suria

Tiada lagi masalah props dan audio dalam Mentor

Fira bergandingan dengan mentornya menyanyikan lagu Jangan Ada Dusta di Antara Kita
Fira bergandingan dengan mentornya menyanyikan lagu Jangan Ada Dusta di Antara Kita
Fira bergandingan dengan mentornya menyanyikan lagu Jangan Ada Dusta di Antara Kita

PERKARA mengejutkan telah berlaku dalam program Mentor 3 Ahad lalu apabila kayu yang digantungkan dengan kain putih dalam persembahan protege Fira dan mentornya, Lah Ahmad hampir hendak terbalik dan terjatuh ke lantai.

Mujur Fira atau nama sebenarnya Hunanis Zafira Huzaini, 18, sempat memegang dan mendirikan semula kayu itu, jika tidak mungkin masalah lain pula akan timbul.

Jika dilihat secara serius, pihak produksi perlu mengambil satu langkah untuk membendung hal ini dari berlaku lagi kerama ia boleh membahayakan semua pihak.

Bukan itu sahaja, masalah teknikal dari segi audio juga patut dipandang berat oleh team produksi.

Semasa Ajai dan protegenya, Chaq atau Chamellus Delelli Anam, 20, berduet menerusi lagu Gagap, muzik kedengaran lebih kuat dari suara penyanyi.

Jelas produsernya, Sufian Isa, hal seperti itu biasa berlaku apabila siaran secara langsung.

"Apa yang berlaku seperti props dan audio kita sentiasa monitor semasa sedang on air. Jadi, kita akan cuba perbaiki nanti.

"Minggu ini merupakan konsert kedua. Saya lihat ada pembaharuan yang dilakukan oleh protege dan mentor.

"Jadi ada banyak ruang untuk diperbaiki dan saya rasa ia satu permulaan yang baik.

"Rating program ini juga telah mencecah 2.9 juta penonton," jawab Sufian.

Persembahan pada malam itu dimulakan dengan kumpulan A iaitu protege Fira dengan mentor Lah Ahmad, chaq, protege kepada Ajai dan kumpulan Evo, protege kepada Jaclyn Victor.

Setiap peserta diminta menyanyikan dua buah lagu iaitu satu lagu solo dan satu lagi nyanyian duet bersama mentor masing-masing.

Di setiap penghujung persembahan peserta, wartawan sensasi Nas Ahmad akan menemubual mentor dan protege di belakang pentas.

Ditanya apakah relevannya Nas dalam program ini, Sufian berkata wartawan dan penerbit Melodi itu ditugaskan untuk 'mengganggu' peserta di belakang pentas.

"Orang tak tahu apa yang berlaku di belakang pentas. Jadi, apa yang terpendam dan tak diluahkan di atas pentas akan dirungkai oleh Nas.

"Skrip tak diberi sepenuhnya dan secara spontan," ujar Sufian.

Fira membuka tirai persembahan menerusi lagu Merisik Khabar diikuti dengan Jaclyn bersama kumpulan Evo menyampaikan lagu Pergi Untuk Kembali.

Seterusnya, Chaq protege kepada Ajai mengambil tempat di pentas menyanyikan lagu Terima Kasih Cinta.

Kemudian, Fira bergandingan dengan mentornya menyanyikan lagu Jangan Ada Dusta di Antara Kita dan kumpulan Evo menyampaikan lagu solo mereka iaitu Cindai dan Seindah Biasa.

Chaq dan Ajai pula berduet lagu Gagap manakala persembahan terakhir menggandingkan ketiga-tiga protege dengan lagu Sempurna.

Antara ketiga-tiga peserta, persembahan Chaq paling menarik perhatian penonton. Jadi tidak hairanlah jika dia mendapat pungutan markah paling tinggi iaitu 67.9 peratus.

Dengan kemenangan persembahan terbaik itu, Chaq berjaya membawa pulang hadiah berupa baucar RM1500.

Sementara kumpulan Evo mendapat 56.4 peratus manakala Fira mendapat 39.7 peratus.

Markah program yang dihoskan oleh pengacara terkenal Ally Iskandar Mohd Mardzi ini ditentukan oleh 50 peratus dari juri profesional, 30 peratus melalui undian SMS dan 20 peratus melalui juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar muzik, wartawan, penerbit rancangan dan golongan semi-profesional dalam industri muzik.

Konsert minggu pertama itu diadili oleh juri undangan iaitu Zainal Abidin dan Cat Farish.

Secara keseluruhannya, kedua-dua juri itu memuji persembahan peserta dan menganggap mereka ada kekuatan tersendiri.

"Ketiga-tiga protege ada kekuatan suara yang menghiburkan.

"Chaq mempunyai suara yang merdu. Evo mempunyai vokal duo yang bagus, begitu juga dengan Fira," ulas Cat Farish.

Dalam pada itu, Ajai mewakili mentor yang lain berkata semua mentor saling bekerja untuk membantu semua protege yang bertanding.

"Kami selalu berkongsi idea kerana mentor tak bertanding. Ini baru konsert pertama, yang penting masing-masing dapat kepuasan," ujar Ajai.

Setiap peserta diberi peluang membuat persembahan sebanyak tiga kali mengikut kumpulan masing-masing melalui konsert yang diadakan secara selang-seli antara kumpulan A dan B.

Markah dari ketiga-tiga persembahan ini akan digabungkan bagi menentukan dua peserta yang mendapat markah tertinggi dari setiap kumpulan untuk ke separuh akhir.

Protege yang mendapat markah terendah akan disingkirkan. Pada peringkat separuh akhir, dua protege dari kumpulan A dan B ini akan digabungkan semula untuk berentap dan seorang protege akan disingkirkan setiap minggu bagi mencari dua peserta ke peringkat akhir.

Juara akan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva untuk protege manakala mentor pula meraih wang tunai RM100000.

Sementara tempat kedua, protege dan mentor akan membawa pulang wang tunai RM30000.

Minggu depan, kumpulan B akan berentap. Mereka adalah Keena, protege kepada Awie, Thye, protege kepada Adibah Noor dan Black, protege kepada Mas Idayu.

Artikel Lain