suria

Teruja hulur duit gaji hingga tolak tepi kepentingan diri, anak sedih ibu tak sudi terima - “Dia kata kau boleh fikir sendiri”

Anak-anak sewajarnya tidak melupakan ibu bapa apabila sudah mempunyai pendapatan sendiri. -Gambar hiasan

TIDAK dapat dinafikan, wujud golongan ibu bapa yang menganggap anak sebagai 'pelaburan' untuk jangka masa panjang.

Menerusi laman Threads, seorang individu tampil meluahkan rasa sedih dengan sikap ibunya yang bukan sahaja tidak menghargai wang gajinya, malah memperlekeh nilai pemberian tersebut.  

"Tadi aku bagi duit sebab dah gaji dekat mak ayah. Ye, jumlah tak besar.

"Tapi, jujur aku tak sangka weh. Mak aku pulangkan balik dengan nada yang kecewa," tulisnya memulakan perkongsian.

Generasi muda, terutamanya bagi mereka yang baru memasuki alam pekerjaan sering dihimpit bebanan kewangan. -Gambar hiasan

Menurut individu tersebut, ibunya berdolak-dalih dan enggan memberikan jawapan ketika ditanya mengenainya, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan dalam dirinya.

"Aku macam terpinga-pinga. Aku tanya, kenapa? Dia kata, kau boleh fikir sendiri. Aku nak fikir apa weh?

"Gaji aku tak besar, aku baru kerja. Apa salah aku sebagai anak?

"Hari tu dia mention jangan lupa bagi dekat mak dan ayah walaupun sikit. Sekarang dah bagi, mak aku buat macam ni pula," luahnya kecewa.

ARTIKEL BERKAITAN: Selesa terima elaun RM1,500 sebulan, ibu halang anak perempuan umur 34 tahun kahwin... Beri alasan tak masuk akal

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji 2K sebulan dihabiskan untuk keluarga... Ibu tak nampak pengorbanan anak, ‘sedap’ tuduh boros kalau cakap tak ada duit

Berkongsi lebih lanjut, individu tersebut berkata dia tidak menyangka menerima reaksi yang sama sekali tidak dijangka daripada ibunya.

Walaupun baru melangkah ke alam pekerjaan, dia sanggup mengenepikan kemahuan sendiri semata-mata ingin membalas jasa dan membahagiakan orang tersayang.

"Aku baru je mula kerja, baru je belajar urus duit. Aku tolak tepi keinginan untuk beli barang, elak tambah hutang nak bagi duit tu ada banyak ekstra untuk parents aku.

"Ya Allah, aku penat. Tak tahu nak cakap macam mana, aku sedih. Aku tahu rezeki tu ada kalau kita bagi pada parents.

"Cuma lepas tolak hutang, baki tu pun tak banyak untuk cover minyak dengan makan aku ulang alik sebulan," tambahnya lagi.

  • Seorang individu menzahirkan kekecewaan berhubung sikap ibunya apabila enggan menerima duit poket yang diberikan sempena gaji pertama bekerja.
  • Bahkan, ibunya enggan memberikan penjelasan atas perkara tersebut.
  • Dia buntu memikirkan di mana silapnya, memandangkan dia mengutamakan orang tua berbanding kepentingan dirinya.
  • Netizen menyifatkan wujud sesetengah ibu bapa yang tidak bersyukur dan menilai sesuatu pemberian daripada luaran.
  • Dia kemudian dinasihatkan agar memberikan 'pengajaran' kepada ibunya dan mengutamakan diri sendiri dahulu berbanding orang lain.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap individu tersebut, selain menyifatkan ibunya sebagai insan tidak tahu bersyukur. 

Ada yang turut berkongsi kata-kata semangat lantaran pernah mengalami situasi serupa. 

"Mak-mak zaman sekarang tak bersyukur, padahal anak dah bagi cukup baik. Lebih baik awak tak payah bagi lepas ni. Belikan barang dapur je dik, sebab dia tak ikhlas ambil duit awak.

"Aku alami benda yang sama, situasi berbeza. Apa aku buat? Aku hilangkan diri tiga tahun, langsung tak contact.

"Aku stop bagi duit, sebab parents aku suka pertikaikan mana gaji aku masa awal-awal kerja. Aku dah lah kerja Food and Beverages (F&B), nak bersosial langsung tak ada masa," komen segelintir netizen.

Antara komen netizen.

Tidak kurang juga ada yang menitipkan pesanan dan berkogsi cara menangani situasi sedemikian.

"Awal-awal jangan ajar bagi banyak terus. Bagi setakat mampu, sebab mak awak jenis macam tu. Nanti bila makin banyak komitmen tak sempat nak layan duit ikut tekak mak dah.

"Tak payah bagi gaji, cuba ajak diorang pergi makan. Belanja makan atau bawa pergi beli barang-barang basah ke barang rumah," komen netizen lain pula.

Artikel Lain