suria

Kejadian raba wanita di Cyberjaya... pakar kongsi hak perundangan mangsa gangguan seksual perlu tahu

Mangsa gangguan seksual diminta membuat laporan polis.

MALU!

Itulah satu-satunya perkataan yang terpacul dari mulut kaum hawa apabila diri mereka berdepan serangan seksual sama ada di rumah, pejabat, sekolah mahupun tempat awam seperti pusat beli-belah.

Disebabkan perasaan itulah, si pelaku semakin bermaharajalela dan berani melakukan tindak tanduk yang lebih keji sehingga mendorong perlakuan rogol.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dipaksa sebut ‘I love you’ jadi mangsa gangguan seksual... lelaki tak dikenali ugut nak cari di tempat kerja, mujur cubaan sentuh gagal

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan gangguan seksual, satu lagi kertas siasatan terhadap Ebit Lew

Malah, laporan terkini membabitkan insiden serangan seksual di pusat beli-belah Tamarind Square di Cyberjaya pada 7 April amat mengejutkan berikutan pelaku mengakui pernah melakukan serangan seksual terhadap lima wanita lain pada Disember lalu.

Tidak mustahil mangsa-mangsanya yang terdahulu terlalu malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sehingga menyebabkan pelaku 'mengganas'.

Justeru, bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang dan pelaku dikenakan tindakan sewajarnya, Profesor Madya, Fakulti Syariah dan Undang – Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Muzaffar Syah Mallow berkongsi hak-hak mangsa ke atas pelaku.

Beliau juga meminta mangsa terlibat untuk tampil berani membuat aduan kepada pihak berkuasa sekali gus menghalang kejadian sumpama itu berlaku terhadap orang lain pula.

Dr Muzaffar Syah Mallow mengupas beberapa hak bagi mangsa serangan seksual.

Dr Muzaffar Syah Mallow mengupas beberapa hak bagi mangsa serangan seksual.

"Mangsa tidak boleh hanya berdiam diri serta membiarkan gangguan yang berlaku pada diri mereka berlalu begitu sahaja kerana dikhuatiri gangguan akan berterusan daripada si pelaku dan menjadi bertambah serius pada masa akan datang.

"Walaupun pada masa ini tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual, namun mangsa boleh mengambil tindakan perundangan melalui beberapa saluran seperti undang-undang sivil mahupun jenayah.

"Bagi kakitangan awam, kerajaan telah mewujudkan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan) 2002 di mana peraturan 4A (1) memperuntukkan bahawa seseorang pegawai awam dilarang melakukan gangguan seksual iaitu (a) cubaan merapati atau meminta layanan seksual; (b) melakukan perbuatan bersifat seksual menyebabkan seseorang yang waras tersinggung, terhina atau terugut.

"Manakala Peraturan 4A (2) menyenaraikan bentuk gangguan seksual iaitu secara lisan, bertulis dan lain-lain. Ia juga tidak terhad di tempat kerja ataupun waktu kerja selagi mencemarkan imej perkhidmatan awam," jelasnya dalam kenyataan.

Pelaku cenderung mengulangi kesalahan sama kerana mangsa 'malu' untuk mengambil tindakan perundangan.

Pelaku cenderung mengulangi kesalahan sama kerana mangsa 'malu' untuk mengambil tindakan perundangan.

Jelasnya, gangguan seksual merupakan salah satu perlakuan yang dilarang mengikut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan pelakunya boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Ia juga turut dikuatkuasakan bagi pekerja swasta yang mana Kementerian Sumber Manusia telah melancarkan 'Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja' pada tahun 1999.

"Berdasarkan Kod Amalan tersebut, gangguan seksual dibahagikan kepada dua iaitu gangguan seksual secara langsung dan gangguan seksual secara tidak langsung.

"Gangguan seksual secara langsung bermaksud pengenaan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaan atau istilahnya quid pro quo. Ia bermaksud sasaran dijangka akur dengan tingkah laku gangguan seksual kerana mengharapkan ganjaran seperti kenaikan pangkat atau mengelakkan daripada menerima ancaman yang lebih teruk.

"Manakala gangguan seksual secara tidak langsung pula merupakan sebarang jenis perlakuan berbentuk seksual yang dilakukan sama ada secara lisan, isyarat, visual, psikologi dan fizikal yang memberi kesan pada mangsa yang tidak menyukainya.

Mangsa gangguan seksual hanya mampu menghantar pesalah ke dalam penjara tanpa mendapatkan pampasan sehinggalah kes perbicaraan Mohd Ridzwan bin Abdul Razak v Asmah bt Hj Mohd Nor [2016] 4 MLJ 282 direkodkan.

DR MUZAFFAR SYAH MALLOW

"Bagi undang-undang buruh pula, penggunaan Seksyen 20 (1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] boleh digunakan sebagai pampasan (remedy) untuk mangsa. Bermula 1 April 2012, pindaan terhadap Akta Kerja 1955 [Akta 265] telah dilakukan dengan memasukkan satu bahagian baru untuk gangguan seksual iaitu Bahagian XVA yang meliputi Seksyen 81A sehingga 81G," jelasnya.

Mengulas tentang tindakan jenayah pula, ujar Muzaffar Syah, gangguan seksual boleh disiasat mengikut beberapa peruntukkan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574] seperti Seksyen 509 yang membabitkan pengunaan sebarang perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang.

Tambahnya, Seksyen 354 adalah kes yang melibatkan serangan atau pengunaan kekerasan jenayah dengan niat mahu mencabul kehormatan dan Seksyen 355 bagi kes yang melibatkan serangan atau penggunaan kekerasan jenayah dengan niat.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, mangsa gangguan seksual hanya mampu menghantar pesalah ke dalam penjara tanpa mendapatkan pampasan sehinggalah kes perbicaraan Mohd Ridzwan bin Abdul Razak v Asmah bt Hj Mohd Nor [2016] 4 MLJ 282 direkodkan yang membolehkan mangsa menerima pampasan sebanyak RM120,000.

Mangsa gangguan seksual di pejabat berjaya mendapatkan pampasan.

Mangsa gangguan seksual di pejabat berjaya mendapatkan pampasan.

Untuk makluman, dua mangsa kejadian gangguan seksual di kawasan parkir pusat komersial Tamarind Square, Cyberjaya Selangor itu berusia 27 dan 34 tahun dicabul sekitar 2 petang (5 April) sebelum membuat laporan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof, dua insiden cabul berasingan berlaku dalam tempoh 15 minit yang mana insiden pertama berlaku pada jam 2 petang dan pelaku dilaporkan berpakaian gelap telah meraba seorang pembantu peribadi berusia 27 tahun ketika dia sedang meletakkan barangnya di dalam kereta, di tempat letak kereta tingkat tiga.

"Manakala insiden kedua dilaporkan berlaku kira-kira 15 minit kemudiannya dan melibatkan perempuan berusia 34 tahun yang sedang menunggu lif di Tingkat 2 Blok A Tamarind Square. Suspek dikatakan memeluknya dari belakang dan mencabulnya," jelasnya.

Ekoran itu katanya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan bagi memburu suspek yang dipercayai pekerja penghantar makanan dan dia kemudiannya diberkas di rumahnya di Puchong pada 6 April.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain