suria

Dia (Madu) Wanita Yang Sangat Baik Di Mata Saya - Zizie Ezette

PASANGAN aktres jelita Zizie Ezette dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin yang digosipkan sudah berkahwin telah pun mengesahkan tentang berita baik itu pada 20 Disember lalu, namun sehingga ke hari ini, kedua-duanya masih enggan bercerita lanjut mengenai pernikahan mereka.

Gosip tentang pernikahan Zizie dengan ahli politik dari Sabah itu mula menjadi topik perbualan hangat pada pertengahan Disember lalu di kalangan ahli-ahli parlimen.

Walaupun begitu, aktres berbakat besar itu masih terbuka untuk menjawab beberapa soalan yang diutarakan selepas membina mahligai indah dengan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) itu.

Zizie yang baru pulang dari bercuti dengan suami tersayang berkata dia sudah menemui apa yang dicari-cari selama ini iaitu kebahagiaan dan ketenangan.

“Alhamdulillah, kehidupan saya bertambah bahagia dan tenang. Allah sudah tunjukkan jalan yang terbaik untuk saya.

“Dia (Bung) seorang yang kelakar, bertanggungjawab dan yang penting jujur menyayangi saya,” luahnya penuh syukur ketika dihubungi.

Dalam masa yang sama, Zizie berkata cukuplah mereka sudah mengaku tentang perkahwinan ‘rahsia’ itu. Katanya lagi, tidak perlulah semua orang mengetahui lebih lanjut tentang perkahwinan itu.

Pelakon yang sedang popular menerusi drama ‘Suraya’ ini berkata mereka juga tidak mungkin akan membuat apa-apa sidang media untuk mengumumkan info tentang perkahwinan itu.

“Saya tak akan buat sidang media…semua orang sudah tahu tentang pernikahan saya, jadi buat apa nak buat sidang media lagi kan?

“Yang penting saya dah selamat bernikah,” ulasnya lagi.

Sebelum ini, Zizie berada dalam keadaan serba-salah kerana terpaksa cakap berlapik kerana takut menyinggung perasaan beberapa pihak.

Sama seperti Bung, beliau juga berkata akan mengumumkan mengenai berita baik itu apabila tiba masa yang sesuai kerana tidak mahu melukakan hati banyak pihak.

Bagaimanapun ramai yang mempercayai bahawa 'banyak pihak' yang dimaksudkan oleh Bung Mokhtar itu merujuk kepada keluarganya yang sedia ada terutamanya isteri pertama beliau, Datin Nor Asidah Alimuddin.

Ketika ditanya bagaimanakah hubungan Zizie dengan isteri pertama Bung iaitu Datin Nor Asidah, aktres putih gebu itu enggan memberikan komen sama ada pernah berjumpa atau tidak dengan wanita itu.

“Cukuplah saya katakan dia (Datin Nor Asidah) merupakan seorang wanita yang sangat-sangat baik di mata saya,” beritahu Zizie sejujurnya.

Tentang majlis resepsi yang disebut-sebut akan diadakan itu, Zizie terus menjawab, “Sanding? Saya segan nak sanding-sanding ni..,” seloroh Zizie.

Pada 16 Disember lalu, Bung turut menafikan tentang majlis resepsi perkahwinan yang dikatakan telah diadakan di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur.

Beliau juga memohon semua pihak agar menghormati privasi mereka dan berjanji akan mengundang media jika mereka mengadakan majlis resepsi kelak.

"Saya hanya manusia biasa, saya perlukan ruang dan privasi untuk keluarga.

"Masalah ini (merujuk kepada perkahwinannya dengan Zizie) sudah berakhir. Saya sudah adakah majlis pernikahan dengannya.

"Kenapa terus fokus kepada keluarga saya? Nampak perkara ini seperti tiada penghujung," katanya.

"Tolong jangan ganggu keluarga saya, mereka mahu keadaan yang aman untuk teruskan hidup," katanya lagi.

Artikel Lain