suria

Pelajar malu masuk tingkatan 6, geram dengan mak ayah enggan tanggung yuran kolej - “Bukan ke itu tanggungjawab mereka?”

Kata pelajar itu, dia enggan menyambung pengajian ke Tingkatan Enam. (Gambar Hiasan)

KISAH seorang pelajar yang mahu menyambung pengajian ke sebuah kolej swasta mengundang perhatian ramai setelah ia dikongsi di laman Twitter.

Menurut pelajar itu, dia tidak menerima sebarang tawaran universiti awam tetapi enggan menyambung pengajian di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Saya dapat tawaran tingkatan enam, tetapi tidak dapat tawaran mana-mana universiti. Jadi saya buat keputusan mohon universiti atau kolej swasta.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat tugasan melalui WhatsApp, pelajar perlukan 5 jam, 3 alat hasilkan potret PM yang wow!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Tingkatan Enam Dibenar Pakai Kasual Dengan Bersyarat

"Tapi mak ayah saya tak mahu tanggung yuran pengajian, mereka kata ia terlalu mahal. Memanglah mahal tapi bukan ke itu tanggungjawab mereka untuk tanggung kos pengajian saya?

"Saya tak mahu tingkatan enam, tak ada 'kelas' masuk sekolah balik. Saya rancang dengan kawan dan setuju nak sambung belajar di situ (kolej)," ujar pelajar itu.

Tambahnya, dia sedar datang dari keluarga tidak kaya namun berharap ibu bapanya berusaha untuk membolehkan dia menyambung pengajian sebagaimana yang diinginkannya.

"Saya tak nak buat pinjaman pendidikan. Nanti bagaimana nak beli kereta impian saya dan segalanya? Saya geram dengan mak ayah saya," tulisnya lagi.

Antara kandungan perbualan yang dikongsi.

Dikongsi di Twitter oleh seorang guru yang mahu dikenali sebagai Jannah, paparan skrin mesej pelajar itu sehingga kini menerima lebih 34,000 ulang kicau (Retweet).

Menurut Jannah yang juga guru kelas aliran perdana di sebuah sekolah di Selangor, dia berkongsi mesej itu atas permintaan pelajar itu sendiri yang mahu melihat pandangan netizen atas isu yang menimpa dirinya.

"Saya memang buat akaun Twitter untuk kongsi ilmu secara santai-santai mengenai topik sambung belajar, setiap hari dapat mesej pertanyaan dari pelajar, tanya pendapat mengenai sambung belajar.

"Pelajar ni bukan pelajar saya, sekolah saya pun memang tiada pelajar STPM. Saya pun tak kenal dia tapi dia mesej saya tanya pendapat, dia juga minta saya post di Twitter.

"Bukan saya nak bukak aib, tapi dia sendiri minta saya post untuk tengok pendapat orang lain," ujarnya kepada mStar.

Dengan sistem baharu sekarang, banyak manfaat STPM. Ia fast track untuk ke peringkat degree. Tak perlu mohon pinjaman.

JANNAH

GURU

Mengulas kisah pelajar itu, Jannah berkata dia tidak menyalahkan dirinya namun ada membuat teguran menerusi perbualan mesej antara mereka.

Malah katanya, dia memberi nasihat kepada pelajar itu serta individu lain agar sentiasa 'ukur baju di badan sendiri' supaya tidak membebankan ibu bapa masing-masing.

"Dia tanya saya boleh ke masuk kolej? Saya rasa memang mahal. Kalau mak ayah saya pun mereka tak bagi. Jadi saya tanya juga, kenapa tak mahu tingkatan enam?

"Sebenarnya dia terikut dengan kawan-kawan. Saya tak salahkan dia, tapi saya tegur. Pada masa sama saya brief student lain supaya tahu mak ayah ada keupayaan sendiri. Kalau kita bukan orang berada, know your ground," ujarnya.

Menurut Jannah lagi, pengaruh rakan serta gaya hidup turut menjadi punca kepada kes sedemikian.

Kata Jannah, banyak manfaat boleh diperolehi pelajar menerusi pengajian peringkat STPM. (Gambar Hiasan)

Jelasnya, menjadi satu kerugian buat pelajar yang enggan menyambung pengajian di peringkat STPM kerana ia mempunyai manfaat tersendiri.

"Gaya hidup, trend laman sosial... nak ikut cara orang. Nak kejar gaya hidup bebas, hidup macam orang dewasa, tapi semua tu melibatkan kos.

"Rugi sangat, saya selalu kata pada pelajar saya... kalau tak dapat masuk universiti, sambung tingkatan enam. Tak lama pun.

"Dengan sistem baharu sekarang, banyak manfaat STPM. Ia fast track untuk ke peringkat degree. Tak perlu mohon pinjaman.

"Pada sesetengah pelajar, mereka malu nak masuk sekolah balik. Kalau tak mampu masuk kolej swasta, masuk tingkatan enam," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Jannah, STPM, universiti, kolej swasta

Artikel Lain