suria

Imej 'H' Untuk MUH, Hazama Pula Untuk Nyanyi Solo

Sama ada 'H' atau 'Hazama', kedua-dua identiti itu dimiliki oleh individu yang sama. - Foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Sama ada 'H' atau 'Hazama', kedua-dua identiti itu dimiliki oleh individu yang sama. - Foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Sama ada 'H' atau 'Hazama', kedua-dua identiti itu dimiliki oleh individu yang sama. - Foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI

H atau Hazama, kedua-dua nama itu mula menimbulkan tanda tanya mengenai identiti sebenar yang akan ditampilkan oleh bekas peserta Akademi Fantasia 4, Hazama apabila disebut-sebut bakal menggantikan Lan selaku vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH).

Bagi Hazama pula, dia bersedia untuk membawa dua personaliti berbeza di dalam bidang nyanyian ini jika perkara itu dirasakan perlu.

Menurut Hazama yang ditemui di majlis pelancaran lagu-lagu filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie di Istana Budaya baru-baru ini, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menampilkan dua imej dan personaliti berbeza sebagai penyanyi.

Jika selama ini, peminat dunia hiburan tanah air mengenalinya sebagai Hazama dan imej Pop, penyanyi yang kian aktif beraksi dengan MUH itu mengakui, sekiranya dia dilamar secara rasmi menjadi vokalis kumpulan itu kelak, dia diberi kebebasan untuk tampil dengan dua identiti berbeza.

"Kami memang pernah berbincang sekiranya MUH mengambil saya sebagai vokalis baru mereka, saya tetap diberi kebebasan untuk tampil sebagai penyanyi solo seperti sebelum ini.

"Apabila bersama MUH, saya adalah 'H' seperti yang diuar-uarkan. Sebaliknya, apabila saya muncul dengan aksi solo, saya akan kekal sebagai Hazama," ujarnya ringkas memulakan bicara.

Ketika ditanya tidakkah tindakan itu hanya akan mengelirukan peminat dan orang ramai, Hazama berkata, sebagai penyanyi, dia dan MUH telah berbincang dengan mendalam mengenai isu identiti ini. Malah, isu dua identiti ini sama sekali tidak akan mengganggu fokus dan komitmennya sebagai vokalis MUH mahupun sebagai penyanyi solo.

Bercerita lanjut, Hazama menjelaskan, mereka sudah membincangkan perkara ini dan sebulat suara memberi kebebasan kepadanya untuk beraksi solo apabila tidak membuat persembahan dengan MUH.

Justeru, bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai mengenai status sebenarnya sama ada sebagai penyanyi solo atau pun vokalis kumpulan, dia memutuskan untuk mengambil pendekatan itu.

"Bayangkan jika saya menggunakan identiti 'H' apabila bergerak sebagai penyanyi solo nanti, tidakkah itu akan mengelirukan orang ramai? Jadi, adalah baik, saya tampil dengan dua identiti ini supaya orang ramai akan faham apabila saya bersama MUH, saya adalah 'H' dan apabila saya bergerak solo, saya kekal sebagai Hazama.

"Memandangkan saya bebas untuk tampil dengan album mahupun persembahan solo walaupun selepas bersama MUH kelak, sebagai Hazama saya akan tampil dengan konsep Pop yang sudah dikenali seperti sebelum ini. Manakala, apabila saya bersama MUH, saya akan tampil sebagai 'H'," jelas Hazama yang seolah memberikan bayangan secara tidak langsung dirinya akan dilamar MUH kelak.

Walaupun MUH yang diwakili Taja enggan mengulas lanjut mengenai pengganti Lan, namun daripada cara dan kata-kata komposer berbakat itu seakan mengiyakan tebakan banyak pihak akan status 'H' yang dirasakan bakal menggantikan Lan.

Bagaimanapun, Taja mahupun Hazama masih berteka-teki dan enggan mengulas lanjut mengenai persoalan itu. Sebaliknya, Hazama lebih selesa mengambil jalan selamat dengan mengatakan jika dia benar-benar akan dilamar MUH, kumpulan itu pasti akan membuat pengumuman secara rasmi kelak.

Sehingga hari ini, MUH masih tidak dapat menghebahkan siapa pengganti Lan disebabkan oleh beberapa isu penting yang berkaitan dengan perundangan.

Artikel Lain