suria

Ramlah Ram sebak tunggu 'Ketentuan'

Ramlah Ram. - foto THE STAR oleh DARRAN TAN
Ramlah Ram. - foto THE STAR oleh DARRAN TAN
Ramlah Ram. - foto THE STAR oleh DARRAN TAN

PERASAAN penyanyi senior Ramlah Ram bercampur baur, antara sedih dan terharu apabila melihat buah tangan terbarunya, 'Ketentuan' terbentang di depan mata, setelah 10 tahun.

"Semuanya jauh berbeza. Perasaan pun tidak sama bila buat album masa dulu dan sekarang. Saya rasa macam menangis, terharu sangat selepas 10 tahun dapat peluang begini.

"Bukan peluang tak ada, tetapi takut nak buat. Saya rasa takut... kecewa sekiranya album baru tak dapat sambutan. Wartawan pun jauh berbeza, ramai muka-muka baru yang saya tidak kenal sekarang," kata Ramlah yang kali terakhir menghasilkan album penuh, berbentuk tradisional, 'Zapin Yang Tinggal' pada tahun 1998.

Album pop tradisional ini merupakan album terakhir yang pernah dihasilkan pada tahun 1998. Album ini juga membolehkan Ramlah muncul sebagai salah seorang finalis Juara Lagu 1998 dalam kategori 'Etnik Kreatif'.

Selepas kemunculan album 'Zapin Yang Tinggal', penyanyi yang berasal dari Muar, Johor ini hanya menumpukan perhatian buat koleksi album saja.

Penyanyi yang masih mengamalkan sikap merendah diri ini berkata, debaran untuk mengeluarkan album baru 'Ketentuan' sangat dirasai. Meskipun hanya tiga buah lagu baru sahaja dimuatkan iaitu Ketentuan, Radang Rindu dan Aku Dengan Dunia.

"Memang berdebar sangat....tambahan pula terlalu ramai penyanyi-penyanyi muda dan baru. Saya tertanya-tanya, boleh ke saya nak keluar dengan album macam ini? "Bila saja 'Ketentuan', rasa lega sedikit. Alhamdulillah...bila single ini mendapat sambutan dan di terima baik, bertambah terharu rasanya. Bukan tak ada lagu baru tapi takut nak buat. Tak ada confident....," kata bekas Juara Bintang RTM ini.

Ramlah mengaku keyakinannya berubah tiba-tiba bila mendengar lagu 'Ketentuan' hasil komposer Azlan Abu Hassan dan lirik oleh AD Samad.

"Entahlah kenapa rasa lain bila dengar lagu 'Ketentuan'. Saya suka sangat lagu ini," katanya lagi yang pernah menjuarai Juara Lagu 1988 melalui lagu 'Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu'.

Melalui lagu 'Ketentuan', Ramlah sekali dapat peluang mengenggam trofi Juara di pertandingan Akhir HITS sebagai lagu terbaik.

Ramlah antara penyanyi lama yang memang tulus menghargai sokongan peminat terhadapnya selama ini. Kelantangan suara Ramlah apabila menyampaikan lagu tradisional seperti Maharaja dan Zapin Yang Tinggal amat dikagumi.

"Saya kasihan peminat yang selalu inginkan lagu baru dan berbentuk tradisional. Dalam 'Ketentuan' ada tiga lagu baru, harap-harap mereka akan terhibur.

"Bila lagu Maharaja (dikeluarkan pada tahun 2006) dapat sambutan menggalakkan, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk buat full album. Kebetulan pula, pada waktu itu, salah seorang peminat datang nak tubuhkan fan club (FC) yang diberi nama 'Ramlah Ram Group' (RRG).

Ramlah akui, dia memang tidak pernah merasai semua itu seperti FC dan sebagainya, jadi terdetik dalam hati ingin juga ada fan club.

"'RRG' merupakan penyokong dari sekolah lagi. Sekarang mereka semua sudah bekerja dan berkeluarga. Jadi, mereka tunggu Ramlah sampai sekarang. Mereka juga banyak memberi sokongan kepada saya," kata Ramlah yang juga ahli laman sosial Face book.

Kata Ramlah lagi, RRG telah ditubuhkan dua tahun yang lepas dan banyak aktiviti dan projek telah disusun untuk RRG seperti karaoke, sesi suaikenal, makan-makan dan aktiviti riadah yang lain.

Kemerduan suara Ramlah memang tidak ada tolok bandingnya hingga kini. Apa agaknya rahsia Ramlah?

"Ramai yang kata suara Ramlah tak berubah. Saya jarang minum air batu. Memang tak tahan pun. Tapi yang lain semua makan pun.

"Tanya penyanyi lama seperti Datuk Ahmad Jais, mereka semua tak ambil air batu, mungkin sebab itu suara mereka tahan sampai sekarang," kata Ramlah yang meminati suara Jamal Abdillah.

"Apa yang elok, Ramlah cubalah ikutlah...apa salahnya. Bagi Ramlah, bakat itu bukan Tuhan bagi semua orang. Oleh itu, Ramlah akan jaga sebaik-baiknya. Saya bersyukur, anugerah suara kekal hingga kini," kata Ramlah.

Ramlah sendiri tidak sangka, dia mampu bertahan selama ini.

"Ketinggian suara masih sama. Alhamdulillah, masih boleh dengan kunci 'minus one'. Original key pun masih boleh. Harap-harap okeylah sampailah bila-bila," kata Ramlah yang dilahirkan dalam keluarga yang berdarah seni.

Ayahnya, Ram adalah seorang pemuzik ghazal sementara bapa saudaranya, Pak Itam adalah seorang pemuzik juga.

Setelah tiga dekad dalam industri ini dan menghasilkan 10 buah album, Ramlah masih tidak dapat melupakan kenangan manis album paling popularnya, "Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu' yang terjual lebih 450, 000.

Ianya juga tercatat dalam "The Malaysia Book Of Records" dan mencipta nama sebagai artis solo Malaysia pertama mencatat jualan melebihi 450, 000.

"Ini album yang paling nostalgia bagi Ramlah. Ketika itu, nama Ramlah berada di puncak, menang persembahan terbaik, album terbaik, lagu terbaik dan macam-macam lagi.

"Lagu Kau Kunci Cintaku banyak tinggal kenangan kepada saya dan ramai orang. Banyak perbezaan antara komposer lama dan baru. Kebanyakan lagu baru saya, saya tidak pernah bekerjasama dengan komposer baru ini.

"Oleh itu, sentuhannya pelbagai. Saya sudah buat yang terbaik. Saya tidak berharap sangat album ini akan mencapai target. Semuanya terpulang kepada sambutan," kata Ramlah.

Artikel Lain