suria

Hafiz (AF7) menyanyi sambil beramal pada bulan Ramadan

Hafiz teruja julung-julung kali menyambut Hari Raya sebagai seorang artis.
Hafiz teruja julung-julung kali menyambut Hari Raya sebagai seorang artis.
Hafiz teruja julung-julung kali menyambut Hari Raya sebagai seorang artis.

SEJAK bergelar juara terbaru program realiti Akademi Fantasia (AF7), Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip merasai dirinya merayakan Hari Raya tahun ini dengan penuh kelainan.

Tahun lalu, Hafiz terbayangkan dia meniti hari-hari pada bulan Ramadan dengan membelek buku-buku untuk membuat ulangkaji bagi menghadapi peperiksaan.

Kini, penyanyi berbakat besar dari Kuching, Sarawak ini menghadiri dan beraksi dalam pertunjukan dan persembahan berbentuk amal untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Pada bulan Ramadan yang berkat ini, saya tidak melupakan anak-anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Semoga, nyanyian saya dapat menghiburkan mereka yang kurang bernasib baik," kata Hafiz ketika ditemui di program rakaman Melodi TV3 sempena sambutan Hari Raya baru-baru ini.

Bagi Hafiz yang berhati mulia ini, golongan kurang bernasib baik dan warga emas tidak wajar dilupakan di saat-saat Ramadan dan Syawal.

Selagi kudrat terkerah, dia akan membantu mereka kerana semua insan adalah sama di sisi mata Allah subhanahu wataala. Tiada cacat celanya.

Mengenangkan sambutan Hari Raya tahun lalu, Hafiz berkata, dia dapat merayakannya bersama ibu bapa dan sanak saudara di kampung halamannya - Bumi Kenyalang.

Namun demi mengejar impiannya menjadi artis yang baru menapak kaki di pentas hiburan, Hafiz terpaksa meninggalkan mereka yang tersayang dan berhari raya di perantauan iaitu ibu kota Kuala Lumpur.

"Dulu, hafiz sambut dengan famili. Sekarang dah jauh berubah.. Ini adalah pengalaman baru beraya sebagai artis," kata Hafiz yang lebih gemar menyambut Syawal bersama ahli-ahli keluarga tersayang.

Hafiz sedar itu adalah harga yang perlu dibayar untuk bergelar seorang artis tersohor suatu hari nanti. Hati seorang penghibur tidak semestinya terhibur melainkan menyaksikan para peminatnya terhibur dengan lontaran vokalnya.

Malah dedah Hafiz, demi bergelar seorang artis, dia terpaksa menangguhkan kursus Tourism dan Hospitality Management dari Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) dari Kuching.

Ditanya sama ada dia menyesal memilih jalan hidup ini, Hafiz berkata dia masih akan meniti laluan hidup sebagai artis sekiranya masa boleh diputarkan kembali.

"Kita tidak boleh menoleh ke belakang dalam hidup kita. Kita perlu bergerak ke hadapan. Saya selesa menyanyi untuk menghiburkan para peminat saya," ujarnya yang telah mengeluarkan album terbarunya 'Masih Jelas' baru-baru ini.

Album tersebut turut merangkumi artis-artis seangkatan dengan Hafiz dalam AF7 seperti Akim dengan lagu 'Bengang', Aril (lagu 'Toksid'), Hafiz dan Isma (lagu 'Bisikan...Godaan').

Hafiz memberitahu, dia masih mengidam-idamkan hari-hari dia "berkursus" di AF7.

"Sehingga hari ini, saya masih keluar dengan rakan-rakan saya seperti Aril, Akim, Isma dan lain-lain," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain