HATI siapa tak tersentuh apabila terlihat kelibat seseorang tidak dikenali namun wajahnya saling tak tumpah seperti insan tersayang yang telah pergi buat selamanya.
Itulah situasi yang dialami seorang wanita dikenali sebagai Ika apabila dia secara tidak sengaja terpandang individu mirip arwah kakaknya ketika bercuti di Cameron Highlands, Pahang pada 6 Jun lalu.
Ika sempat merakam gelagat wanita berkenaan secara curi-curi ketika melihat wajahnya kerana dikatakan sangat seiras dengan kakaknya yang meninggal dunia pada Oktober 2023.
"Sama kan? Tak sempat nak dekati sebab terkaku tengok sama sangat. Tangan asyik rakam video tapi mata terpana dekat muka wanita tu," tulis Ika menerusi kapsyen di TikTok.
Kakak Ika sudah meninggal dunia pada Oktober 2023.
Dalam rakaman sama, Ika turut berkongsi gambar arwah kakaknya sebagai perbandingan bagi membuktikan persamaan wajah individu yang dimaksudkan.
Seperti dijangka, video berkenaan meraih perhatian ramai warganet yang turut meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen.
Tidak kurang juga yang cuba menjejaki identiti wanita misteri itu dengan memautkan akaun TikTok individu bernama Syue pada perkongsian tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Hajat termakbul di Makkah, terkedu wanita mirip arwah nenek muncul depan mata - "Rasa nak peluk je makcik tu"
ARTIKEL BERKAITAN: Seolah-olah sengaja tunjuk diri, selepas dipandang terus lesap! Gadis terubat rindu jumpa 2 individu mirip arwah datuk di Makkah
Menariknya, wanita yang dimaksudkan itu akhirnya tampil memberikan maklum balas selepas namanya banyak disebut-sebut pengguna media sosial.
Menurutnya, dia dan Ika sudahpun berhubung secara peribadi selepas insiden tersebut menjadi tular.
"Untuk Ika, saya faham apa yang awak rasa. Mungkin ada doa-doa awak yang Allah makbulkan untuk berjumpa dengan orang hampir sama dengan arwah.
Untuk Ika sekeluarga sabar, tabah dan sentiasa doakan arwah dekat sana.
SYUE
"Saya faham perasaan awak tu sebab saya sendiri pun dalam keadaan sama cuma mungkin saya dah kehilangan tu satu tahun lebih," ujarnya dalam nada sebak.
Syue yang turut dilanda emosi ketika membaca luahan Ika berkata dia sendiri pernah menyimpan harapan untuk bertemu seseorang dengan wajah seiras insan tersayang yang telah pergi.
"Ada rasa dan berdoa nak jumpa orang yang sama macam arwah. Saya nak luah perasaan rindu dan peluk dia walaupun tak akan (berlaku) dan tak akan pernah pun," luahnya sambil menangis.
Syue turut memberi respons terhadap video yang dikongsikan Ika.
Menutup perkongsian, Syue turut menitipkan kata-kata semangat buat Ika sekeluarga agar terus kuat menghadapi kehilangan.
Dalam pada itu, Syue berharap agar dapat berjumpa Ika secara bersemuka pada masa akan datang.
"Jadi untuk Ika sekeluarga… sabar, tabah dan sentiasa la doakan arwah dekat sana. Kalau ada apa-apa boleh je mesej saya secara peribadi.
"Tak ada rezeki lagi nak jumpa depan-depan tapi insya-Allah satu masa nanti kita boleh berjumpa juga," katanya penuh harapan.