SEORANG pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersyukur apabila dia terlindung daripada musibah kemalangan negeri yang mengorbankan 15 nyawa di Jalan Jeli-Gerik, Perak awal pagi Isnin.
Nur Adilah Mohd Rusdi, 21, sepatutnya menaiki bas sama bersama 42 pelajar lain dari Jerteh, Terengganu untuk pulang ke kampus mereka di Tanjung Malim, Perak.
Namun, takdir menentukan sebaliknya apabila dia terlepas bas berkenaan gara-gara menunggu bapanya selesai solat Isyak di masjid.
"Bas dijadualkan bergerak pukul 9 malam tapi saya lewat tiba ke lokasi tempat kami diarah berkumpul.

Suasana ketika kejadian yang berlaku pada awal pagi Isnin. Foto kanan (Bernama)
"Saya pula tunggu ayah balik dari masjid untuk bersalaman dulu sebelum memulakan perjalanan," ujar pelajar semester dua Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni ini ketika dihubungi mStar.
Menurut Adilah yang berasal dari Kampung Gong Bayor, Besut, selepas selesai bersalaman dengan bapa dia dihantar ibunya ke lokasi berkumpul sebelum menaiki bas di hadapan Masjid Hadhari, Bandar Jerteh.
Namun dia dimaklumkan bahawa bas sudah pun bergerak sejurus tiba di lokasi berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa bas tu bergerak kiri kanan” - Saksi terjaga daripada lena, nampak jelas pemandu cuba potong lori
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UPSI cerita keadaan dalam bas selepas terbalik, nampak kawan-kawan tak sedarkan diri - “Saya keluar ikut tingkap”
"Saya sampai lebih kurang pukul 9.25 malam. Masa tu saya tanya seorang penumpang lain, dia cakap bas baru saja bertolak lima minit.
"Saya hubungi pihak pengurusan bas dan mereka maklumkan bas sudah tunggu 20 minit sebelum bergerak," katanya lagi.
Disebabkan perasaan tak sedap hati, Adilah memilih untuk pulang ke rumah dan tidak cuba mengejar bas tersebut.
Dia kemudiannya bertolak ke kampus pada tengah malam hari yang sama dengan menumpang bapa saudaranya yang kebetulan mahu pulang ke Klang, Selangor.
Saya sedih sebab ada kawan saya yang terlibat, walaupun kami tak begitu rapat.
NUR ADILAH
"Saya tahu tentang kemalangan tu pada pukul 4 pagi. Terkejut sangat, tak sangka boleh jadi macam tu.
"Saya sedih sebab ada kawan saya yang terlibat, walaupun kami tak begitu rapat. Saya difahamkan dia cedera, tapi saya masih belum dapat hubungi dia sampai sekarang," katanya.
Adilah sepatutnya sudah memulakan kelas pertama pada pagi Isnin, namun terpaksa memaklumkan ketidakhadirannya kepada pensyarah berikutan insiden terlepas bas.

Nahas tersebut melibatkan sebuah bas membawa 42 pelajar UPSI dan sebuah Perodua Alza.
"Sepatutnya saya sudah ada kelas (kuliah) pukul 8 pagi. Tapi saya masih tersangkut dalam kesesakan lalu lintas sejak bertolak pukul 12 malam tadi.
"Saya sudah maklumkan dekat pensyarah yang saya terlepas bas. Pensyarah pun terkejut apabila dapat tahu saya tak naik bas berkenaan,” ujarnya.
Pada Isnin, mStar melaporkan seramai 15 mangsa disahkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan Perodua Alza.
Difahamkan, bas tersebut disewa khas oleh sekumpulan pelajar dari Jerteh untuk pulang ke kampus selepas menyambut Aidiladha di kampung halaman.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan, bas itu membawa seramai 42 pelajar berusia antara 21 hingga 23 tahun dari negeri-negeri Pantai Timur.


