suria

Inai masih merah, pengantin baru pengsan di hospital selepas tengok keadaan suami kemalangan - “Pihak sana seolah tak hirau keadaan kami”

Pasangan ini diuji hebat ketika baru 10 hari diijabkabulkan di mana Mohd Irfan ditimpa kemalangan, Julai lalu.

KETIKA inai di jari masih belum hilang warnanya, pasangan pengantin baru ini diuji dengan hebat.

Baru 10 hari melayari alam rumah tangga, si suami cedera parah kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya yang mengakibatkannya terlantar sehingga kini.

Menurut Ummin Kalsom Ramli, suaminya, Mohd Irfan Mohd Remli, 25, ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai milik sepupunya, sebelum motosikal yang ditunggangi dilanggar oleh sebuah kereta.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengorbanan suami... rela dirinya diseret van demi selamatkan isteri sarat mengandung - “Saya bisik nama ‘Yusuff’, terus dia tersedak keluar darah”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pergi’ selepas 10 hari bertarung lawan Covid-19, suami sempat bertahajud walau menggigil - “Banyak mesej saya terima cerita kebaikan arwah”

Akibat kemalangan tersebut, suaminya yang merupakan pekerja bagi sebuah syarikat penyelenggaraan jalan raya mengalami luka parah di tangan kanan, kecederaan pada tulang tengkuk dan hampir 80 peratus anggota badan pada sebelah kanannya patah.

Tragedi tersebut berlaku pada 4 Julai lalu, 10 hari selepas pasangan ini diijabkabulkan pada 25 Jun.

Hampir tiga bulan berlalu, namun segala-galanya masih jelas terlayar di hadapan mata wanita berusia 26 tahun ini.

"Saya menetap bersama ibu mentua di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Malam tu sementara tunggu suami pulang, kami bersembang sampailah ke tengah malam. Selalunya bersembang tak sampai lewat pun.

"Baru je nak letak kepala dekat bantal, saya dapat panggilan mengatakan suami kemalangan. Teruslah kami bergegas ke hospital. Dalam perjalanan, macam-macam benda bermain dalam kepala tapi saya harap keadaanya tak teruk.

"Tapi sebaik saja tengok dia depan mata dekat hospital, terus saya rebah dan pengsan. Dengan tangan kanannya yang parah dan tubuh berlumuran darah. Tak sangka kecederaannya tak seperti yang saya fikirkan," ujarnya yang senang disapa Ummin.

suami accident 1

Suami Ummin cedera parah akibat dilanggar kereta dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama 11 hari.

Menurut wanita ini, selepas tiga siri pembedahan dan rawatan, keadaan suaminya bertambah baik namun masih terlantar sehingga kini.

Demi sayang, wanita ini berkata dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberikan sepenuh perhatian sepanjang tempoh rawatan dan proses pemulihan suaminya.

"Tak kerja sekarang, tapi InsyaAllah ada rezeki kelak berkat menjaga suami. Sebagai isteri, saya perlu ada di sisi suami untuk beri kata-kata sokongan dan semangat kepadanya. Pernah beberapa kali dia down dan sedih sebab keadaannya tak sama macam dulu.

suami accident 2

Ummin setia berada di sisi sehingga sanggup mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi memberi tumpuan kepada suaminya.

"Setiap kali itulah, saya akan pujuk dan tegaskan yang saya tak akan tinggalkannya. Dia sakit, saya pun terasa sakitnya. Ini ujian buat kami berdua dan biarlah hadapi bersama-sama.

"Sememangnya kekangan yang kami hadapi ketika ini adalah dari sudut kewangan memandangkan kami berdua tidak bekerja sekarang. Alhamdulillah ada kawan-kawan suami yang pemurah dan baik hati, keluarga dan orang terdekat yang prihatin.

"Cuma terkilan sedikit apabila pihak di sana seolah-olah tak hirau keadaan kami sedangkan dia yang melanggar dan dilaporkan di bawah pengaruh dadah. Bab itu, saya hanya mampu serah kepada Allah," ujarnya yang sebelum ini bekerja di stesen minyak.

Tak kerja sekarang, tapi InsyaAllah ada rezeki kelak berkat menjaga suami. Sebagai isteri, saya perlu ada di sisi suami.

UMMIN KALSOM RAMLI

ISTERI

Tidak menyangka perkongsiannya meraih perhatian ramai, Ummin dalam masa sama meluahkan rasa terharu kerana tidak putus-putus menerima kata-kata semangat dan doa daripada netizen.

"Terima kasih yang tak terhingga kepada yang doakan kesembuhan suami, dan kata-kata semangat untuk kami walaupun tak saling mengenali.

suami accident 3

Ummin tetap berharap agar suaminya pulih seperti dahulu meskipun mengambil masa yang lama.

"Harapan saya satu saja, nak tengok suami sembuh seperti dulu walaupun doktor kata mungkin ambil masa setahun lebih juga. InsyaAllah suami akan jalani pembedahan keempat pada November depan. Teruslah doakan kami.

"Buat orang di luar sana, hati-hati memandu kenderaan, jadi pemandu berhemah dan janganlah pentingkan diri hingga bahayakan nyawa orang lain. Ingatlah mereka juga ada isteri serta keluarga," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak