suria

Daphne mengaku rumah tangganya kini berantakan

Daphne Iking. - foto THE STAR oleh SAM THAM
Daphne Iking. - foto THE STAR oleh SAM THAM
Daphne Iking. - foto THE STAR oleh SAM THAM

KETENANGAN di raut wajah hos popular Daphne Iking tidak dapat menenangkan gelora hatinya yang kini agak berkecamuk dek masalah rumahtangga.

Walaupun runsing dan sedih, Daphne tetap memberi komitmen kepada program Ramadan dan Raya anjuran Media Prima.

Malah, pada satu waktu dulu, gosip tentang keberantakan rumahtangganya banyak diperkatakan di ruang akhbar tetapi lama kelamaan ianya surut begitu saja. Tapi sejak kebelakangan ini, bagai terhidu sesuatu yang tidak kena dengan rumahtangga si jelita ini.

Ketika disapa tentang apa sebenarnya yang sedang bergolak atau adakah ianya sekadar 'ribut di dalam cawan' sahaja, Daphne tidak mampu berselindung lagi.

"Perselisihan faham biasa berlaku di kalangan wartawan, sahabat handai, artis mahupun saudara mara. Ini sesuatu yang lumrah.

"Sedangkan lidah lagi tergigit....," kata ibu muda kepada Isobell yang kini berusia 1 tahun setengah ini.

Dalam nada yang agak sedih, Daphne berkata, "Ini adalah masa yang paling sedih untuk kami berdua.

"Setiap perhubungan menuntut kasih sayang dan pemahaman. Pun begitu, kami berserah kepada ketentuan jodoh (fate)," kata jelitawan yang berasal dari Sabah ini

Daphne tidak menolak kemungkinan perhubungan jarak jauh menjadi salah satu penyebab hubungan suami isteri boleh menjadi renggang. Suami Daphne berada di China kerana menguruskan perniagaannya sedangkan Daphne dan anak mereka menetap di sini.

Hakikatnya keluarga kecil ini jarang dapat bertemu dan bermesra.

"Hakikatnya kami okey. Kami berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan situasi agar keadaan beransur pulih demi Isobell," kata hos popular "The Breakfast Show" ntv7 ini.

Dalam mencari satu penyelesaian, Daphne tidak menolak andaian bahawa masalah yang dihadapi mereka dapat diselesaikan seandainya salah seorang dari mereka beralah dan berkompromi.

Meski agak tertekan dengan keadaan yang dialami sekarang, Daphne menafikan masalah rumahtangganya berpunca dari pihak ketiga.

"Itu tidak benar. Masalah kami tidak akan wujud jika kami dapat meluangkan masa bersama.

"Realitinya, salah seorang dari kami perlu berkompromi jika ada perselisihan," kata Daphne yang memberi pandangan jujur tentang masalah rumahtangga yang dihadapinya.

Bagi wanita gigih ini, merenung masa depan bukanlah penyelesai masalahnya. Daphne yang juga sepupu kepada penyanyi Nikki Palikat ini cuba mengelakkan dirinya terikat dengan pelbagai aktiviti dan projek.

Daphne kini terlibat dalam program pencarian model, The Estee Lauder Model Search 2009. Dia digandingkan dengan teman baiknya Nazruddin Habibur Rahman (Naz).

Gandingan Daphne-Naz ini dianggap paling serasi dan 'ideal' sekali sementelah 'chemistry' di antara mereka cukup baik.

Namun, sesibuk manapun Daphne, Isobell tidak pernah dipinggirkan. Hubungan ibu dan anak ini bagaikan satu terapi mencuri kebahagiaan bersama.

Kasih sayang jelas terpancar di wajah keibuan Daphne. Meskipun liku-liku terbentang luas di depan mata dan keraguan tentang ikatan perkahwinan yang agak kabur, semua ini bagaikan tidak menjejaskan kasihnya terhadap permata hatinya Isobell.

Artikel Sebelum

Artikel Lain