suria

Roslin tarik nafas lega, ingin fokus pada pertandingan

Roslin Hashim
Roslin Hashim
Roslin Hashim

PEMAIN badminton negara Muhammad Roslin Hashim, akui dia akan lebih fokus untuk menyertai dua pertandingan badminton dalam masa terdekat ini selepas kes cerainya selesai di Mahkamah Rendah Syariah di sini, petang semalam.

"Alhamdulillah, kes ini telah selesai. Sekarang saya boleh fokus dan bersedia untuk pertandingan Terbuka Indonesia Super Series dan Terbuka Malaysia," katanya sejurus selepas pengesahan cerai itu dibuat oleh Hakim Syarie Jamil Ahmad.

Sebelum ini, Roslin mengalami banyak dugaan sehingga menjejaskan kehidupannya dan kini dia boleh menarik nafas lega.

"Memang saya rasa lega. Alhamdulillah, inilah waktunya kerana apa yang selama ini tak tahu, sekarang orang dah tahu. Siapa yang benar, siapa yang tak," katanya.

Ditanya siapa yang benar, siapa yang salah, Roslin berkata: "Tidaklah...maksud saya benda ini saya tak nak komen kat sini.

"Kalau saya bercerita nanti, nanti sebelah sana (dia pula yang bercakap). Nanti benda ini tak akan habis," ujarnya.

Roslin juga sempat menyarankan kepada media untuk membuat satu sidang media sekiranya perlu.

"Kalau betul-betul nak, you (pihak media) setkan tempatnya dan biar dia dan saya sahaja yang bercakap. Itu lebih sesuai bersemuka.

"Kerana bagi saya, benda ini tak akan habis. Saya hanya berdiam diri dan dia sahaja bercakap.

"Sama ada nak buat sidang media, terpulanglah. Kes ini telah pun selesai. Bagi saya, tak ada benda nak cakap. Kita dah tahu yang sebenarnya, kan? Itu aje," tambah Roslin lagi.

Sementara itu, Faizah belum bercadang untuk terlibat dalam sidang media yang mungkin diadakan itu.

"Buat masa ini, tak terfikirlah, tengoklah keadaan macam mana. Kalau boleh biarlah habis di sini.

"Saya tak nak cakap di belakang sama ada dari pihak dia atau saya," tutur Faizah.

Faizah juga sempat meluahkan perasaan leganya.

"Sekarang saya rasa amat tenang kerana semuanya sudah selesai," akhirinya.

Artikel Berikut

Artikel Lain