suria

Filem 'Ummi' bukan jaja kisah keluarga - Azwan

Aksi spontan Azwan ketika diminta berposing. (foto mstar oleh ARIFFUDDIN ISHAK)
Aksi spontan Azwan ketika diminta berposing. (foto mstar oleh ARIFFUDDIN ISHAK)
Aksi spontan Azwan ketika diminta berposing. (foto mstar oleh ARIFFUDDIN ISHAK)

TAJUK filem 'Ummi' yang ditulis dan akan diarahkan oleh personaliti terkenal Azwan Ali, tentang keretakan sebuah keluarga Melayu bagaikan membawa pengertian lain sekali pandang.

Tapi menurut Azwan, filem itu tidak ada kena mengena dengan kisah hidup keluarganya kerana 50% adalah fiksyen dan selebihnya digarap dari pengalaman dan pengamatannya sendiri.

"Tolong jangan salah sangka. Filem 'Ummi' adalah kisah keluarga Melayu dan selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ia bukan pasal cerita adik saya Ummi Hafilda.

"Sebenarnya cerita filem itu ala-ala filem 'Abang' (arahan Datuk Rahim Razali) tetapi lebih dramatik," kata Azwan sewaktu ditemubual di rumah mewahnya sempena majlis terbuka hari raya baru-baru ini.

Jelas Azwan lagi, 'Ummi' berkisar tentang pengorbanan seorang ibu yang tabah dan gigih membesarkan anak-anaknya.

"Skrip filem itu hampir selesai dan saya memilih nama 'Ummi' kerana ianya membawa maksud ibu atau mak. Saya juga akan pastikan filem itu akan menggunakan lagu popular 'Umi' nyanyian Datuk Shake," kata selebriti popular itu.

Kata Azwan, filem itu pasti akan meruntun perasaan penonton lebih-lebih lagi kaum ibu.

"Elemen sedih akan membuat orang menangis dengan sendirinya dan bukan dipaksa," kata Azwan yang kelihatan berseri-seri setelah kembalinya dari menunaikan umrah pada bulan puasa baru-baru ini.

Menurut Azwan, watak utama filem itu akan dibawa oleh aktres Umie Aida dan watak 'Ummi' pula akan ditawarkan kepada Wan Maimunah.

"Saya sudah pun mempunyai beberapa nama lain dalam fikiran. Saya berharap sangat filem ini akan menjadi kenyataan," kata personaliti yang juga bekas graduan Undang-undang ini.

Impian membuat filem adalah salah satu dari doa yang dimohon Azwan ketika membuat umrah.

"Saya memang dah lama teringin menerbitkan filem dan drama berkisarkan tentang isu keluarga. Cuma masalahnya adalah modal. Kalau ada pihak yang berminat boleh hubungi saya kerana skripnya pun sudah siap.

"Malah saya masih ada beberapa skrip untuk program TV yang belum dihasilkan lagi," kata hos popular yang pernah menerbitkan program Cit Cat Azwan itu.

Katanya lagi, dia mendapat suntikan semangat baru kini setelah kembali dari tanah suci.

"Dunia glamor juga membawa erti berbeza kini. Tidak lagi macam dulu. Saya sudah tidak mahu mengejar populariti kerana saya rasa dunia itu sudah jauh saya tinggalkan," kata selebriti berusia 44 tahun itu.

Katanya lagi, tidak ada apa yang lebih membahagiakan selain dapat menjadi seorang anak yang berbakti kepada ibunya.

"Cukuplah...saya sudah merasakan semuanya. Mungkin tuhan hendak saya aktif di belakang tabir saja selepas ini," kata Azwan.

Artikel Berikut

Artikel Lain