suria

Mawi jadi Badang dalam filem muzikal 'Magica'

Pasangan bahagia, Mawi dan Ekin lali dengan gosip.Foto The Star Oleh:AZMAN GHANI.
Pasangan bahagia, Mawi dan Ekin lali dengan gosip.Foto The Star Oleh:AZMAN GHANI.
Pasangan bahagia, Mawi dan Ekin lali dengan gosip.Foto The Star Oleh:AZMAN GHANI.

KALAU sudah bergelar selebriti ada sahaja kisah yang sentiasa menjadi buruan pihak media.

Dari kisah percintaan, kemudian perkahwinan yang digelar 'Wedding of the Year' hinggalah ke kisah bulan madu semua cerita itu perlu dikongsi oleh penyanyi bernama Asmawi Ani atau Mawi ini bersama peminatnya.

Terbaru, isteri kepada bintang popular ini, Nora’Shikin Rahmat (Ekin), 29 dikatakan menjadi punca pemberhentian pembantu peribadi Mawi yang dilantik oleh Maestro Talent, Wan atau nama sebenarnya Wan Firdaus Wan Ibrahim.

Apabila Wan diberhentikan kerja awal bulan Disember lalu, ada pihak yang mengaitkan pemecatan Wan dengan perkahwinan antara Mawi dan Ekin.

Ini memandangkan selepas berkahwin, Ekin telah mengambil alih tugas menjadi pengurus Mawi. Lantaran itu, khidmat Wan sudah tidak diperlukan lagi.

Ada khabar lain mengatakan, Wan 'dibuang' oleh Mawi gara-gara untuk memberi ruang kepada isteri menguruskan segala aktiviti seninya.

Walaupun begitu, cerita orang tidak semestinya benar. Barangkali terlalu banyak yang telah ditokok tambah, untuk menyedapkan penceritaan.

Mawi sendiri tidak terkejut ketika persoalan itu diajukan kepadanya.

Tegas Mawi, sepatutnya kes perlucutan jawatan Wan daripada khidmat sebagai pengurus artis di Maestro itu tidak ada kena-mengena sama sekali dengan dirinya.

Bagi Raja SMS ini, dia menerima apa sahaja kritikan yang dilemparkan kepadanya namun jangan sampai mengaibkan.

"Saya tidak kisah apa orang nak kata, saya akan cuba diam saja kalau ia tidak mengaibkan. Bagi saya asam garam dunia artis ini ada sahaja yang nak lihat kejatuhan kita," kata Mawi yang ditemui selepas sidang media pelancaran Konsert Malam Sinar Maulidurasul 1430H semalam.

Baginya, sudah terang lagi bersuluh isteri tercinta tidak terlibat langsung dalam masalah tersebut kerana pihak Maestro yang telah memecat Wan.

"Ekin memang tidak tahu menahu langsung mengenai hal ini. Semuanya pihak Maesrto yang telah uruskan. Kami dapat tahu pun selepas Wan diberhentikan," ujar Mawi.

Difahamkan pihak Maestro memberhentikan Wan kerana dia melanggar peraturan dan etika sebagai pekerja di syarikat pengurusan tersebut.

Menurut Mawi, dia tidak mempunyai hak untuk 'membuang' atau mengambil sesiapa bekerja dengan Maestro kerana syarikat berkenaan dikendalikan oleh pengurusan yang profesional.

Kata Mawi juga, memang betul selepas berkahwin Ekin menjaga dan menguruskan kerjayanya tetapi itu tidak bermakna dia tidak memerlukan khidmat pengurusan daripada pihak Maestro.

"Saya masih bawah pengurusan Maestro. Ekin pula merangkap pengurus peribadi saya. Selepas ketiadaan Wan di Maestro, Azman dan Othman Mahmood atau Liza yang menguruskan jadual dan aktiviti seni saya," beritahu Mawi lagi.

Bagi Mawi pula, ujian yang diterima dari mereka bercinta sehingga berkahwin sudah terlalu banyak, jadi dia berharap apa jua cabaran yang melanda tidak akan mengoyahkan bahtera yang baru dibina bersama Ekin.

"Kami dah lalui macam-macam, tuduhan, fitnah. Alhamdulillah saya bersyukur sangat kami dapat lalui semua itu. Saya rasa lebih baik kami lalui semuanya sebelum kahwin, jadi kami dah ada pengalaman dan tahu macam mana nak atasinya," katanya.

Mawi kuat makan

Menutup kisah tersebut, si pelantun lagu Aduh Saliha ini sememangnya teruja bergelar suami sejak 20 Disember tahun lalu.

"Memang seronok kahwin, ada orang teman dan masak untuk kita, tapi kena ingat tanggungjawab pun dah bertambah. Dalam masa yang sama kehidupan pun lebih teratur,” kata Mawi.

Ekin yang sentiasa menemani Mawi ke mana sahaja setelah mereka berumah tangga mengakui Mawi seorang yang kuat makan namun dia tidak cerewet dalam soal tersebut.

"Dia memang kuat makan, yang bestnya, Mawi tak cerewet. Kami dua-dua orang Johor, suka makan asam pedas. Jadi saya selalu masak asam pedas ikan, ayam tukar-tukar. Kadang-kadan itu ada juga masak ikan masak kicap. Tengok mood nak masak apa, selalunya tanya jugak kat Mawi dia nak makan apa.

"Yang bestnya, Mawi pun pandai masak, Nasi Goreng Kampung dia memang sedap. Satu lagi Mawi ni kadang-kadang suka bangun pukul dua atau tiga pagi masak jemput-jemput bilis. Dia suka sangat makan kuih tu,” kata Ekin lebih gemar masak sendiri untuk suami tercinta.

Idam anak kembar

Mengakui masih lagi mengekalkan gelaran Cik Wiwi dan Cik Kikin, kedua pasangan romantis ini tidak menolak jika dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

"Alhamdulillah saya terima saja. Lagi seronok kalau dapat baby kembar seorang perempuan, seorang lelaki. Tapi saya tak kisah jantina apa pun, janji baby sihat dan selamat dah cukup,” kata Mawi suka akan kanak-kanak.

Sementara Ekin yang berada disebelah Mawi turut mengiyakan kenyataan tersebut.

"Memang Ekin pun teringin nak anak kembar. Mesti seronok. Kalau boleh Ekin nak nak rasa sendiri macam mana susah payah mak Ekin jaga Ekin dengan Ain masa kami kecik-kecik dulu,” kata pelakon yang pernah mencipta nama melalui drama bersiri Kawan ini.

Ekin juga mengakui dia lebih selesa tinggal di rumah jika tiada apa-apa urusan yang menggamitnya keluar, namun pada masa yang sama dia akur dengan kehendak Mawi yang mahu dia menjadi peneman ke majlis-majlis tertentu.

Bagi juara AF3 ini, tiada salahnya jika dia membawa isterinya ke majlis-majlis tertentu dan itu lebih baik kerana ia dapat mengundang fitnah.

"Saya kesian Ekin tinggal kat rumah, lagi pun dia tak buat apa kat rumah. Dari dia kena tinggal sorang-sorang baik saya bawa dia ke mana saya pergi. Biarlah orang nak kata apa pun. Dia bini aku,” ujar Maawi dalam nada bergurau.

Jelasnya, dia malas memikirkan soal remeh-temeh kerana karier seni dan rumahtangga ada perkara lebih penting daripada memikirkan cakap-cakap orang.

Jadi Badang dalam Magica

Kini bintang realiti AF ini sibuk dengan penggambaran filem muzikal terbaru terbitan KRU Studios Magica, filem ini turut menghimpunkan beberapa nama besar dalam industri hiburan tanah air, antaranya adalah Ziana Zain, Diana Danielle, Vanida Imran, Ogy Ahmad Daud serta ramai lagi.

Biarpun pada mulanya dia enggan bercerita lanjut, Mawi akhirnya akur dengan permintaan pihak media.

"Saya bawa watak Badang dalam filem ini. Seronok la dapat berlakon dan menyanyi dalam filem ini. Watak Badang ini merupakan watak kedua utama dan saya disolek serta akan memakai kostum macam Badang.

"Watak yang saya bawak dalam filem ini serius dan kebanyakan babak yang dilakukan di kawasan hutan berdekatan dengan FRIM, Kepong. Dalam filem ini saya ada nyanyikan 4-5 buah lagu.

"Pengalaman berlakon dalam filem ini betul-betul menarik tapi mencabar kerana saya kena berlakon dan menyanyi dalam masa yang sama. Ada juga babak-babak monolog,” kata penyanyi yang sedang popular dengan lagu Allah Habibi ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain