POLIS akan merakam keterangan bapa kepada kanak-kanak empat tahun yang maut terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil dalam kejadian pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya sedang mengumpul keterangan beberapa individu bagi dalam proses melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan seterusnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan ibu saudara budak maut jatuh tingkat 30 ditahan
"Keterangan bapa mangsa akan dirakam pada 9 malam hari ini (Sabtu) manakala keterangan saksi pakar dan lain-lain saksi akan dirakam pada 10 Jun.
"Kes masih dalam siasatan pegawai penyiasat dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan ibu dan ibu saudara kepada kanak-kanak malang itu ditahan kelmarin bagi membantu siasatan bagi insiden berkenaan.
Kedua-dua wanita yang masing-masing berusia 27 dan 25 tahun itu direman sehingga Jumaat (semalam).
Dalam kejadian pada Khamis, mangsa dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari balkoni kediaman di tingkat 30 sebuah pangsapuri di Jalan Jalil Impian 1, Bukit Jalil, kira-kira 10.30 pagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.