suria

Kecoh remaja label bapa ‘mat rempit’, usahawan terpaksa buka cerita zaman muda... duit biasiswa beli motor pertama – “Banyak tahun tak kasi mak ayah duit tapi...”

(kiri) Razikin yang meminati motosikal sejak lebih 20 tahun lalu. (kanan) Razikin dengan kejayaan yang dikecapi dengan bisnes diusahakan bersama isteri. Foto ihsan Razikin Md Ardani

"SIAPA kata mat rempit tak boleh berjaya. 10 RT (ulang kicau) aku cerita kisah ayah aku dari seorang mat rempit jadi usahawan berjaya."

Perkongsian seorang remaja 15 tahun menerusi akaun @Nnausyad mengenai kisah kejayaan bapanya yang mencetus inspirasi, namun lain pula jadinya apabila timbul pertikaian dalam kalangan netizen.

"Aku cari gak kehidupan ayah dia sebagai mat rempit tapi awal-awal dah cerita pasal hidup susah, mana mat rempitnya? By the way, masih inspirasi," komen seorang netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman berdepan datin 'bengis lagi bakhil' buat lelaki ini sedar nilai seorang rider - "Anak beri baki 10 sen minta isi minyak motor"

ARTIKEL BERKAITAN: Yuran tertangguh malu nak minta mak ayah, nasib baik anak Tuaran ini kreatif... duit jual gelang penyelamat pelajar UPSI

"Mana satu watak mat rempit dalam cerita ni dik? Cer (cuba) cerita semula?" komen yang lain.



Perkongsian seorang pemuda mengenai bapanya menjadi perhatian kerana penggunaan perkataan 'mat rempit'.

Bercakap kepada mStar, bapa kepada pemuda berkenaan, Razikin Md Ardani tampil menjelaskan bahawa dia tidak menyertai sebarang perlumbaan motosikal secara haram.

Namun, bapa berusia 43 tahun itu mengakui kenakalannya semasa zaman muda lebih 20 tahun lalu kerana begitu minat dengan aktiviti permotoran.

"Biasalah jiwa muda masa tu, ada nakalnya. Saya pernah guna duit biasiswa masa di sekolah berasrama untuk beli motosikal pertama berharga RM400.

"Lepas habis sekolah, saya lepak dengan kawan-kawan geng motor boleh sampai malam. Kalau hujung minggu tu, lagi lama saya lepak dengan kawan-kawan," katanya kepada mStar.



Razikin meminati permotoran sejak di bangku sekolah.

Bagaimanapun, bapa kepada empat anak itu berikhtiar mencari wang poket sendiri sejak di bangku sekolah kerana menyedari kesusahan keluarganya.

"Ayah saya bekerja sebagai penoreh getah dan mak suri rumah. Saya anak kelima daripada sembilan adik-beradik. Jadi, saya kena buat kerja sendiri.

"Saya jadi tukang gunting rambut kat asrama. Tolong kawan yang bukan tinggal asrama jual kuih dan bila balik kampung, saya ambil upah petik kelapa sawit," katanya.



Bersama isteri dan empat anak.

Malahan, Razikin yang berasal dari Kampung Bukit Kerayong di Kapar, Selangor juga tidak berpeluang untuk menyambung pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Masa tu keputusan dapat pangkat satu. Tapi disebabkan faktor kewangan keluarga, jadi abaikan saja tawaran dan niat untuk sambung belajar.

"Ingat lagi, saya balik tunjuk keputusan SPM kat ayah... ayah tak toleh, senyum tak, cakap pun tak, tapi tunduk saja. Saya tahu kami susah, jadi cukuplah setakat SPM," katanya.



Razikin (kiri) bersama isteri yang menjadi tulang belakangnya ketika susah dan senang.

Razikin menghabiskan masa selama 20 tahun bekerja di kilang dalam pelbagai bidang dan pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama selepas berumah tangga.

"Gaji kerja kilang yang ada tak cukup nak bayar itu ini. Jadi isteri bantu cari duit dari jual buah sehingga jadi mak andam sebelum mengusahakan butik pengantin. Isteri yang menjadi tulang belakang susah dan senang saya.

Isteri bantu cari duit dari jual buah sehingga jadi mak andam sebelum mengusahakan butik pengantin. Isteri menjadi tulang belakang kepada susah dan senang saya

RAZIKIN MD ARDANI

"Masa tu, saya masih kerja kilang dan lepas habis syif akan ke rumah pelanggan untuk pasang pelamin. Dapat tidur dua atau tiga jam tu dah bersyukur," katanya yang kemudian mengusahakan bisnes secara serius bersama isteri pada 2015 sebelum memutuskan berhenti kerja kilang setahun kemudian.

Kini mengusahakan syarikat pembekal barangan pelamin di Klang, Razikin mendedahkan bisnesnya pernah mencatatkan pendapatan kira-kira RM500,000 sebulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Bersama sebahagian kakitangan di premis perniagaannya membekalkan barangan pelamin dan perkahwinan.

"Sebelum ini banyak tahun saya tak kasi mak ayah saya duit sebab mereka pun tahu masalah kewangan saya. Tapi sampai satu tahap, saya akhirnya beri duit kat mak ayah buat pertama kali.

"Masa tu mak ayah menangis peluk saya. Bila saya bagi lebih kat mak ayah, lagi banyak (keuntungan) yang saya terima. Saya terfikir, kenapalah saya tak buat ni dulu.

"Mungkin Tuhan nak bagi saya sedar pada waktu yang tepat. Saya sedar, selagi ada orang tua, bantulah mereka, dan buatlah mereka gembira kerana dari situ kita akan dapat keberkatan dalam apa jua yang kita lakukan," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak