suria

Nampak je kental, dalam hati gayat! Video ‘mengucap’ lalu titi sempit raih lebih setengah juta views - “Dua keping kayu dah tercabut, tawakal sajalah”

Video Ekin dan rakannya yang menyeberangi jambatan dengan menaiki motosikal meraih sehingga melebihi 600,000 jumlah tontonan.

GARA-GARA suara mengucap dua kalimah syahadah ketika menyeberangi jambatan kayu menggunakan motosikal, video yang dimuat naik oleh gadis ini meraih lebih 600,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Menerusi klip berdurasi 17 saat itu, gadis tersebut yang membonceng motosikal rakannya sempat merakam video ketika mereka menyeberangi jambatan kayu sepanjang kira-kira 500 meter yang merentasi sebatang sungai.

Meskipun singkat, video tersebut sudah cukup membuatkan netizen berasa 'seram' namun ada juga yang menyifatkan kedua-dua gadis berkenaan mempunyai hati yang kental.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiwa kental! Wanita ini tetap jadi rider walau dihalang mak ayah, lama-lama keluarga tunjuk reaksi tak disangka-sangka

ARTIKEL BERKAITAN: “Angin bertukar arah, payung jatuh ke depan” - Tak serik jatuh paragliding, wanita ini cuma relaks sekejap sebelum cuba terbang sekali lagi

"Ini kalau kayunya patah, dapatlah merasa berjiran dengan buaya dekat bawah!"

"Sekali kalau kayunya patah, memang berbeza alam," demikian antara komen netizen pada perkongsian video tersebut.

Gadis berkenaan, Nur Asyikin Zakaria bagaimanapun menjelaskan bahawa suara 'mengucap dua kalimah syahadah' di dalam video itu bukan suara mereka sebaliknya ia hanya suara latar daripada video dua gadis Indonesia yang pernah menjadi tular sebelum ini di TikTok.

"Sebelum ini viral di TikTok dua gadis di Indonesia yang mengucap ketika menyeberangi jambatan sempit menggunakan motosikal. Jadi saya saja guna 'sound' yang sama sebagai suara latar.

"Tak sangka ramai pula yang percaya itu suara kami berdua selepas ia viral. Namun saya kemudian muat naik satu lagi video asal tanpa sound effect. Dalam video asal, kami rileks saja seberangi jambatan... tak gelabah pun," ujarnya.

Menurut gadis berusia 19 tahun ini, jambatan tersebut yang terletak di Kampung Titi Panjang, Kuala Ketil, Kedah sering digunakan olehnya dan penduduk tempatan sebagai jalan pintas terutamanya untuk ke Sungai Petani.

EKIN

Ekin mengakui dia seorang yang fobia kepada ketinggian dan tidak pernah menggunakan jambatan itu pada waktu malam.

"Saya tak lalu jambatan tu setiap hari tapi hanya kalau nak ke Sungai Petani untuk bertemu dengan rakan yang tinggal di sana. Jambatan tu lantainya diperbuat daripada kayu manakala penghadangnya daripada besi.

"Ia hanya boleh dilalui oleh motosikal sahaja dan sehala. Kalau di seberang sana ada motosikal nak lalu, kita kena tunggu dulu sebab ia tak cukup besar... tak boleh berselisih.

"Saya sendiri selalu menunggang motosikal dan boleh dikatakan biasa juga lalu jambatan itu, namun sebenarnya perasaan cuak tetap ada walau dah biasa. Kalau nak tahu, dekat hujung jambatan tu, dua keping kayu dah tercabut di lantainya. Tapi tawakal sajalah," cerita gadis yang senang disapa sebagai Ekin ini sambil ketawa.

Sungguhpun nampak seperti kental dan berani sebagaimana dalam video tersebut, Ekin mengakui dia sebenarnya mempunyai fobia kepada ketinggian atau gayat.

Tak berani saya nak tengok sungai dekat bawah. Kalau berdiri saja-saja dekat jambatan tu, memang gayat jawabnya.

NUR ASYIKIN ZAKARIA

"Kalau naik motor saya berani. Itu pun memang bawa motor fokus pandang ke depan saja nak cepat sampai seberang. Tak berani saya nak tengok sungai dekat bawah. Kalau berdiri saja-saja dekat jambatan tu, memang gayat jawabnya," katanya.

Sepanjang menggunakan jambatan tersebut, Ekin berkata setakat ini dia belum pernah mendengar apa-apa berita mengenai kemalangan yang berlaku di situ dan jambatan itu masih selamat untuk digunakan.

"Kalau orang tanya ada buaya tak di sungai tu, saya sendiri tak pasti mengenainya. Cuma apa yang pasti, saya tak pernah lalu pada waktu malam. Salah satunya sebab faktor keselamatan, tapi dalam masa yang sama takut juga kalau-kalau terserempak 'sesuatu'.

JAMBATAN INDO

Video asal di mana dua gadis di Indonesia yang 'mengucap' ketika menyeberangi jambatan.

"Alhamdulillah belum pernah terserempak dengan mahkluk bukan-bukan. Tapi adik kepada kawan saya pernah nampak 'sesuatu' ketika lalu jambatan waktu malam. Itu yang saya tak berani nak lalu kalau hari dah gelap," ujarnya yang bekerja di sebuah kilang di Simpang Empat, Pulau Pinang.

Menurut Ekin lagi, video berkenaan dimuat naik sekadar suka-suka namun tidak menyangka perkongsiannya meraih lebih setengah juta tontonan.

"Tak sangka pula ramai yang tengok dan jadi viral. Saya gembira sekurang-kurangnya boleh juga buat orang terhibur," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain