DEMI mempertahankan maruah diri dan enggan pengalaman pahit dialaminya berulang kepada individu lain, usahawan produk kecantikan, Datin Lyanaz Hassan nekad ingin mengheret lelaki yang didakwa mengintip dan merakam video dirinya sedang mandi ke muka pengadilan.
Mengakui trauma dengan insiden tersebut, usahawan berkenaan berkata dia sudah menghubungi peguamnya untuk tindakan lanjut.
Malah dia juga dijadualkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi memberikan keterangan kepada pihak polis pada petang Rabu.

Datin Lyanaz berkongsi perkembangan terbaharu mengenai kes dirinya diintip.
"Selain memberi keterangan, saya juga akan menyerahkan telefon bimbit milik individu itu, yang kini dalam simpanan saya, kepada polis.
"Saya diberitahu oleh pegawai penyiasat (IO), kes ini akan disiasat di bawah kes jenayah dan polis akan mengeluarkan waran tangkap," ujarnya ketika dihubungi mStar.
Mengimbas kembali insiden yang berlaku pada tengah malam Isnin lalu itu, usahawan berusia 38 tahun ini berkata, dia bersama ahli keluarga dan kakitangannya menginap di sebuah homestay di Kuala Terengganu kerana mempunyai urusan berkaitan kerja di bandaraya tersebut.
"Saya dan kakitangan selalu travel untuk urusan kerja, termasuklah penghasilan kandungan (content). Kami tiba dan daftar masuk ke homestay tersebut kira-kira pukul 3 petang.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kecoh! Usahawan produk kecantikan mengamuk diintip ketika mandi - “Kurang ajar sampah masyarakat”
"Namun kemudian kami keluar untuk selesaikan urusan, sebelum pulang semula ke homestay pada waktu malam. Saya nak membersihkan diri selepas penat di luar.
"Ketika sedang mandi di tandas, saya perasan perkara mencurigakan dan setelah diamati, rupanya ada seseorang di luar sedang mengintip.
"Tingkap yang separas kepala orang dewasa seperti terbuka. Terus saya menjerit menyebabkan staf yang sedang berada di luar terkejut. Mereka nampak ada orang cuba lari dari semak samun," ceritanya.
Usahawan dikenali sebagai Datin Lyanaz Hassan nekad ambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa mengintip dan merakamnya mandi di sebuah homestay.
Tindakan tersebut demi mempertahankan maruahnya dan mencegah kejadian sama berulang.
Usahawan itu mengalami trauma dan telah hubungi peguam serta akan hadir ke IPD Kuala Terengganu untuk beri keterangan kepada polis.
Pekerja homestay mengaku melakukan perbuatan tersebut.
Usahawan itu menyeru agar pengusaha homestay lebih peka terhadap keselamatan tetamu, termasuk pemasangan CCTV di lokasi strategik serta menapis latar belakang pekerja.
Menurutnya, dia menghubungi pemilik homestay untuk memaklumkan insiden yang berlaku dan mahu meminta akses rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah inap tersebut.
"Malangnya CCTV ada bahagian depan saja. Kemudian saya terus buat laporan polis. Pemilik homestay cuba menghubungi seorang pekerjanya, namun tidak berjawab.
"Pekerja tersebutlah yang bertanggungjawab menjaga homestay. Dia mengaku melakukan perbuatan tersebut ketika bersemuka malam tadi (Selasa)," ceritanya.

Tangkap layar video tular memaparkan Datin Lyanaz sedang bersemuka dengan lelaki yang didakwa mengintipnya mandi (berbaju hitam).
Menganggap apa yang berlaku sebagai pengalaman pahit, usahawan ini dalam masa yang sama meminta agar mana-mana pengusaha homestay atau rumah penginapan untuk lebih peka dengan keselamatan tetamu.
"Ini pengalaman pertama (diintip) sepanjang saya travel. Memang trauma, nak ke tandas pun berteman.
"Saya harap pemilik tempat penginapan pastikan elemen keselamatan dititikberatkan, contohnya pasang CCTV di pelbagai lokasi, pasang lampu sensor dan tolonglah tapis dulu sebelum ambil pekerja.
"Kepada tetamu pula, hati-hati... risau ada ambil kesempatan kalau tidak berpakaian ketika mandi dan sebagainya," kongsinya lagi.


