suria

Dakwaan gangguan seksual, satu lagi kertas siasatan terhadap Ebit Lew

Ebit didakwa dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

BUKIT Aman sedang melengkapkan satu lagi kertas siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual yang dikaitkan dengan aktivis terkenal, Ebit Lew.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan sedang dijalankan termasuk usaha untuk mengesan saksi berhubung dakwaan itu.

"Kita tidak pasti bila kes itu akan didakwa kerana kertas siasatan sedang dilengkapkan.

"Kita sedang berusaha keras untuk menyelesaikan siasatan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew, isteri dipanggil ke Bukit Aman

Abd Jalil sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa tiga laporan polis telah dibuat terhadap Ebit.

"Laporan polis dibuat oleh dua wanita. Seorang di Tenom, Sabah dan satu lagi di Semenanjung Malaysia," katanya.

Pada Februari lalu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, didakwa dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual, antaranya menghantar gambar dan kata-kata lucah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp.

"Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Tenom, Sabah, antara Mac dan Jun tahun lalu, membabitkan seorang wanita.

Pada 1 Oktober tahun lalu, Ebit dan isterinya telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual.

Video dan tangkap layar mesej perbualan, didakwa dikaitkan dengan aktivis itu bersama seorang wanita turut tersebar di media sosial, beberapa bulan lalu.

Dalam video tersebut, kelihatan seorang lelaki mirip aktivis berkenaan sedang melakukan aksi yang tidak sopan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain