suria

Sakit mata! Ramai-ramai balik beraya sambil tinggal sampah tepi highway, betul ke sikap pengotor ada kaitan dengan negeri?

Beberapa keping gambar dipercayai dirakam di Lebuh Raya CSR, baru-baru ini.

MEMASUKI minggu terakhir Ramadan, orang ramai sudah mula beransur-ansur pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Dua tahun tidak dapat beraya dengan keluarga tersayang kerana kekangan wabak Covid-19, sudah pasti rata-ratanya mahu 'membalas dendam' pada lebaran kali ini.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjangka sebanyak lima juta kenderaan berada di lebuh raya seluruh negara bermula Jumaat bagi meraikan Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 3 Mei.

ARTIKEL BERKAITAN: Balik kampung! 5 juta kenderaan dijangka penuhi lebuh raya

ARTIKEL BERKAITAN: Orang ramai berpusu-pusu balik kampung, trafik sesak di lebuh raya utama

Lihat sahaja paparan di media arus perdana mahupun media sosial, ramai yang berkongsi kisah dan gambar-gambar pengguna jalan raya yang 'tersadai' dalam kesesakan trafik sehingga berbelas jam lamanya.

Dari satu sudut, 'pemandangan' luar biasa tersebut sememangnya 'dirindui' namun apa yang kurang enak adalah sikap segelintir pengguna jalan raya yang kurang mempunyai kesedaran sivik.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beberapa keping gambar yang memaparkan sampah sarap yang tertaburan di tepi jalan angkara perbuatan pengguna jalan raya, cukup menimbulkan rasa geram dan kecewa.

sampah 1

Sampah dibiarkan begitu sahaja di tepi lebuh raya.

Difahamkan, gambar-gambar berkenaan dirakam pada 30 April (Sabtu) di Lebuh Raya Utama Tengah (CSR), lebuh raya yang baharu dibuka menghubungkan Kuala Krai, Kelantan dengan Karak, Pahang.

"Parok la ore kito. Penuh sampah kat Lebuhraya CSR!! Malunyo sero ambo sebagai ore Kelate. Pah nak wat guana bila tiada kesedaran sivik, masa cikgu ajar sivik dulu puak demo tido dalam kelas.

"(Parahlah orang kita. Penuh sampah kat Lebuhraya CSR!! Malunya rasa saya sebagai orang Kelantan. Jadi nak buat macam mana bila tiada kesedaran sivik, masa cikgu ajar sivik dulu puak awak tidur dalam kelas)" demikian kapsyen yang mengiringi foto-foto berkenaan.

Sampah-sampah daripada plastik bungkusan makanan, bekas minuman, tisu dan sebagainya, ditinggalkan begitu sahaja dipercayai ketika mereka tersadai di lebuh raya berkenaan.

Negeri lain tak macam ni. Cuma satu negeri ni aje.

NETIZEN

Menyingkap ruangan komen pula, rata-rata warganet meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang disifatkan masih mempunyai minda kelas ketiga.

"Selalu sibuk-sibuk pasal Malaysia tak maju macam negara lain. Tapi kalau buang sampah, sendiri pun fail. Macam mana negara nak maju. Walaupun tak ada tong sampah pun, bungkuslah bawa dalam kereta dulu sampai jumpa tong sampah," komen Rahimah Ishak.

"Sesetengah rakyat Malaysia memang mentaliti rendah, tak ada kesedaran sivik dan tahap menjaga kebersihan fail sedangkan dalam Islam kebersihan salah satu perkara yang sangat penting," komen Fara Dhila.

komen

Antara komen netizen pada perkongsian di laman Facebook Planet Malaya.

Malah ada juga warganet yang mengaitkan sikap 'pengotor' tersebut dengan rakyat sebuah negeri di Pantai Timur.

"Tiap-tiap tahun begini. Bila tuju kepada mereka, kata rasis negeri," komen seorang netizen.

"Negeri lain tak macam ni. Cuma satu negeri ni aje," komen seorang lagi netizen.

Hantaran yang turut dikongsikan oleh laman Facebook Planet Malaya sehingga kini meraih 895 shares.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain