suria

Babak jadi imam dikecam, Marissa Yasmin mohon ampun kepada Allah sebelum berlakon

Marissa sudah mengetahui wataknya bakal menerima kecaman.

SUSULAN kontroversi babak dalam drama Walid, pelakon Marissa Yasmin sudah menjangkakan dirinya akan menerima kecaman netizen selepas melakonkan adegan sebagai imam yang memimpin jemaah lelaki dan perempuan.

Marissa atau nama sebenarnya Marisa Yasmin Marriam Yaakob, 49, berkata dia sedar babak berkenaan boleh mengundang pelbagai reaksi, namun menegaskan niatnya bukan untuk memesongkan akidah sebaliknya memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Mengenai babak menjadi imam itu, saya memang sudah sedia maklum akan menerima kecaman. Sudah tentu saya dihentam teruk kerana ada yang melabel saya cuba memesongkan umat Islam.

Marissa hanya berniat untuk beri pengajaran kepada orang ramai. 

“Namun satu perkara yang pasti,  saya melakonkan babak itu adalah untuk membuka mata masyarakat. Hakikatnya perkara seperti itu pernah berlaku di tempat lain, apabila seorang wanita menjadi imam dan di belakangnya terdapat lelaki serta perempuan yang mengikut solat.

“Jika perkara seperti imam wanita berlaku, masyarakat perlu lebih peka kerana dalam Islam memang tidak ada konsep wanita menjadi imam kepada lelaki,” katanya kepada mStar.

Marissa berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Iftar Viu Together Gather pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Marissa Yasmin pernah berdepan lelaki narsistik, 7 bulan tahan sebelum ‘angkat’ kaki

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Marissa Yasmin lega tuntutan harta sepencarian selesai selepas 8 tahun turun naik mahkamah

Dalam pada itu, Marissa membuat persediaan mental sebelum menjalani penggambaran bagi mengelakkan salah faham penonton terhadap mesej yang ingin disampaikan.

Menurutnya, dia juga mendapatkan pandangan beberapa ustaz bagi memastikan babak berkenaan difahami dalam konteks yang betul.

“Setiap kali hendak menjayakan babak itu, saya akan membuat persediaan mental. Jika saya tahu esok perlu melakonkan adegan berkenaan, malam sebelumnya saya akan berdoa dan memohon keampunan daripada Tuhan.

Marissa sudahpun bertanya pendapat ustaz sebelum melakonkan watak itu. 

“Sebelum buat babak jadi imam, malam sebelumnya saya minta maaf dengan Allah. Saya jelaskan dalam doa bahawa niat saya bukan untuk memesongkan akidah, sebaliknya hanya melakonkan watak bagi menyampaikan mesej.

“Saya juga berasa takut sekiranya perkara yang dilihat seperti menyimpang itu memberi kesan kepada diri saya. Jadi sebelum menjalani penggambaran, saya akan banyak memohon ampun dan berdoa agar diberikan kekuatan,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain