suria

Wanita buat ‘loan’ RM50,000 nak balas jasa, rupanya ibu terjerat MLM... Kemaruk nak cepat kaya sebelum pencen!

Ramai individu terjerat dengan hutang pinjaman peribadi kerana membantu orang tua mereka. -Gambar hiasan

SETIAP manusia sememangnya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Namun yang penting adalah bangkit daripada pengalaman lalu dan terus melangkah ke hadapan untuk membuka lembaran baharu.

Demikian juga dengan individu ini yang berkongsi kisah lalunya iaitu melakukan tiga kesilapan sehingga akhirnya diisytiharkan muflis pada usia 25 tahun.

Tidak mendedahkan identiti, individu tersebut berkata segala-galanya bermula apabila dia membuat pinjaman peribadi untuk membalas jasa ibunya.

"Permulaan loan RM50,000 tu ibu saya suruh buat. Kita kerja executive GLC dah dua tahun, nak balas jasa... itu yang buat. Ibu kata nak guna, nanti dia bayar bulan-bulan. Rupanya dia pun 'tersontot' MLM (multi level marketing).

muflis 1

Tidak melakukan perancangan kewangan yang betul menjadi antara punca utama seseorang muflis. -Gambar hiasan

"Dalam pada dia nak pencen kerja kerajaan dengan aman, jadi pencen dengan masalah. RM200,000 burn macam tu je, punya mudah percaya boleh dapat duit bulan-bulan.

"Bulan pertama sampai ketiga dapat pulangan, itu yang diam-diam dia syok menambah sampai RM200,000. Melingkup. Asbab benda ni, dia jadi sakit asyik fikir terpaksa susahkan saya gaji kena tolak bulan-bulan.

"Kalau saya tahu dia join MLM, memang tak la saya nak buatkan loan," kongsinya dalam satu hantaran di laman grup Facebook Majlis Bankrupt di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayah tak pandai bisnes, heret anak sampai muflis! Pemuda menyesal bagi nama buat ‘loan’, rasa dikhianati bapa sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan kerja gomen cerai-berai gara-gara hutang! Terpengaruh budaya tunjuk hidup mewah sesama ‘officemate’

Tambah individu berkenaan, kesilapan kedua yang dilakukannya adalah nekad berhenti kerja sebelum memulakan bisnes yang dianggap mudah memberikan keuntungan.

"Dah elok kerja GLC, terfikir nak buat bisnes pula. Pilih franchise konon lebih mudah. Itu yang overlap lagi jadi RM120,000.

"Lepas loan approved, bijak sangat pergi berhenti kerja. Lepas dua tahun, tak boleh nak go, tutup bisnes. Sakit otak apabila kita mulakan bisnes dengan duit loan.

"Ini paling sakit rasanya sebab kita ada dekat titik paling bawah dalam hidup apabila kita tak boleh nak cover komitmen yang macam-macam. Semua saving habis cover kos overhead. Tekanan perasaan sangat-sangat," luahnya.

Betul... banyak silap berkenaan loan ni. Saya pun terjebak. Anggap la Allah nak bersihkan kita daripada dosa-dosa.

NETIZEN

Tambah individu berkenaan, dia tidak berputus asa mencari jalan penyelesaian kepada masalah kewangan yang dihadapinya.

Dia kemudian bangkit bertatih daripada bawah dengan mencari semula pekerjaan dan melakukan penstrukturan pinjaman peribadinya dengan pihak bank.

Namun semuanya hanya seketika apabila dia terpengaruh dengan ajakan seorang rakannya yang mencadangkannya berhenti kerja untuk menjadi ejen takaful.

"Member asyik push berhentilah kerja buat full time, boleh dapat extra komisyen. Kita pun buatlah full time. Tapi sakit ye sebab kita komitmen banyak. Harap makan komisyen memang tak cukup. Makin tersontot jadinya.

"Tapi saya tak pernah lari daripada call. Saya jawab semua call daripada bank masa banyak tertunggak tu. Saya beritahu je perkara sebenar termasuk call daripada debt collector.

"Akhirnya dapat notis bankrap. Dulu saya sangat takut bankrap. Nak pergi insolvensi pun takut. Sampailah saya WhatsApp seorang lawyer tu tanya dia, then dia kata buat apa puan nak takut.

"Puan bukan buat jenayah. Puan takkan kena penjara pun. Pergilah insolvensi nanti puan akan rasa hidup puan lebih tenang lepas ni," ujarnya.

Komen hutang

Warga maya berterima kasih degan perkongsian wanita tersebut yang membuka mata mengenai kesan melakukan pinjaman peribadi.

Berpandukan nasihat peguam, individu berkenaan memberanikan diri untuk pergi mendapatkan nasihat daripada jabatan insolvensi mengenai situasi yang dihadapinya.

"Memang betul saya lebih tenang sekarang walaupun banyak benda yang saya kena hadap. Umur dah 40, banyak benda saya belajar, banyak juga pengalaman-pengalaman yang ada buat saya lebih kuat.

"Jangan takut hadapi bankrap. Bankrap hanya title sedangkan kita masih ada peluang untuk bangkit kembali," akhirinya.

Perkongsian individu tersebut sehingga kini meraih 121 shares di Facebook selain dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya bukan sahaja memberikan sokongan moral malah mengagumi kecekalannya ketika menghadapi ujian.

"Good sharing... dia punya rasa tenang tu hanya yang dah lalui saja tahu. Macam saya, pegawai insolvensi yang start bagi rasa tenang tu. Cool je orangnya advise kita.

"Semoga terus berusaha. Tak ada yang silap dalam dunia ni, semua ujian masing-masing. Siapa yang nak hidup ada masalah?

"Betul... banyak silap berkenaan loan ni. Saya pun terjebak. Anggap la Allah nak bersihkan kita daripada dosa-dosa," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain