suria

Benarkah Astro First Hancurkan Filem Tempatan?

SEJAK stesen televisyen swasta Astro melancarkan perkhidmatan Astro First pada 11 Januari lalu, pelbagai reaksi yang diberikan oleh penggiat-penggiat seni filem tanah air.

Bagi yang menyokong, mereka melihat Astro First mampu menyelamatkan penerbit-penerbit filem yang gagal meraih kutipan tinggi apabila produk mereka disiarkan di saluran berkenaan selepas ia tamat tayangannya di pawagam.

Kewujudan perkhidmatan tersebut juga dilihat boleh memberi peluang kepada penggiat filem memperoleh hasil keuntungan yang lebih atau senang kata ‘duit poket’ kepada mereka.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, yang dipetik daripada artikel keluaran mStar Online minggu lalu berpendapat pengenalan Astro First akan menjadi satu era baru dunia perfileman tanah air kerana ia dapat membantu penerbit filem kecil mencari keuntungan.

Ini kerana promosi percuma turut diberikan sebelum ditayangkan pada saluran tersebut dan pada masa yang sama ia adalah jalan terbaik bagi menyekat masyarakat daripada membeli cekera padat digital (DVD) cetak rompak secara berleluasa.

Namun, sejauh manakah kebaikan yang mampu diperoleh oleh penerbit filem tempatan jika masyarakat sudah selesa menonton filem di rumah pada masa akan datang?

Apakah kaki wayang masih setia ke panggung apabila Astro First diperkenalkan? Tambah pula kini hampir setiap rumah memiliki televisyen LCD serta ‘home theater system’, ia pasti mengundang keselesaan dan kepuasan dalam menyaksikan sesebuah filem tersebut.

Menerusi saluran Astro 480, Astro First menawarkan perkhidmatan tontonan filem-filem baru dengan hanya perlu membayar RM15 bagi setiap judul filem yang ingin ditonton.

Dari segi keuntungan pihak Astro First akan membayar kepada produser berdasarkan jumlah tertentu bagi setiap RM15 yang dibayar oleh pelanggan.

Sebagai permulaan, perkhidmatan Astro First bakal menyiarkan tiga filem baru iaitu Aku Masih Dara, Damping Malam dan Ngangkung.

Berdasarkan temu bual pihak Mingguan mStar dengan beberapa penggiat seni tempatan, mereka mengatakan kewujudan perkhidmatan Astro First yang menyiarkan filem-filem baru pada saluran tersebut selepas dua minggu ia ditayangkan di pawagam, mampu merosakkan industri filem tanpa disedari.

Filem tempatan boleh lingkup – Erma Fatima

Walaupun penerbit dan pengarah, Erma Fatima, tidak lagi terbabit dengan penghasilan filem selepas mengarah Diva Popular pada tahun 2006, dia begitu prihatin dengan jatuh bangunnya industri perfileman.

Baginya, Astro First boleh menghancurkan filem tempatan secara senyap kerana masyarakat tidak akan ke panggung menonton filem tempatan lagi pada masa akan datang nanti.

“Tanpa disedari ia boleh menjahanamkan industri kerana orang akan kurang ke pawagam untuk menonton filem tempatan.

“Masyarakat hari ini baru saja menerima filem-filem tempatan dengan baik, tiba-tiba perkhidmatan sebegini pula muncul.

“Perlu diingat, Astro First dibuka tanpa mengambil sebarang risiko. Mereka akan meraih keuntungan berdasarkan langganan yang dibuat. Saya pun tak faham mengapa sesetengah penerbit bersetuju bekerjasama dengan mereka (Astro First),” katanya dengan nada kesal.

Tambah Erma, sepatutnya pihak Astro perlu mengkaji dan berbincang dengan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) serta persatuan-persatuan filem lain sebelum memulakan perkhidmatan tersebut untuk melihat kebaikan dan keburukan saluran itu.

Malah perkhidmatan tersebut perlu ditentang seratus peratus oleh pihak persatuan melainkan filem tersebut disiarkan selepas enam bulan tamat tayangan di panggung seperti di negara-negara luar.

“Saya tidak melihat kepada wang ringgit tetapi kita boleh agak masa depan filem tempatan kita akan jatuh seperti yang pernah berlaku di Indonesia dahulu.

“Sudahlah selama ini panggung wayang menganaktirikan filem-filem tempatan dengan mewujudkan syarat wajib tayang. Mereka lagi suka dan boleh hidup dengan tayangan filem-filem antarabangsa sahaja.

“Pelik, kenapa tiada siapa mengambil tindakan tentang hal ini dan apabila Astro First muncul, segelintir mereka menyokong. Nampaknya industri kita akan lingkup,” tegasnya.

Bagaimanapun, Erma berharap agar pihak penerbit filem memikirkan masa depan filem terbitan mereka sebelum memberi kerjasama menyiarkan filem dalam Astro First.

“Saya tak kisah Asto First diwujudkan. Cuma janganlah siarkan filem yang baru ditayangkan selepas dua minggu, sekurang-kurangnya biarlah selepas lima atau enam bulan tayangannya.” katanya.

Beri kesan buruk – Ahmad Puad Onah

Sementara itu Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah berkata, walaupun kemunculan Astro First merupakan medium baru kepada penerbit untuk meraih keuntungan, ia perlu dikaji semula agar tidak mengganggu perjalanan industri perfileman tempatan.

Katanya, dari segi pelan jangka panjang ia ternyata memberi kesan buruk. Lebih-lebih lagi apabila rancangan untuk menambahkan jumlah pawagam sebanyak 10 hingga 12 buah tahun ini, ia pasti akan menjejaskan dari segi kehadiran jumlah penonton di pawagam.

“Sukar untuk saya katakan di sini kerana pihak persatuan perlu mengkaji semula baik buruk perkhidmatan tersebut diwujudkan. Memang ia sebuah platform baru dalam dunia perfileman kita dan secara umumnya kita sokong.

“Bagaimanapun dari segi kesan jangka masa panjang, ia mungkin akan terjejas. Saya difahamkan pihak pawagam sedang berbincang dan meneliti semula rancangan untuk penambahan jumlah pawagam di negara kita.

“Ini kerana, bila filem baru mula ditayangkan di panggung, masyarakat hanya perlu menunggu untuk beberapa minggu sahaja sebelum menikmati filem tersebut di rumah. Mereka tak payah nak tengok wayang.

“Lebih-lebih lagi bila ia melibatkan keluarga, langganan RM15 bagi sebuah filem adalah jumlah harga yang murah untuk ditonton dengan jumlah orang yang ramai,” ujarnya.

Tambah Ahmad Puad, selain menjejaskan kutipan tiket pawagam, berkemungkinan besar ia memudahkan pengedar cetak rompak yang mampu merakam filem tersebut menerusi saluran itu.

“Jangan terkejut jika DVD cetak rompak filem tempatan akan bertambah kerana kerja pengedar cetak rompak akan menjadi lebih senang.

“Tapi biasalah, dalam mana-mana perniagaan sekalipun, untuk memperoleh sesuatu, kita perlu korbankan sesuatu Ertinya, jika pihak penerbit ingin menjana pendapatan dengan cara perkhidmatan tersebut, mereka juga perlu berkorban dengan mengambil risiko masalah cetak rompak.

“Saya rasa jika ingin meneruskan perkhidmatan sedemikian, ada baiknya jika kita mengikut cara di Hollywood yang hanya membuat ‘home video’ dan siaran televisyen selepas enam bulan sesebuah filem baru itu ditayangkan,” katanya.

Bagaimanapun pihak PFM sedang menunggu pihak Finas untuk berbincang dan mengkaji semula kelebihan dan kekurangan perkhidmatan Astro First.

Justeru itu, jika kajian mendapati saluran itu memberi banyak keburukan berbanding kebaikan, berkemungkinan besar perkhidmatan tersebut perlu diubah cara tayangannya.

Difahamkan, mesyuarat akan diadakan pada minggu depan untuk mendapatkan gambaran jelas dan kesan-kesan terhadap industri perfileman berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun pihak Finas akan membuat pemantauan selama sebulan bagi memastikan filem yang disiarkan itu tidak menjejaskan kutipan jualan tiket.

Tidak semua mahu ke panggung - Pensyarah

Pensyarah Kanan Penyiaran dan Pengiklanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhamad Sham Shahkat Ali, pula berpendapat, pengenalan Astro First merupakan satu alternatif baru kepada masyarakat yang tidak gemar ke panggung.

Ia juga di lihat mampu menarik minat orang ramai agar menonton filem-filem tempatan di rumah.

“Kita perlu melihat perspektif audiens yang berbeza. Perlu diingat, tidak semua orang yang gemar ke panggung wayang. Justeru, kita memiliki dua audiens yang berlainan iaitu kaki wayang dan golongan yang menunggu tayangan filem di televisyen.

“Bila terdapatnya saluran baru, ia mampu menarik lebih ramai orang untuk menyaksikan sesebuah filem itu,” katanya.

Bagaimanapun tambah Sham, pihak penerbit perlu menerima keadaan di mana sasaran kutipan boxoffice mungkin tidak dicapai.

“Saya tak nampak perkara ini dapat menjejaskan industri perfileman tempatan. Dengan trend baru ini, ia menjadi satu pilihan buat orang yang kurang gemar ke panggung wayang dan mereka ada pilihan sama ada mereka ingin membeli DVD ataupun melanggan Astro First.

“Saya percaya jika kita lihat ia secara positif, tiada kerugian yang berlaku. Sebaliknya jumlah penonton yang menyaksikan sesebuah filem itu yang akan bertambah,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Nia Ramadhani Hamil Anak Sulung

Artikel Berikut

Aktif 5 Terap Unsur Humor

Artikel Lain