suria

'Cinta lokasi' Akim dan Mila

BUKAN mudah untuk bintang baru sepertinya diberikan peluang menceburi bidang nyanyian dan lakonan pada masa yang sama, apatah lagi pembabitannya di dalam arena seni ini belum pun mencecah usia setahun.

Siapa sangka, meskipun hanya mendapat tempat ketiga di dalam program realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) tidak lama dulu, perjalanan seni Afiq Akim Ahmad atau mesra dengan panggilan Akim ini dilihat cukup menyerlah.

Bukan saja mempertaruhkan single pertamanya, Bengang, yang rancak diputarkan di stesen-stesen radio, Akim juga turut dipilih membintangi drama bersiri berbentuk muzikal, 'Kau & Aku', yang akan mula disiarkan di Astro Ria pada 24 Oktober ini.

Menariknya, jejaka berusia 18 tahun ini sudah mula 'diintai' sejak berada di dalam AF lagi dan justeru, setelah berakhirnya AF, Akim terus ditawarkan untuk menjayakan drama bersiri kerjasama Malaysia dan Indonesia itu bersama-sama dengan naib juara AF7, Aril.

"Bagi saya, ini adalah rezeki. Memang kalau diikutkan, nyanyian tetap keutamaan saya. Tapi bila diberi peluang berlakon, saya tidak mahu lepaskan kerana sejujurnya, saya ingin kembangkan lagi bakat saya.

"Pertama kali berlakon, saya akui cukup susah sebab memang nampak lakonan saya 'kayu' sangat pada awalnya. Tapi pengarah banyak membantu saya menghayati watak.

"Dan sepanjang melakukan penggambaran drama ini, saya akui pengalaman yang saya kutip cukup berharga terutamanya daripada pelakon-pelakon hebat lain, apatah lagi kami berada di Jakarta, Indonesia selama dua bulan untuk penggambaran drama ini," kata Akim yang ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Pavillion, baru-baru ini.

Selain Akim dan Aril, drama muzikal Kau & Aku yang brkonsepkan ala-High School Musical ini dibintangi oleh Mila serta pelakon-pelakon lain seperti Amar, Farish, Raja Farah, Puteri Fateen Nasuha, Anita Baharom, Ika Nabila, Nonny, Azizah Mahzan, Nurul, Sabrina Ali, Riezman dan ramai lagi.

Hafiz AF7, Stacy dan Dafi juga turut membuat penampilan istimewa di dalam drama arahan Roslan Hussin ini.

Secara ringkasnya, drama bersiri 26 episod yang diadaptasi daripada program televisyen dari Venezuela ini mengisahkan tentang kehidupan dan cabaran sekumpulan remaja yang menuntut di Kolej Seni Persembahan Harmoni. Di sinilah segala mimpi, cita-cita, bakat dan cinta bermula terutamanya di antara Mila dan Akim.

Ditanya tentang gandingannya dengan juara AF5, Mila sebagai 'heroin' drama ini, kata Akim, dia tidak berdepan masalah bekerja dengan gadis itu. Namun, sambil tersenyum, Akim menolak andaian ramai yang mungkin merasakan kedua-duanya sudah berputik perasaan cinta.

"Tidak mungkinlah. Memang cinta lokasi itu wujud, tetapi hanya ketika di lokasi saja. Bagi saya, lebih baik fokus pada karier saja ketika ini. Lagipun, Mila pun tak nak kat saya rasanya," tutur Akim dalam nada berseloroh.

Dalam pada itu, bercerita tentang karier nyanyiannya pula, kata Akim, dia akan tampil dengan sebuah single baru tidak lama lagi yang merupakan hasil ciptaannya sendiri. Buat masa ini, perkara itu sedang di dalam perbincangan dengan syarikat pengurusannya, Astro Entertainment Sdn Bhd.

Selain itu, Akim juga dijangka akan mengadakan penggambaran semula untuk video muzik Bengang setelah tiga kali ia dijalankan semula kerana maslah-masalah tertentu.

"Kali pertama buat video itu dulu, ia berdepan dengan masalah teknikal dan terpaksa diulang semula penggambarannya. Begitu juga yang terjadi untuk kali kedua. Namun, kedua-duanya tidak sempat ditayangkan lagi.

"Kita akhirnya berjaya menyiapkan video tersebut setelah membuat semula penggambaran untuk kali ketiga dan telah pun disiarkan di televisyen. Tetapi, rasanya, saya perlu sekali lagi melakukan penggambaran semula untuk video ini kerana kami menerima aduan daripada penonton gara-gara babak saya memandu sambil pegang telefon bimbit.

"Sebenarnya, kereta itu tidak bergerak pun. Malah, jika ikut kepada 'scene' sebenar di dalam video itu, memang kereta itu tidak bergerak dan saya hanya duduk di dalamnya dan memegang telefon bimbit. Tetapi mungkin penonton rasakan memang saya kelihatan seperti memandu.

"Tak mengapalah. Mungkin bagus juga lakukan sekali lagi video ini untuk kebaikan diri saya juga. Nak kata 'mood' nanti akan lari, saya tidak rasa pula begitu. Malah, mungkin saya boleh mendalami lagi lagu itu dan jadi lebih 'bengang' lagi," katanya dalam nada ceria.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain