suria

Hariz Scampi Jadi Pemuzik Sekembali Belajar Tahfiz di Mesir

BERGELAR anak orang kaya pastinya mudah untuk memenuhi apa sahaja kehendak di hati. Namun, bagi vokalis band Scampi iaitu Hariz, bukan semua keinginannya akan dituruti oleh ibu dan bapanya.

Sebolehnya, Hariz berkata dia tidak mahu terlalu menumpang kekayaan yang dimiliki oleh bapanya, Muinnudin Mohamed. Namun, dia tidak menolak untuk menggunakan alat muzik yang dimiliki oleh bapanya kerana mereka sememangnya berkongsi minat yang sama iaitu muzik.

“Bapa saya banyak mengumpul gitar dan alat-alat muzik lain. Sekarang, dia sibuk dengan kerjayanya sebagai ahli perniagaan. Jadi, saya bertuah kerana dapat menggunakan alat-alat muzik yang dia ada,” kata Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muinnudin.

Sememangnya bakat Hariz dalam bidang muzik diwarisi daripada bapanya. Ini jelas terbukti apabila dia sudah mempunyai bakat dalam menggubah lagu seawal usia 15 tahun.

Cerita Hariz, dia pernah belajar di sekolah tahfiz al-Quran di Mesir semasa berusia 13 tahun. Namun, tidak sampai setahun, dia tidak mampu meneruskan pembelajarannya di sana.

“Saya hanya sempat menghafal tiga juzuk al-Quran. Sebelum itu, saya yang memilih untuk belajar tahfiz semasa bapa saya bekerja di Ghana, Afrika kerana tidak mahu belajar di sekolah antarabangsa.

“Semasa berusia 14 tahun, saya tertarik untuk mempelajari muzik selepas melihat abang saya bermain gitar.

“Saya terus mendaftar di kelas muzik untuk belajar asas tentang muzik selama sebulan di Yamaha Music, One Utama.

“Selepas itu, saya banyak belajar tentang chord muzik menerusi internet,” katanya mencipta lagu pertama berjudul Menunggu.

Ditanya mengenai ilhamnya mencipta lagu dan lirik sejak berusia 15 tahun itu, Hariz yang sedang menuntut di Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) dalam jurusan Multimedia itu berkata dia mencurahkan perasaannya melalui muzik.

“Saya membuat lirik berdasarkan pengalaman lalu manakala lagu yang dicipta datang dari hati. Selalunya saya akan gubah lagu sambil menyanyi.

“Saya lebih selesa mencipta lirik lagu berkisar cinta kerana mempunyai kaitan dengan semua orang. Semua orang mempunyai perasaan untuk mencintai dan dicintai.

“Kalau saya buat album pun, saya akan pastikan lima buah lagu yang dimuatkan dalam album itu menyentuh tentang cinta. Sekarang kami sedang memilih lagu dan membuat rakaman lagu secara perlahan-lahan.

“Kami akan keluarkan EP yang memuatkan lima buah lagu dalam tahun ini dan album penuh akan diterbitkan pada tahun depan. Insya-Allah..,” beritahunya yang memberikan alasan masalah kewangan sebagai faktor mereka lambat menghasilkan EP.

Selain Menunggu, lagu-lagu lain yang akan dimuatkan dalam EP mereka adalah Aku Tahu, Mungkin Ada Kamu dan Berubah.

Kumpulan yang turut dianggotai oleh Ayid (drum), Pg (gitar) dan Wan (bass) ini ditubuhkan pada Oktober 2008.

Artikel Lain