suria

Sekolah Menengah Wangsa Melawati Pentaskan 'Gelanggang Tok Wali'

Antara barisan pelakon yang menjayakan teater Gelanggang Tok Wali.
Antara barisan pelakon yang menjayakan teater Gelanggang Tok Wali.
Antara barisan pelakon yang menjayakan teater Gelanggang Tok Wali.

KUALA LUMPUR: Teater Gelanggang Tok Wali bakal dipentaskan di Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati di sini sebagai projek amal tahunan sekolah tersebut bermula 4 hingga 6 Mac ini di Dewan Bestari, sekolah itu.

Menurut Pengarah Program, Josaidy Johari, naskah asal yang diambil dari buku teks Kompenan Sastera (Komsas) tingkatan 5 itu bukan sekadar untuk tujuan amal, malah merupakan cara pengajaran paling efektif kepada pelajar.

“Pementasan teater kali kedua ini berikutan sambutan menggalakkan yang diterima pada tahun lalu iaitu pementasan Ludin. Ia dilihat berjaya bukan sahaja mengutip dana sekolah tetapi juga secara tidak langsung merupakan proses pembelajaran yang mudah.

“Kami mahu sekolah ini menjadi sekolah pertama yang aktif dengan pementasan teater secara tidak langsung menjadi contoh kepada sekolah lain di Malaysia,” katanya pada sidang media dan pra-tonton teater Gelanggang Tok Wali, di sini Selasa.

Menurut Josaidy, teater yang akan dipentaskan selama tiga hari ini juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar sekolah tentang teknik pementasan teater yang betul.

“Kita turut mengambil pelakon-pelakon teater dari Istana Budaya dan pelajar-pelajar teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara ) bagi membantu menjayakan teater ini. Ia bertujuan melatih pelajar dalam bidang seni persembahan sepertimana pementasan sebenar di Istana Budaya.

“Beberapa pelajar sekolah ini juga turut terbabit sebagai pelakon dan belakang tabir menjayakan pementasan ini,” katanya.

Tambah Josaidy, Idea pementasan teater ini telah dimulakan sejak Disember lalu dan kini sedang dalam peringkat latihan.

Teater hasil karya Ismail Kassan itu membawa mesej bahawa seorang guru silat iaitu Tok Wali berhadapan dengan konflik usia tua.

Namun dia masih aktif mengajar silat dan kadang-kadang berasa bongkak dengan kebolehan ilmu persilatan.

Ini mengakibatkan keris kesayangannya menjadi senjata yang membunuhnya ketika bergelut dengan seorang penagih dadah.

Teater ini akan dilakonkan oleh Mazlan Tahir, Umi Kalsom, Syazwan Hashim, Siti Aziz, Moh Azam dan Bohari sementara Meor Hashim Manaf bertindak sebagai pengarah artistik.

Tiket untuk menyaksikannya boleh didapati dengan harga RM20 dan RM10 dan ia turut terbuka kepada pelajar dan orang ramai yang berminat.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Josaidy Juhari di nombor 01-3035420 atau melalui Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati.

Artikel Sebelum

Artikel Lain