suria

Mek Yun minta jangan label ibadah korban kejam, ajak hormat kepercayaan berbeza - “Orang Islam sembelih penuh adab”

Mek Yun tampil mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak terhadap ibadah korban. -Gambar hiasan (kanan)

PEMPENGARUH media sosial yang juga selebriti, Mek Yun tampil bersuara selepas timbul perdebatan segelintir pihak yang mempertikaikan amalan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha.

Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Mun Nee, 28, meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan pihak tertentu yang cuba membangkitkan sentimen negatif dengan menyifatkan amalan menyembelih haiwan korban sebagai sesuatu yang kejam.

"Mek Yun perasan ada segelintir orang yang susah nak terima atau mempertikaikan amalan korban masa Raya Haji... bab sembelih haiwan," katanya dalam satu perkongsian di media sosial.

Menurut Mek Yun, apa yang difahaminya ialah ibadah korban bukan sekadar penyembelihan semata-mata tetapi ia dilakukan dengan penuh beradab mengikut sunah dan mencerminkan nilai-nilai penting bagi umat Islam.

Malah, dia juga menyeru masyarakat agar lebih bersikap terbuka dan saling menghormati kepercayaan serta amalan antara satu sama lain memandangkan Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf saya menangis” - Pemuda Cina pertama kali tengok ibadah korban gagal tahan sebak, puas hati dapat belajar ilmu baharu

"Untuk orang Islam, sembelihan dibuat dengan penuh beradab ikut sunah, bukan secara kejam. Ia melambangkan pengorbanan, keikhlasan dan semangat berkongsi rezeki. 

"Daging korban pun diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Kita semua datang daripada latar belakang dan kepercayaan yang berbeza. 

"Tapi daripada situ juga kita belajar untuk faham dan hormat antara satu sama lain," tambahnya dalam hantaran tersebut.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi netizen di mana rata-ratanya menyokong kenyataan Mek Yun yang disifatkan matang dan rasional.

"Mek Yun ni memang layak jadi ikon perpaduan negara. Sangat terbuka pemikiran Mek Yun sekeluarga.

"Mek Yun dan keluarga memang best. Sentiasa berfikiran positif, terbuka dan suka belajar tentang adat bangsa dan agama lain.

"Steady Mek Yun. Sudah la cantik, bijak, tinggi, berkerjaya, pandai dan lemah lembut," komen beberapa netizen di Threads.

Untuk rekod, Mek Yun merupakan salah seorang pempengaruh yang aktif berkongsi mengenai isu sosial, budaya dan gaya hidup menerusi platform media sosial.

Sebelum ini, Mek Yun dan ahli keluarganya sering mendapat perhatian warga maya kerana fasih bertutur dalam dialek Kelantan dan cubaan berpuasa bagi menghormati bulan Ramadan.

Artikel Lain