suria

Linda dan Halim Tidak Demanding Seperti Yang Disangka - Yusry

SETELAH diumumkan sebagai barisan baru bagi memantapkan jentera stesen radio Suria FM, Linda Onn dan Halim Othman secara langsungnya mengalas satu tanggungjawab yang agak besar.

Mereka diharapkan mampu menarik sejumlah besar pendengar ke Suria FM terutamanya dikalangan pengikut-pengikut setia mereka yang sedia ada.

Menurut Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusri Abu Samah, Linda dan Halim adalah antara DJ terbaik yang mempunyai pengikutnya tersendiri dan sasaran Suria FM adalah untuk menarik kelompok pengikut setia mereka beralih ke Suria FM.

"Merujuk kepada kajian yang dibuat sebuah badan profesional, Linda dan Halim tergolong antara 5 DJ terbaik di Malaysia. Jadi kami memilih mereka adalah berdasarkan pilihan pendengar bukan pilihan kami semata-mata.

"Sebagai stesen yang sedang meningkat naik, saya akui memerlukan DJ yang sudah berpengalaman dan mempunyai pengikut tersendiri.

"Selain mereka bertanggungjawab membantu memantapkan barisan DJ yang sedia ada, secara tidak langsung DJ yang sedia ada ini akan turut dikenali.

"Jika kita tidak mengambil langkah begini, saya pasti Suria FM akan tetap di tahap yang lama," ujar Yusri.

Dalam pada itu, dia turut mengakui banyak permohonan yang diterima adalah daripada kalangan artis dan selebriti tanah air.

"Saya tahu trend sesetengah stesen radio mengambil artis sebagai DJ, namun saya tidak mahu ambil risiko, mereka tentu lebih banyak komitmen sebagai artis.

"Kami keluarkan belanja yang agak besar, adalah lebih baik kami ambil orang yang betul-betul berpengalaman dalam industri ini," ujarnya yang mengakui sejak memperkenalkan Linda dan Halim sebagai DJ baru kelmarin, Suria FM menerima peningkatan sebanyak 15 peratus Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Selain itu Yusri memberitahu harapan tinggi diletakkan kepada Linda dan Halim bagi meningkatkan prestasi radio Suria FM dan mencapai sasaran utama iaitu menjadi antara stesen radio terbaik pilihan pendengar.

Bagaimanapun, mengulas pendapat yang mengatakan Suria FM mengeluarkan sejumlah wang yang agak tinggi sebagai bayaran kepada Linda Onn, Yusry memberitahu perkara itu sebenarnya tidak berlaku.

Baik Linda mahu pun Halim, masing-masing tidak 'demanding' seperti yang disangka orang lain.

"Kami bayar dengan harga berpatutan dengan pengalaman, populariti serta komitmen yang akan mereka berikan. Lagi pula kita sudah tahu Linda tidak berapa selesa dengan tempat kerjanya dahulu jadi kami cuba tawarkan kepada dia dan dengan mudah dia terima tawaran kami.

"Saya boleh katakan kami suka sama suka," ujarnya menolak dakwaan tersebut.

Linda dan Halim akan memulakan tugas mereka bermula 18 Januari ini. Halim akan digandingkan bersama Zizi bagi mengendalikan segmen 'Suria Breakfast', manakala Linda akan bertugas di sebelah petang bermula jam 4 petang, mengendalikan segmen 'Suria Drive'.

Sementara itu, Suria FM juga telah menyusun strategi promosi bagi memperkenalkan barisan DJ baru dan lama, selain menganjurkan aktiviti promosi ‘Suria FM Rancak Tour’ bersama bersama artis popular menjelajah ke seluruh negara dan menawarkan hadiah hebat.

Promosi bermula Disember lalu dan diadakan setiap bulan hinggalah ke kemuncaknya pada Julai ini berupa konsert secara besar besaran di Dataran Merdeka, KL.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain