suria

"Soal Asyraf"’ Temui Penonton 26 Oktober Ini

PETALING JAYA: Program bual bicara terbitan Astro Oasis (saluran 106), Soal Asyraf akan menemui penonton mulai 26 Oktober ini, setiap Selasa, pukul 7.30 malam.

Program yang disiarkan sebanyak 13 episod itu merupakan penampilan sulung Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan (gambar) sebagai pengacara selepas dinobatkan sebagai juara Imam Muda pada akhir Julai lalu.

Menerusi program arahan pengarah Muhammad Adlan Shaharir ini, Asyraf akan memberikan jawapan yang jujur dan meyakinkan berdasarkan pemahaman melalui pengalaman, ilmu dan pendidikan yang diperoleh selama ini.

Dia akan menjadi dirinya sendiri dan berinteraksi sebagai seorang sahabat untuk memberikan penjelasan kepada penonton secara santai terhadap isu yang dibincangkan

Jawapan dan penjelasan itu nanti akan dikukuhkan dengan sumber ayat al-Quran dan Hadis yang Sahih.

Soal Asyraf yang disiarkan selama 30 minit itu akan membincangkan isu yang lebih sejagat. Untuk menarik minat golongan muda, Asyraf akan membincangkan pelbagai isu penting serta kaitannya dengan Islam merangkumi aspek sains dan teknologi, populariti laman sosial termasuklah hiburan dan sukan.

Pendekatan secara interaktif digunakan Asyraf untuk menggalakkan penonton menyalurkan soalan dan pandangan. Mereka boleh menghantar terus ke laman Facebook, Twitter, sidang video Skype atau melalui surat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain