suria

‘Ajaran Cinta’ Zahiril Adzim

PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim (gambar), duta Amnesty International Malaysia (AIM), akan menjayakan program Ajaran Cinta di Galeri Annexe, Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 13 Februari ini.

Program yang menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk tayangan filem pendek Maruah dan dokumentari Zarganar: This Prison Where I Live ini bermula dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang.

Sebagai duta AIM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia, Zahiril bukan sahaja mengajak orang ramai hadir untuk menonton beberapa filem dan mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan nanti.

“Program ini merupakan idea bersama antara saya dan Amnesty International Malaysia. Ikutkan, saya telah lama terlibat dalam memperjuangkan hak asasi manusia menerusi karya teater dan penulisan sebelum ini.

“Tetapi apabila menyertai Amnesty, saya semakin terbuka dan mendapat banyak pendedahan tentang hak asasi.

“Jika berpeluang, saya akan mempromosikan perkara ini agar para remaja lebih peka tentang hak asasi dalam kehidupan mereka,” katanya yang bergelar duta AIM pada Disember tahun lalu.

Pelakon teater Banduan Akhir di Sel Akhir ini akan muncul pada pukul 10 pagi semasa tayangan filem pendeknya berjudul Maruah dan sesi soal jawab selepas selesai tayangan tersebut.

Tambahnya: “Saya mahu mengajar cinta sesama manusia, kepada agama dan alam. Walaupun seseorang itu tidak mempunyai agama (free thinker), tetapi sekurang-kurangnya dia mempunyai perasaan cinta. Jadi ia dapat mengurangkan isu keganasan.”

Kata kekasih pengacara Shera Aiyob lagi, dia juga akan menjadikan program itu dan AIM sebagai platform untuk meluaskan ilmunya.

“Jika berpeluang menyertai persidangan dunia melibatkan Amnesty, saya mahu menyertainya dan bercita-cita untuk berjumpa dengan salah seorang duta Amnesty di dunia ini iaitu Yoko Ono yang juga bekas isteri mendiang John Lennon,” ujar pelakon drama 6 Progresif lagi yang turut menantikan kemunculan lima buah filemnya.

Filem-filem tersebut adalah Senjakala, Bunohan, Tolong Awek Ku Pontianak, Ada Sesuatu Yang Tertinggal dan Klip 3GP.

Selain itu, dia akan terlibat dengan penggambaran drama Juvana.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain