WATAK sebagai Sophia menerusi drama Pabila Dia Tersenyum cukup dekat di hati pelakon Marissa Yasmin kerana pernah berdepan dengan lelaki narsistik.
Marissa atau Marissa Yasmin Mariam Yaakob, 48, mengakui bukan mudah berhubungan dengan individu yang memiliki gangguan personaliti narsisistik (NPD) itu.
"Watak narsistik ini sangat dekat dengan diri saya kerana pernah berdepan dengan individu yang berperwatakan seperti itu.
Marissa mengakui tidak mudah untuk melepaskan diri daripada individu narsistik.
"Untuk hidup dengan seseorang yang mempunyai sifat narsistik tidak mudah dan saya boleh membezakan sama ada individu tersebut mempunyai masalah berkenaan atau pun tidak.
"Selalunya yang nampak jahat adalah mangsa manakala individu narsistik pula akan nampak seperti tidak bersalah," katanya kepada mStar.
Marissa berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran drama Pabila Dia Tersenyum yang diadakan di Sunway Pyramid, Selangor pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Marissa Yasmin lega tuntutan harta sepencarian selesai selepas 8 tahun turun naik mahkamah
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas kejayaan ‘Bidaah’, ‘Pabila Dia Tersenyum’ pula dijangka cetus fenomena
Dalam pada itu, Marissa memberitahu jika seseorang wanita berdepan dengan lelaki narsistik, mereka perlu mempunyai kekuatan mental untuk melepaskan diri daripada terus dikawal.
"Ia memerlukan satu kekuatan diri kerana apabila hidup dengan seseorang narsistik, kita akan hilang diri, kekuatan dan segalanya.
"Apabila berdepan dengan mereka, kita perlu mempunyai bukti yang kukuh walaupun pada akhirnya mereka akan mencari jalan untuk membuatkan kita salah.
Selalunya yang nampak jahat adalah mangsa manakala individu narsistik pula akan nampak seperti tidak bersalah.
MARISSA YASMIN
PELAKON
"Mental juga kena kuat kerana merekan akan dera secara mental hingga membuatkan kita lemah, tidak boleh bercakap," ujarnya.
Ditanya bagaimana dia berjaya membebaskan diri daripada individu narsistik, Marissa berkata dia menetapkan tempoh masa bagi memberi peluang untuk lelaki berkenaan berubah.
"Saya mendapat kekuatan untuk keluar daripada kancah itu apabila saya memberi masa berapa lama nak tahan dengan perangai mereka.
"Lebih kurang tujuh hingga lapan bulan saya tahan tetapi itu pun lama dengan harapan, kita doa dekat Tuhan semoga pintu hatinya dibuka dan beri perubahan.
Barisan pelakon Pabila Dia Tersenyum dari kiri: Adam, Alya, Marissa, Amir dan Iqram.
"Kalau beri peluang kepada mereka, mereka akan gunakan kita sampai kita 'lunyai'. Narsistik ini tidak akan berubah kerana tiada ubat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Pabila Dia Tersenyum turut membariskan pelakon popular termasuk Alya Iman, Amir Ahnaf, Adam Lee, Iqram Dinzly, Zarynn Min, Nazrief Nazri, Rusdi Ramli dan Jay Iswazir.
Pabila Dia Tersenyum mempunyai 15 episod dan mula disiarkan di platform penstriman Viu pada 24 April lalu pada setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!