suria

Wanita India panik kereta ‘buat hal’ tengah jalan hampir waktu berbuka, apa yang dilakukan jemaah surau tak disangka-sangka!

Kereta Letchumy rosak berhampiran Surau Baitul Ehsan, Ampang.

PERNAHKAH anda berdepan dengan situasi di mana kereta yang dipandu dalam keadaan baik secara tiba-tiba berhenti di tengah jalan?

Sudah pasti situasi yang tidak dijangka itu diselubungi rasa cemas dan panik sehingga berpeluh-peluh.

Begitulah yang dialami oleh seorang wanita apabila keretanya 'buat hal' ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput anak-anaknya di tadika.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita pulang ke rumah terkejut lihat ampaian beralih, rupa-rupanya ‘kerja’ jiran jarang borak... CCTV bongkar kisah sebenar!

ARTIKEL BERKAITAN: “Susah nak dapat jiran baik macam ni” - Gadis Melayu terharu, semua tetamu dah balik, muncul jiran Cina tolong lepas kenduri

Namun siapa sangka, insiden tersebut menghadirkan 1,001 hikmah dan kemanisan untuk dikenang sepanjang hayat.

"Seperti biasa, lepas balik kerja, saya bergegas untuk ambil anak-anak dari tadika dan rumah mak mertua.

"Siapa sangka, kereta saya tiba-tiba berhenti di jalan raya. Langsung tak boleh bergerak, hanya enjin kereta sahaja yang hidup. Saya terus panik.

3

Perkongsian Letchumy menerusi satu bebenang di Twitter.

"Ditambah dengan stres kereta-kereta lain yang membunyikan hon dari belakang. Maklumlah, jam tepat 7.10 malam dengan waktu berbuka puasa sudah dekat dan masing-masing mengejar masa," kongsi wanita bernama TK Letchumy menerusi satu bebenang di Twitter.

Dalam situasi cemas itu, jelasnya, dia cuba memberanikan diri dengan membuat panggilan kepada suami agar segera datang ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan.

"Anak dah tanya kenapa kereta tak bergerak. Muncul pula bas sebesar 'badak' hendak lalu di jalan yang agak sempit. Bas membunyikan hon dengan kuat meminta saya alihkan kereta. Cemas!

"Masa tu dah nak nangis... tak tahu nak buat apa. Dengan tidak diduga, datang seorang abang yang menunggang motosikal. Saya pandang sekeliling. Baru perasan ada sebuah surau di situ.

"Abang tu baru keluar dari surau tersebut. 'Apa jadi dik? Rosak ke? Manual ke auto?' tanya abang tu. Lega sedikit apabila ada orang tanya begitu," katanya.

Tanpa melengahkan masa, lelaki tersebut cuba membantu menghidupkan enjin kereta Letchumy namun tidak berjaya.

Lelaki itu mengajak beberapa rakannya yang turut berada di surau yang terletak di Ampang, Selangor, bagi membantu menolak kereta Letchumy ke tepi jalan agar tidak menghalang lalu lintas.

"Sementara menunggu bantuan baiki kereta sampai, saya dan anak-anak diberi tempat duduk di dalam surau tersebut.

Saya amat terharu dengan bantuan sesama insan tanpa mengira kaum ini. Indahnya Malaysia dan Keluarga Malaysia. Terima kasih, Surau Baitul Ehsan!

TK LETCHUMY

"Kami disajikan dengan air soya sejuk walaupun mereka yang lain masih belum berbuka puasa. Setiap insan yang memasuki surau tersebut bertanya khabar kami dan ada pakcik tampil memberikan air mineral.

"Mereka meminta izin untuk berbuka puasa semasa azan berkumandang sementara saya dan anak masih menanti bantuan," kongsinya.

Bukan sekadar itu kata Letchumy, jemaah surau tersebut juga menunggu sehingga keretanya siap dibaiki dan memastikan dirinya serta anak-anak pulang dengan selamat.

"Saya amat terharu dengan bantuan sesama insan tanpa mengira kaum ini. Indahnya Malaysia dan Keluarga Malaysia. Terima kasih, Surau Baitul Ehsan!" tulisnya.

Sehingga kini perkongsian Letchumy di laman Twitter meraih lebih 7,000 retweet.

komen

Sebahagian komen netizen yang turut tersentuh dengan perkongsian Letchumy.

Menerusi perkongsian itu, rata-rata netizen turut berasa terharu dengan keindahan hubungan sesama rakyat Malaysia menerusi kisah yang dikongsikan Letchumy.

"Buka tweet keluar cerita macam ni rasa gembira, hiba dan berbagai perasaan ada. Terima kasih jemaah surau berkenaan memberi bantuan. Moga kita semua dlm lindunganNYA," komen @aimanairin.

"Tak kisah agama atau bangsa, kita tetap rakyat Malaysia yg saling menghulur bantuan sesama kita," komen @fuaddmf pula.

"Ramai lagi orang yang baik dekat Malaysia ni. Alhamdulillah," komen @irfanzul.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain