suria

Ahmad Busu beransur sihat, kini bertongkat

KESIHATAN pelakon dan pelawak terkenal Ahmad Busu sudah mula beransur sihat meskipun masih belum boleh berjalan lagi.

Ketika dihubungi, pelawak yang dirawat pada 14 September kerana mendapat serangan strok akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya itu, kini bertongkat 'empat' dan sedang berehat di rumah kampungnya di Taiping, Perak.

"Alhamdulillah sekarang abang boleh berjalan sikit tapi kena pakai tongkat yang ada empat kaki," kata pelawak yang terkenal dengan watak Mat Deris dalam sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Sambungnya, "Abang terpaksa menjalani latihan fisioterapi untuk menguatkan otot-otot kaki."

Menurutnya, serangan strok yang dihadapinya tempoh hari telah menyebabkan dia terpaksa duduk di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama seminggu.

Ahmad Busu dimasukkan ke Wad Neurosains, Tingkat 5 pada pertengahan bulan Ramadan baru-baru ini dan telah dirawat selama 6 hari. Kini setelah dirawat, dia berasa sedikit lega kerana penyakitnya beransur baik.

Menurut doktor yang merawatnya, pelakon komedi itu terkena 'strok' jenis yang tidak boleh timbang atau kawal badan.

Setelah melakukan CT scan, doktor juga mendapati mata Ahmad Busu semakin kabur dan kakinya masih kebas-kebas.

Punca Ahmad Busu, pesakit diabetes, terkena serangan strok beberapa hari sebelum raya disebabkan keghairahannya memakan buah durian. Ahmad Busu mula mengadu yang dia tidak boleh berjalan pada hari Jumaat apabila dia tidak boleh berjalan dan mengimbangi badannya.

Kesan daripada makan durian dengan kuantiti yang banyak menyebabkan Ahmad Busu menderita selama beberapa minggu. Selain paras gula dalam darah naik mendadak, Ahmad Busu juga mengadu sakit kepala yang teruk hinggalah dia terlantar di hospital.

"Nak macam dulu, lambat lagi. Kalau abang dapat berjalan macam dulu pun sudah alhamdulillah. Abang bersyukur tuhan masih sayangkan abang dan dapat beraya dengan keluarga pada tahun ini," jelas Ahmad Busu yang dibenarkan balik dua hari sebelum raya.

Jelasnya lagi dia kini mendapat rawatan insulin untuk mengawal kencing manis dari lebih melarat.

Pelakon yang berusia 56 tahun ini cukup sinonim dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang disiarkan di TV3 terbitan dan arahan Hatta Azad Khan. Kisah komedi yang menceritakan mengenai kehidupan harian penduduk di Flat Seri Wangi ini membawa kemasyuran pada Ahmad Busu.

Kisah ini juga telah dipentaskan sebagai pementasan muzikal pada tahun 2006 serta dijadikan siri komik strip mingguan di dalam sebuah akhbar perdana.

Ahmad Busu telah menderita penyakit kencing manis sejak 13 tahun lamanya. Menurut isterinya, Seri Binti Mohamad, biarpun kurang sihat beliau tetap gagahkan diri meneruskan kariernya dalam bidang lakonan bagi menyara empat orang anaknya - bapa kepada Nur Hamizah, 24, Mohd. Afiq, 23, Muhammad Luqman, 16, dan Nur Hanis, 5,

Akibat penyakit yang dialaminya, sedikit sebanyak telah menjejaskan perjalanan kerjayanya sebagai pelakon dan pelawak sepenuh masa.

Berat badan Ahmad Busu juga telah turun mendadak lebih dari daripada 10 kilogram. Kalau dulu saiz pinggang seluarnya 40 inci tetapi sekarang ia telah susut kepada 36 inci.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain