suria

Insaf selepas 2 kemalangan, jurutera kongsi kisah ponteng kelas, mengantuk dan gagal konvo bersama kawan... semuanya akibat merempit – “Cedera hanya tinggal parut”

Foto kanan Akid berkongsi pengalaman lalu melakukan aktiviti merempit, foto kanan antara kesan parut akibat kemalangan yang dialaminya.

SETIAP orang mempunyai kisah silam masing-masing sama ada dijadikan sebagai kenangan mahupun pengajaran.

Begitulah yang dialami seorang pemuda apabila berkongsi video ‘keinsafan' di aplikasi TikTok mengenai dirinya yang sebelum ini pernah bergelar mat rempit.

Pemuda berkenaan, Akid Hilmi Zulkefli mendedahkan dia mula terjebak aktiviti mat rempit pada 2016 ketika menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh remaja label bapa 'mat rempit', usahawan terpaksa buka cerita zaman muda... duit biasiswa beli motor pertama - "Banyak tahun tak kasi mak ayah duit tapi..."

ARTIKEL BERKAITAN: Dah lali dianggap nakal, mat rempit cuba ubah persepsi masyarakat... kumpul lebih RM17,000 bantu penduduk Gaza - "Ini bukan kerja amal pertama kami"

Anak muda berusia 26 tahun itu memberitahu, dia terlibat dalam kemalangan akibat merempit buat pertama kali pada 2016 dan menerima rawatan di hospital.

"Kejadian berlaku pada sebelah petang selepas habis kuliah. Saya dan rakan-rakan beramai-ramai menunggang motosikal masing-masing. Masa tu saya di hadapan, memecut lebih laju.

"Kemudian ada sebuah kereta Myvi kuning yang cuba memotong di laluan saya dan kami seperti berlumba antara satu sama lain. Dia hon, saya pun hon masing-masing tunjuk ego.

"Kemalangan berlaku ketika pemandu Myvi cuba memintas hingga terkena motosikal menyebabkan saya hilang kawalan. Saya jatuh tergolek sejauh kira-kira 20 meter," katanya kepada mStar.

bekas mat rempit 2

Akid (duduk, hadapan) selepas menerima rawatan di hospital.

Susulan kejadian itu, dia yang lebih mesra disapa Akid cedera di beberapa bahagian di badan selain motosikal mengalami kerosakan.

Namun, pemuda dari Kota Tinggi, Johor itu tidak serik dan masih meneruskan aktiviti menunggang motosikal bersama rakan-rakan sebelum terbabit dalam kemalangan kedua pada 2017.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Bagaimanapun kali ini insiden berlaku pada waktu tengah malam. Tiada kenderaan lain, tetapi saya tidak beri tumpuan di jalan kerana asyik berseronok dengan rakan-rakan.

"Motosikal saya kemudian terlanggar pembahagi jalan sebelum tercampak ke bahu jalan. Walaupun kemalangan kedua tidak seteruk kejadian pertama, tapi sudah cukup buat saya serik.

"Sepanjang dua tahun saya merempit, saya tak pernah accident masa berlumba dengan kawan-kawan. Tapi Tuhan nak tunjuk apabila kemalangan berlaku disebabkan keegoan dan kecuaian saya sendiri," ujarnya anak sulung daripada lima beradik itu.

bekas mat rempit 4

Antara parut kesan kemalangan.

Dua kemalangan itu meninggalkan kesan parut di beberapa di tangan, badan dan kaki, selain masih mengalami kesakitan pada tangan kanan sekirannya mengangkat sesuatu yang berat.

Bersyukur masih diberikan peluang untuk bernafas di muka bumi, Akid berkata, perkongsian video 'keinsafan' itu bukan semata-mata kerana dua kemalangan yang dialaminya.

Sepanjang dua tahun saya merempit, saya tak pernah accident masa berlumba dengan kawan-kawan. Tapi Tuhan nak tunjuk apabila kemalangan berlaku disebabkan keegoan dan kecuaian saya sendiri

AKID

"Saya lebih stres apabila pengajian Ijazah Sarjana Muda saya tertangguh selama dua semester atau setahun kerana terpaksa repeat lima paper kerana keputusan yang tidak memuaskan.

"Dulu saya banyak main-main daripada belajar. Kalau ada merempit sampai pagi, sama ada saya ke kelas pagi atau saya akan mengantuk di kelas.

"Stres sebab saya terpaksa ulang pengajian untuk beberapa subjek bersama pelajar-pelajar junior. Paling stres sebab tak dapat habis belajar bersama kawan-kawan lain, tengok mereka konvo dulu," ujarnya yang ketika itu mengikuti jurusan kejuruteraan mekanikal.

bekas mat rempit 3

Akid kini bergelar jurutera.

Tambah Akid, dia juga perlu melakukan dua kerja termasuk menjadi pemandu Grab bagi menampung kos pengajiannya yang berlanjutan selama dua semester, sebelum akhirnya menamatkan pengajian.

Sehubungan itu, Akid yang kini bergelar jurutera menasihatkan anak-anak muda agar mengutamakan pengajian dan tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah.

"Kalau cedera hanya tinggal parut. Tapi kesan lebih mendalam kalau tak habis belajar atas kesilapan sendiri hingga boleh terganggu emosi.

"Oleh itu, fikirkan tentang diri sendiri dan keluarga untuk masa depan yang lebih baik," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain