"SAYA pejam mata sekejap, sedar-sedar bas dah terbalik."
Demikian kata Nurrin Najwa Mohd Azmi, 20, yang terlibat dalam kemalangan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin.
Ketika dihubungi mStar, pelajar dari Setiu, Terengganu itu turut mendakwa bas tersebut dipandu dalam keadaan laju sebelum ia terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Perodua Alza.
"Ketika itu saya tidur, dalam keadaan sedar tak sedar. Tiba-tiba saya terkejut sebab bas itu laju sangat. Saya pejam mata sekejap, sedar-sedar bas dah terbalik.
"Tempat duduk saya dekat bahagian tengah belah kiri, bahagian yang bas jatuh. Masa tu memang saya je yang sedar. Saya tengok semua orang lain dah pengsan.
"Saya menangis sebab tiada sesiapa masa tu. Kawan yang duduk sebelah pun saya tak jumpa. Keadaan pula gelap," ujarnya.
Menurut pelajar tahun kedua bidang Pendidikan Kimia itu, dia berjaya keluar daripada bas selepas dibantu oleh dua individu yang berada di tempat kejadian.
Keadaan bas yang terbalik selepas terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza.
Lebih memilukan, dia turut menyaksikan semua penumpang bas tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika berusaha untuk keluar.
"Kaki saya tersepit dekat kerusi, saya tak boleh nak keluar. Jadi saya usaha sendiri sampailah ada dua orang datang tolong. Mereka suruh saya keluar.
"Saya paksa diri untuk keluar ikut tingkap yang pecah. Susah nak lalu sebab takut terpijak (mangsa). Lepas keluar bas, ada dua lelaki tolong dan suruh saya maklumkan kejadian kepada mak ayah," ceritanya lagi yang masih terkejut.
ARTIKEL BERKAITAN: Bas bawa pelajar UPSI kemalangan di Gerik, sekurang-kurangnya 15 maut
ARTIKEL BERKAITAN: Senarai nama pelajar UPSI menaiki bas terlibat kemalangan maut di Gerik
Tambah Nurin, dia yang dibawa ke Hospital Gerik disahkan hanya mengalami kecederaan ringan dan sudah dibenarkan pulang.
"Kecederaan saya tak teruk. Saya cedera di kepala dan bahu. Doktor cakap kepala saya terhantuk kuat, ada bengkak. Saya juga dah buat imbasan X-ray di bahu, ada isu sikit, tapi bukan patah.
"Saya dah dibenarkan keluar pagi ini dan sudah dijemput ayah, ketika ini dalam perjalanan pulang ke rumah di Setiu," cerita Nurin lagi.
Tambah Nurin, dia menaiki bas itu dari Jerteh dengan bayaran tambang RM60.
Difahamkan bas berkenaan disewa khas oleh kumpulan pelajar dari Jerteh ke Tanjung Malim di Perak selepas pulang menyambut Aidiladha.
Terdahulu, mStar melaporkan sebuah bas membawa pelajar UPSI terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza kira-kira pukul 1 pagi.
Setakat ini, 15 mangsa disahkan maut dalam kemalangan itu.