suria

Yasmin Ahmad, Lat antara enam ikon 1Malaysia negeri Perak

Seorang gadis Melayu menghayati hasil kerja tangan kartunis Lat di pusat membeli-belah KLCC. -Foto THE STAR oleh RAYMOND OOI
Seorang gadis Melayu menghayati hasil kerja tangan kartunis Lat di pusat membeli-belah KLCC. -Foto THE STAR oleh RAYMOND OOI
Seorang gadis Melayu menghayati hasil kerja tangan kartunis Lat di pusat membeli-belah KLCC. -Foto THE STAR oleh RAYMOND OOI

IPOH: Pengarah filem dan iklan terkenal Allahyarham Yasmin Ahmad dan kartunis Lat mendapat pengiktirafan kerajaan Perak apabila diumumkan sebagai antara enam Ikon 1Malaysia Negeri Perak pada majlis pelancaran program 1Malaysia Bersama Rakyat peringkat negeri Perak di Stadium Perak di sini malam ini.

Yasmin yang meninggal dunia Julai lepas menerima penghormatan berkenaan atas sumbangannya menerokai falsafah 1Malaysia menerusi iklan dan filem arahannya selain keterbukaan dan keberanian beliau mengupas isuisu kemasyarakatan dalam karyakaryanya.

Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohamad Nor Khalid pula atas keupayaannya menyentuh jiwa rakyat Malaysia dan membuktikan konsep sebenar 1Malaysia menerusi lakaran kartunnya yang merupakan cerminan kepada perpaduan kaum di negara ini.

Empat lagi Ikon 1Malaysia Negeri Perak adalah aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye, Dr Ayob a/l Bah Los iaitu anak Orang Asli dari Tapah yang berjaya menjadi doktor pada 1989 dan C. Sarmugam yang bergiat aktif dalam aktiviti Rukun Tetangga di Taiping.

Abdul Rahim Nor Mohd pula telah membuktikan bahawa nilai persahabatannya dengan bekas majikannya yang berbangsa Cina merupakan satu jelmaan nilai dan semangat 1Malaysia yang tidak ternilai. Beliau tetap setia menjaga bekas majikannya itu yang terlantar sakit selama 20 tahun sehingga ke akhir hayat majikannya itu.

Kira-kira 50,000 rakyat pelbagai kaum memenuhi Stadium Perak untuk menyaksikan majlis pelancaran oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh peserta pelbagai kaum yang menggambarkan konsep 1Malaysia.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta beberapa menteri Kabinet.

Selain persembahan nyanyian dan kesenian, program yang dilancarkan pada 8.45 malam itu juga dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti pameran dan gerai jualan yang bermula sejak pagi semalam.

Program itu julung kali diadakan dan ia akan dilancarkan di setiap negeri selepas Perak.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dijangka akan memperluaskan program itu ke Selangor selepas program di Perak. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain