suria

Raya punya hal, 25 jam harung jalan sesak... lapar dan dahaga ‘tak boleh bincang’! Gadis syukur jumpa orang Terengganu baik hati

Asyura terharu dan berterima kasih kepada seorang wanita dan anak-anaknya yang memberi air percuma ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya minggu lalu.

SEPANJANG minggu pertama Syawal baru-baru ini, media sosial meriah dengan perkongsian warganet mengenai pengalaman masing-masing yang tersekat dalam kesesakan jalan raya gara-gara ramai yang pulang ke kampung menyambut hari raya.

Pelbagai kisah disajikan, yang mana ada yang tersadai berbelas-belas jam lamanya di atas jalan raya sebelum selamat tiba ke destinasi yang dituju.

Pendek kata, penangan Aidilfitri pada tahun ini sememangnya begitu 'epik' dan tidak akan dilupakan sehingga bila-bila.

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak banyak kereta ‘luar’ masuk kampung, grup belia tak berlengah... ‘tong-tong’ duit beli makanan - “Sampai habis stok air mineral, roti di kedai runcit Felda Lakum”

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit mata! Ramai-ramai balik beraya sambil tinggal sampah tepi highway, betul ke sikap pengotor ada kaitan dengan negeri?

Salah satu perkongsian yang mengundang perhatian netizen adalah tindakan sekumpulan remaja bersama seorang wanita pertengahan usia yang sanggup menunggu di tepi jalan untuk mengagihkan minuman kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Video tersebut yang dimuat naik oleh seorang pelayar di akaun TikTok menjadi tular sekali gus mengundang pujian ramai.

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis bernama Asyura Najiha Mohd Zamri berkata video tersebut dirakam ketika dia dan keluarganya sedang dalam perjalanan dari Kelantan menuju Shah Alam, Selangor, pada Sabtu.

"Kami asalnya beraya di Perak kampung sebelah mak. Beraya sehari saja sebab nak hantar adik ke asrama penuh di Tanah Merah, Kelantan.

"Hari Sabtu pukul 5.30 pagi kami bertolak ke Kelantan dari Perak dan ambil masa dalam empat jam nak sampai. Kemudian sambung perjalanan untuk pulang ke Shah Alam guna laluan Pasir Putih, Jertih, Permaisuri, Setiu untuk ke Lebuh Raya Pantai Timur.

asyura 2

Asyura (kanan, depan) dan keluarganya menempuh perjalanan selama 25 jam gara-gara jalan raya sesak teruk.

"Waktu sebelum masuk highway pun dah hadap jam. Lama betul sampaikan lapar dan bila singgah stesen minyak nak beli makanan, kena beratur beli sebab terlalu ramai.

"Masa lalu bandar Permaisuri, tiba-tiba ada orang dekat tepi jalan bagi air free. Satu family terkejut. Memang lapar dan dahaga sangat waktu tu. Baik betul orang Terengganu," ujarnya.

Senang disapa sebagai Asyura, gadis ini berkata dia memuat naik video yang sempat dirakam di aplikasi TikTok, ketika anak-anak muda tersebut memberikan air percuma.

Tanpa disangka, video tersebut tular di media sosial sehingga salah seorang anak muda tersebut menghubunginya menerusi Direct Message di laman Instagram.

asyura 1

Asyura membuat perkongsian video di laman TikTok sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.

"Kata pemuda bernama Tuan Muhammad Ikram Tuan Othman, ibunya, Nor Hazani Hassan adalah peniaga di medan selera dekat tepi jalan kami lalu tu.

"Katanya, memang dari raya ketiga lagi ibunya selalu bagi air untuk orang yang tersekat dalam kesesakan trafik. Dia ada pelawa nak belanja makan di gerai ibunya kalau bila-bila saya ke pantai timur lagi.

"Kalau tak kena hadap jam, InsyaAllah ada rezeki saya lalu situ lagi," ujar anak ketiga daripada lima adik beradik ini sambil berseloroh.

Saya dah lebih tiga tahun tak balik kampung atau ke luar negeri. Agak terkejutlah sampai 25 jam stuck dalam kereta.

ASYURA NAJIHA MOHD ZAMRI

Tambah Asyura, dia sekeluarga akhirnya selamat tiba di Shah Alam pada pukul 7 pagi keesokannya selepas menempuhi perjalanan selama 25 jam.

"Saya dah lebih tiga tahun tak balik kampung atau ke luar negeri. Agak terkejutlah sampai 25 jam stuck dalam kereta.

"Kami sekeluarga ucapkan jutaan terima kasih dekat family Puan Nor Hazani sebab sudi menolong orang-orang yang terperangkap dalam kesesakan.

"Semoga Allah kurniakan rezeki yang halal, berkat dan melimpah ruah kepada puan sekeluarga, rakan-rakan serta penduduk kampung di situ," katanya lagi.

Mengenai dirinya, Asyura berkata dia kini merupakan seorang kerani di sebuah firma guaman di Petaling Jaya.

asyura

Asyura menghasilkan karya seni sebagai mengisi masa lapang.

"Dalam masa yang sama, saya menjual 'tote bag' hasil karya lukisan sendiri sejak tahun lalu.

"Saya nak jadi artist atau kartunis tapi hakikatnya ramai orang tak hargai kerja seniman di Malaysia. Saya habiskan masa semalaman atau hampir sebulan painting tapi masih ada orang complaint pasal harga artwork saya.

"Kadang rasa macam takut nak kejar cita-cita sebab rakyat Malaysia sendiri tak hargai, padahal seni banyak membantu industri-industri di Malaysia," katanya lagi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain