suria

Kemenangan Black berjaya tukar persepsi imej dangdut Mas Idayu?

Sebaik diumumkan muncul sebagai juara, Black mematahkan rotan yang sering digunakan mentornya, Mas Idayu sepanjang tempoh tiga bulan lalu - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Sebaik diumumkan muncul sebagai juara, Black mematahkan rotan yang sering digunakan mentornya, Mas Idayu sepanjang tempoh tiga bulan lalu - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Sebaik diumumkan muncul sebagai juara, Black mematahkan rotan yang sering digunakan mentornya, Mas Idayu sepanjang tempoh tiga bulan lalu - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

DI awal perjalanan program Mentor musim ketiga ini, tidak dinafikan kredibiliti Mas Idayu yang dipilih sebagai salah seorang mentor kali ini pernah 'dipertikaikan' oleh sesetengah pihak.

Kemunculan Mas di pentas Mentor buat pertama kalinya bersama rotan di tangan, dengan memperkenalkan Black atau nama sebenarnya Hanifah Md.Hanafiah sebagai protege kira-kira tiga bulan lalu sememangnya tidak terlepas mendapat 'reaksi' negatif oleh sesetengah pihak.

Ada yang mempersoalkan, mampukah dia mendidik protege itu untuk menjadi penyanyi dan penghibur yang mempunyai potensi cerah di dalam bidang ini sedangkan dia hanyalah seorang penyanyi dangdut?

Ternyata Mas berjaya menghakis persepsi tersebut setelah anak didiknya itu dinobatkan sebagai juara Mentor musim ketiga, pada peringkat akhir program itu yang berlangsung di Auditorium MBSA, semalam.

Black berjaya memungut peratusan tertinggi iaitu 75 peratus dan mengetepikan dua lagi finalis iaitu Chaq, protege kepada Ajai yang memenangi tempat kedua dan Fira, protege kepada Lah Ahmad yang mendapat tempat ketiga.

Dengan kemenangan tersebut, peserta berusia 22 tahun itu membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva, manakala Mas juga turut menerima 'habuan' atas usahanya itu dengan meraih RM100,000.

"Saya bersyukur jika kemenangan Black ini dapat mengubah persepsi orang terhadap saya. Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa saya memulakan karier nyanyian saya bukan menerusi dangdut, tetapi pop.

"Saya sebenarnya ingin menjadi seorang yang versatile, sama seperti apa yang saya harapkan pada Black. Dan saya amat gemarkan muzik jazz.

"Tapi ketika itu, syarikat rakaman saya nampak kebolehan saya membawakan lagu asli termasuk dangdut. Memandangkan sewaktu itu muzik dangdut cukup hebat, jadi mereka mahu saya tampil dengan album dangdut," kata Mas yang ditemui pada sidang media sejurus berakhirnya program itu.

Ketepikan soal persepsi itu, kerana bagi Mas, apa yang lebih menggembirakannya ialah kemenangan yang diraih oleh Black atas kesungguhan protege itu sendiri.

"Black bukannya tidak pernah cuba sertai mana-mana pertandingan lain, tetapi dia 'dibuang' seperti sampah. Saya amat mementingkan bakat, tidak kiralah macam mana paras rupanya. Ramai juga artis otai yang tidak ada 'rupa', tetapi masih bertahan hingga hari ini. Dan saya mahu dia Black jadi seperti itu.

"Saya memang berniat untuk membuat sesuatu terhadap perjalanan seninya. Tapi buat masa ini, dia akan mengikat kontrak selama setahun dengan label Monkey Bone dan saya akan lihat apa yang boleh saya lakukan selepas itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Mas turut menjelaskan tentang penggunaan rotan sepanjang tiga bulan dia mendidik Black, yang mana teknik pengajarannya itu turut tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang merasakan cara itu agak 'kejam'.

Apa yang dilakukannya itu, kata Mas, bukan untuk memudaratkan protegenya itu, tetapi ia adalah caranya tersendiri untuk memastikan Black sentiasa menunjukkan kesungguhannya dalam pertandingan itu.

"Nampaknya berbaloi apa yang saya buat ini, iaitu menggunakan cara orang-orang tua mengajar anak-anak mereka dengan menggunakan rotan.

"Sebenarnya, saya sendiri ada berjumpa bapanya dan bertanya sama ada dia setuju saya mendidik Black dengan gunakan rotan. Tetapi keluarganya tidak kisah apa yang saya buat ini kerana sampai sekarang pun, Black masih dididik seperti itu.

"Apapun, halatuju saya dalam Mentor ini ialah untuk jadikan Black sebagai juara, selain ingin melihat dia menjadi peserta yang serba boleh. Dan terbukti dia mampu lakukan.

"Saya juga sebenarnya bangga kerana berjaya menjadi mentor wanita pertama memenangi program ini," kata Mas.

Black juga berkata, dia sebenarnya tidak kisah dengan cara pengajaran mentornya itu.

"Rotan itulah sebenarnya yang bawa saya sampai ke sini. Dan saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Mummy (Mas Idayu) yang memilih saya sebagai protege atas dasar bakat.

"Insya-allah, saya akan cuba menjadi seorang penghibur yang serba boleh dan akan turut mengambil kira apa yang penyokong atau peminat mahukan," kata Black yang akan menggunakan wang kemenangan RM100,000 itu untuk membantu keluarganya.

Ajai ingin hasilkan album Chaq

Chaq yang sepatutnya tersingkir minggu lalu kerana menerima peratusan terendah telah diberi peluang untuk kembali beraksi di pentas akhir, dan ternyata tuah tetap menyebelahinya apabila merangkul tempat kedua program ini.

Chaq atau Camellus De'lelli Anam bersama mentornya, Ajai, muncul sebagai pemenang tempat kedua dengan markah sebanyak 52.8 peratus dan masing-masing berjaya meraih wang tunai sebanyak RM30,000.

Markah persembahan setiap peserta ditentukan oleh juri profesional sebanyak 50 peratus, undian SMS penonton 30 peratus dan 20 peratus lagi ditentukan oleh juri awam yang antaranya terdiri daripada wartawan serta pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.

Juri-juri profesional yang diundang ialah komposer dan pemuzik, Acis, Zainal Abidin dan penyanyi hip-hop popular dari Singapura, Sheikh Haikel.

Ditanya mengenai kemenangan Chaq, meskipun ramai yang merasakan peserta itu hanya mempertaruhkan kehebatan menari, Ajai berkata, dia yakin protegenya itu tetap mempunyai kekuatan tersendiri

"Ini adalah program realiti. Tiada siapa yang dapat meramalkan apa yang terjadi. Saya gembira apabila tiga juri malam ini sudah nampak hala tuju Chaq. Saya akan cuba gilap lagi bakatnya selepas ini.

"Untuk belajar vokal, bukannya boleh makan masa sebulan dua saja. Apa yang penting, kita nampak kebolehan dan potensi dia," katanya yang sudah berbincang dengan label Monkey Bone untuk menghasilkan album protegenya itu.

Ditanya sama ada peluang Chaq untuk bergelar juara juga tidak kesampaian gara-gara kenyataan 'angkuh' Ajai minggu lalu terhadap juri jemputan, Jay Jay, dan dikatakan telah membuatkan undian penonton terhadap Chaq berkurangan selepas itu, jawab Ajai:

"Seperti yang saya katakan tadi, ini adalah program realiti. Lagipun, maksud dalam kenyataan 'balas' saya itu minggu lalu bukannya kasar. Saya berpandukan pada 'range' vokal Chaq.

"Saya tidak mahu orang nampak saya bodoh, sedangkan saya sudah buat banyak lagu untuk ramai artis," katanya.

Sementara itu, Fira atau nama sebenarnya Hunanis Zafira Huzaini yang meraih kutipan markah sebanyak 35.6 peratus hanya mampu akur berada di tempat ketiga. Namun, dia dan mentornya Lah Ahmad tetap menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000.

Mengulas tentang komen juri yang 'keliru' dengan hala tuju sebenar Fira menerusi persembahannya malam tadi, kata Lah, dia bersetuju dengan pendapat tiga juri profesional itu.

"Apa yang mereka perkatakan itu benar...bila Fira keluar dari program ini dan memasuki dunia hiburan, dia memang perlu ada 'direction', muzik yang macam mana yang ingin diketengahkannya.

"Apa yang saya tonjolkan menerusi persembahannya malam ini adalah untuk menunjukkan dia boleh jadi 'versatile'. Tetapi saya akui, jiwa Fira lebih ke arah pop dan ada sedikit rock," kata Lah.

Persembahan peringkat akhir malam tadi menyaksikan setiap peserta membuat persembahan menerusi tiga segmen iaitu secara solo, bersama artis undangan serta lagu baru hasil ciptaan komposer tanahair.

Black yang sentiasa menerima markah tertinggi saban minggu, terus mempamerkan persembahan hebat menerusi lagu medley Jeritan Batinku, Jangan Kau Mimpi dan Nakal; Aku Rindu Sayang Kamu (lagu baru ciptaan Uzai) serta Di Alam Fana Cinta dan Sinar yang merupakan duet bersama Mus dan Shamrin.

Chaq pula menyampaikan lagu baru ciptaan Ajai sendiri, Penjelasan 1per1, medley Tapi Bukan Aku dan Revolusi serta duet bersama adiknya, Stacy AF6 menerusi lagu Aku Cinta Aku Rindu, Jai Ho dan Boom Boom Pow.

Fira telah membawakan lagu Atas Nama Cinta, Mentera Semerah Padi dan Joget Berhibur; duet bersama juara Gang Starz musim kedua, One Nation Emcees menerusi lagu Hurt, Spin Me Right Around dan Don't Stop The Music serta sebuah lagu baru ciptaan Sharon Paul berjudul Bukan Niatku.

Secara keseluruhannya, Black menerima 287,000 undian SMS diikuti dengan Chaq sebanyak 57,000 dan Fira 42,000. Namun, menerusi markah yang diberikan oleh juri awam, Chaq mengutip markah tertinggi iaitu 19, diikuti Black dengan 14 markah dan Fira sebanyak 13 markah.

Markah yang diberikan oleh juri profesional bagaimanapun tidak didedahkan. Namun, pihak penerbitan berkata, markah juri profesional juga lebih memihak kepada Black.

Artikel Sebelum

Artikel Lain