suria

'Redah Kasi Pecah' Tampilkan Pelakon Komedi Popular Tanah Air

SEBUAH lagi program yang bakal mencuit hati para penonton, Redah Kasi Pecah, akan bersiaran menerusi Astro WARNA di saluran 132 dalam pakej Mustika setiap Jumaat bermula 4 Disember 2009, jam 10.00 malam.

Program menarik bercorak permainan yang membawa selebriti-selebriti komedi popular seperti Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan juga para pelapis pelawak berbakat besar tanah air yang dicungkil melalui program realiti Raja Lawak Astro seperti Nabil, Zizan, Along dan Tauke.

Kesemua mereka menjelajah ke pelusuk kampung di sekitar Malaysia untuk bergabung dengan penduduk kampung yang dipilih untuk menyelesaikan cabaran yang diberikan mengikut segmen yang telah ditetapkan.

Menurut Azlina Megat, Pengurus Saluran Astro Warna, "Di Astro, kami sering akur dengan kehendak para pelanggan yang dahagakan program-program yang terbaik dan lain dari yang lain menerusi salurannya yang pelbagai.

"Selepas mempertaruhkan program Mandi di Astro Warna, kami bawakan pula sebuah lagi program bercorak permainan, Redah Kasi Pecah khusus buat tontonan para penonton.

"Kami yakin program ini mampu menarik perhatian ramai berikutan kejayaan program-program bercorak permainan telah terbukti dapat menawan hati para penonton dan berjaya melatakkan kedudukannya yang tersendiri di kalangan para peminat dunia seni hiburan tanahair.

"Sebagai contoh, Astro Ria ternyata berjaya menarik perhatian para penonton melalui program-program sebegini seperti Jangan Lupa Lirik, Bolos dan Kelab Pop. Begitu juga dengan Astro Ceria menerusi program Gerak Geri Gasing tidak lama dahulu,” ujar Azlina.

Azlina turut menambah, ”Istimewanya program 'Redah Kasi Pecah' ini juga ialah apabila selebriti-selebriti ini dibawa menjelajah ke pelusuk kampung serata Malaysia dengan menggunakan bas sebagai pengangkutan rasmi dan latar belakang set penggambaran. Antara negeri-negeri yang dijelajahi termasuklah Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.”

Rancangan 26 episod ini merangkumi lima segmen yang terdiri daripada Redah Cari Kawan, Buat Kasi Betul, Kasi Pecah Kepala, Redah Rewang-Rewang dan Layan Kasi Pecah. Setiap segmen memerlukan mereka untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan dengan pasangan mereka dalam kumpulan masing-masing.

Dalam segmen "Redah Cari Kawan", peserta akan ditugaskan untuk mencari rakan pasukan mereka yang terdiri daripada penduduk kampung yang dilawati berdasarkan petanda yang diberikan di dalam sampul surat.

Peserta terakhir yang tiba di check point yang ditetapkan akan dikenakan penalti dengan memakai baju maskot yang disediakan. Segmen Buat Kasi Betul pula akan memerlukan setiap kumpulan untuk menyelesaikan tugasan yang berbentuk cabaran fizikal. Pemenang untuk segmen bagi ini akan menerima baucar tunai bernilai RM50.00.

Manakala segmen ketiga pula ialah Kasi Pecah Kepala yang mana setiap kumpulan akan bersaing untuk menjawab soalan berdasarkan lokasi kampung dan negeri yang dikunjungi. Peserta dikehendaki meniup belon sampai pecah dan mengangkat tangan untuk menjawab soalan yang diajukan.

Dalam segmen Redah Rewang-Rewang, setiap kumpulan akan bersaing di dalam permainan atau aktiviti tradisonal yang kebiasaannya dilakukan oleh penduduk kampung seperti Coconut Shy (sejenis permainan tradisi orang Portugis), permainan klereng, baling tin, kabadi dan juga seni kaligrafi Cina.

Segmen terakhir iaitu Layan Kasi Pecah memerlukan setiap kumpulan untuk melakukan persembahan secara spontan seperti tarian atau nyanyian tradisional berdasarkan kebudayaan negeri yang dilawati.

Sebagai permulaan, kumpulan kebudayaan tempatan akan mempersembahkan tarian atau nyanyian mereka dan ini akan diperhatikan oleh setiap kumpulan peserta.

Sebaik sahaja kumpulan kebudayaan selesai membuat persembahan, setiap kumpulan akan mengambil giliran untuk melaksanakan tugasan mereka. Pemenang bagi segmen ini akan ditentukan berdasarkan sorakan yang diterima daripada penonton.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain