suria

“Tiada sisa walau satu ayat” - Ustaz tabah belajar semula alif ba ta, lupa semua hafazan al-Quran selepas kena strok

Pendidik di sebuah SBPI ini diserang strok pada Julai lalu, menyebabkan dia hilang ingatan.

SEORANG pendidik dikenali sebagai Ustaz Mohd Izwanuddin Abd Rahim tampil berkongsi cerita mengenai ingatannya yang hilang selepas diserang strok pada Julai lalu.

Dia yang bertugas di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar, Melaka hilang keupayaan untuk bertutur, membaca, mengira dan menulis, sekali gus mengubah hidupnya secara keseluruhan.

"Sewaktu hari-hari terawal ditimpa penyakit ini, saya kehilangan keupayaan bertutur sama sekali (aphasia). Saya juga kehilangan memori, kemampuan membaca (alexia), mengira (acalculia), menulis (agrafia) dan sebahagian badan tidak boleh berfungsi secara normal (apraxia).

izwan3

Izwan merupakan tenaga pengajar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar, Melaka.

"Saya tidak mengenal ABC, alif ba ta, dan 123. Apa yang lebih mendukacitakan, hafazan al-Quran saya turut hilang sama sekali. Tiada sisa walau satu ayat pun," ujarnya yang senang disapa Izwan.

Ketika dihubungi mStar, guru subjek Tahfiz berusia 36 tahun itu mengakui kesihatannya beransur pulih dan dia gigih berusaha untuk mengembalikan semula ingatan dan keupayaannya yang hilang.

"Sekarang Alhamdulillah makin okay. Tapi belum boleh bercakap dengan begitu baik. Cuma ralat sikit kepada hafazan, sebab bukan senang nak hafaz al-Quran. Sekarang pun saya masih merangkak lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu gelaran ustaz, pemuda terkejut mampu buat pengikut peluk Islam hanya dengan tonton video dakwahnya di TikTok

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih TikTok platform berdakwah... gadis berpurdah seawal usia 14 tahun hampir menangis saat terima mesej individu luah hasrat berhijrah

"Hari-hari awal saya sakit, ABC pun tak kenal. Tapi lepas seminggu, saya beransur pulih. Secara ansur-ansur, keadaan saya kini lebih baik berbanding ketika di awal-awal dulu. Saya umpama bayi yang baru lahir yang perlu belajar segala-gala semula.

"Saya masih dalam proses pemulihan. Saya belum boleh berkerja dan sedang bercuti sakit. Kemungkinan proses penyembuhan akan makan masa yang lama. Mungkin berbulan-bulan, atau bertahun-tahun," ujarnya yang menetap di Segamat, Johor.

Menurut guru yang masih bujang itu, keutamaaanya kini adalah untuk menghafaz semula al-Quran, malah dia juga meluahkan harapan untuk sembuh sepenuhnya agar dapat kembali bekerja seperti biasa.

Apa yang lebih mendukacitakan, hafazan al-Quran saya turut hilang sama sekali. Tiada sesisa walau satu ayat pun.

MOHD IZWANUDDIN ABD RAHIM

"Keutamaan saya kini adalah cuba hafaz kembali al-Quran. Hal ini adalah suatu perkara yang sukar sebenarnya kerana saya tidak mampu bertutur seperti biasa. Saya terpaksa belajar mengeja alif ba ta dan kalimah-kalimah al-Quran dari 'kosong'.

"Untuk membaca al-Quran seperti biasa pun menjadi satu cabaran yang sukar buat saya. Walaupun hal ini akan mengambil masa yang panjang, saya tetap optimis. Doakan kembara saya ini," ujarnya lagi.

Berkongsi mengenai detik dia diserang strok ketika sambutan Aidiladha Julai lalu, Izwan mengakui segalanya berlaku sekelip mata sahaja.

izwan2

Izwan diserang strok ketika sambutan hari raya Aidiladha, baru-baru ini.

Akibat kejadian itu, dia turut dirawat di dua buah hospital gara-gara berlaku pendarahan di dalam otak.

"Pada hari raya haji kedua, saya telah diserang dengan penyakit strok secara tiba-tiba. Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan bahawa berlaku pendarahan dalam otak.

"Punca sebenar masih belum diketahui. Ini kali pertama kena, saya kena strok masa tidur. Tiba-tiba rasa tak boleh bergerak. Jadi saya hubungi mak walaupun tak boleh bercakap pada waktu itu.

izwan4

Izwan kini dalam proses penyembuhan selepas diserang strok.

"Saya dirawat di Hospital Segamat selama lima hari, kemudian saya berpindah ke sebuah hospital swasta di Melaka dan dirawat dalam seminggu," ujarnya.

Dalam pada itu, Izwan turut menitipkan ucapan terima kasih buat kenalan serta netizen yang tidak putus-putus mengirimkan doa buatnya menerusi media sosial.

Kisah itu meraih perhatian ramai selepas dia berkongsi nukilan berjudul 'Kembara Mencari Kembali Kalamullah Yang Hilang' menerusi Facebook pada Khamis lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain