suria

Motor ‘total lost’, kaki kanan kena potong... Pemuda ini merana tak boleh claim insurans, rayu suspek langgar lari munculkan diri

Kaki kanan Halim terpaksa dipotong selepas dia terlibat dalam kejadian langgar lari pada April lalu.

KEHIDUPAN jejaka berusia 21 tahun ini berubah sekelip mata selepas dia kehilangan kaki kanan selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari pada 14 April lalu.

Lebih malang, pemandu kereta yang melanggar Muhammad Halim Mohd Salleh masih lagi bebas sehingga ke hari ini kerana ketiadaan bukti mencukupi untuk membantu siasatan.

Ketika dihubungi mStar, Halim sempat memperincikan semula kejadian itu yang dianggap sebagai detik paling gelap dalam hidupnya.

halim 33

Halim berharap pelaku yang melanggarnya dalam kejadian itu dapat tampil untuk bersemuka dengannya.

"Saya bekerja di sebuah kilang di Seberang Perai, Pulau Pinang. Kejadian berlaku sekitar 7.15 petang, ketika saya dalam perjalanan nak balik ke rumah di Kepala Batas.

"Saya dilanggar oleh sebuah kereta hitam daripada arah tepi, tapi saya tak perasan kereta model apa. Kereta tu pun tak berhenti selepas kejadian itu berlaku. Kemudiannya saya tak sedarkan diri.

"Dari Hospital Seberang Jaya, saya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur kerana ketiadaan pakar saraf. Namun, doktor di Kuala Lumpur tak dapat selamatkan kaki saya kerana jangkitan kuman sudah merebak ke paru-paru.

ARTIKEL BERKAITAN: BMW cilok tak lepas! Bayi 4 bulan tercampak atas highway, kini ditidurkan di hospital... Saksi nampak kereta mewah lari exit tol Behrang

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia mesej kejut saya sahur” - Hantar ramen momen terakhir bersama BFF, gadis sebak BFF maut langgar lari semasa COD makanan

"Sebab dah melibatkan nyawa, doktor terpaksa potong kaki kanan dari paras paha. Saya dirawat di sana sehingga 28 April. Sekarang saya ada di rumah dan masih tak bekerja," ujarnya.

Menurut Halim yang juga anak sulung daripada lima beradik, dia tidak berdendam dengan pelaku namun berharap keadilan akan berpihak kepadanya.

Disebabkan itu juga, beberapa rakan Halim turut membuat hebahan di media sosial mengenai nasib yang menimpanya, dengan harapan mana-mana saksi kejadian boleh tampil membantu siasatan.

halim 2

Halim berkata, dia reda dengan kejadian itu.

"Kebetulan kawan saya yang kerja Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas ketika kejadian. Jadi ada beberapa keping gambar yang dia ambil. Kawan saya tolong viralkan untuk cari saksi kejadian, sekiranya sesiapa ada rakaman dashcam.

"Saya juga dah buat laporan polis. Pelaku masih tak diketahui sehingga ke hari ini. Dah lebih empat bulan kejadian, saya tak boleh buat tuntutan insurans kerana tiada bukti. Sebab tu jugalah kawan saya buat posting mengenai kes ini.

"Motor Yamaha Legenda yang saya naik dah total lost, dah jadi bentuk V. Pesanan saya kepada pemandu kereta yang langgar saya, sejujurnya saya tak berdendam. Saya terima kejadian ini. Tapi kalau boleh saya nak dia jumpa saya, saya hanya nak cover untuk tuntut hak saya balik.

Sejak jadi macam ni, tak dapat nak main futsal macam dulu.

HALIM

"Kalau boleh biarlah ia selesai dengan cara baik, saya tak mahu berdendam," ujar Halim yang juga lepasan Kolej Komuniti Sik dalam bidang Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan.

Bercerita mengenai hidupnya, Halim berkata dia menerima segala ketentuan Allah biarpun rutin hariannya banyak berubah selepas kehilangan sebelah kaki.

Kata Halim, dia yang aktif bersukan sedikit ralat apabila tidak dapat menyertainya kerana keterbasan fizikal, namun bersyukur dikelilingi keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan.

halim 4

Halim merupakan lepasan Kolej Komuniti di Sik.

"Banyak rutin hidup yang berubah. Dulu saya kerja empat hari, cuti tiga hari. Setiap kali cuti, memang ada aktiviti. Saya suka main bola, futsal dan badminton. Sejak jadi macam ni, tak dapat nak main macam dulu.

"Memang sedih, tapi saya reda. Benda dah tertulis. Sekarang kalau ada game, member akan bawa saya pergi tengok juga walaupun saya dah tak boleh main macam dulu. Keluarga juga banyak bagi sokongan," ujarnya lagi.

Akhir bicara, Halim turut menzahirkan harapan untuk kembali bekerja seperti biasa tidak lama lagi dan enggan menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk meneruskan kehidupannya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain