlah turut sibuk menyiapkan rakaman album ini, merancang untuk membikin klip video dan membuat persembahan pentas dengan Sleeq.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain