suria

Sebelum PKP 14 tahun asyik travel... kini jadi cleaner, gaji pertama hanya 3 angka tapi apa dilakukan pemuda ini besar sungguh pahalanya!

Razi (gambar kecil) menggunakan gaji pertama sebagai 'cleaner' dengan memberikan wang kepada ibu dan belanja sahabat-sahabat.

SIAPA yang tidak gembira menerima gaji pertama.

Begitulah yang dialami seorang pemuda menerusi satu perkongsian video berdurasi 20 saat di aplikasi TikTok.

Video tersebut memaparkan pemuda itu mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM), sebelum memberikan sumbangan kepada beberapa individu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah lupa wishlist 2 tahun lalu... peluang cari hadiah hari jadi adik bongsu bikin kejutan buat satu famili –- "Tak sangka seorang lagi adik tiba-tiba menangis"

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! 7 beradik terima hadiah barang LV bernilai RM60,000 daripada kakak sulung, tahun ini masing-masing dapat pakej umrah

"Alhamdulillah gaji dah. Kerja sebagai cleaner. Tak banyak pun," tulisnya.



Razi melakukan kerja-kerja pembersihan sejak Februari lalu.

Pemuda berkenaan, Mohamad Razi Jamit berkata, video tersebut dikongsi berdasarkan pendapatan pertamanya sebagai pekerja pembersihan pada Februari lalu.

Anak muda berusia 33 tahun itu, berkata sebahagian peruntukan gaji tersebut digunakan untuk memberi duit poket kepada ibunya selain membeli hadiah kepada tiga rakan karibnya.

"Walaupun jumlah bayaran pertama bagi kerja sebagai cleaner hanya tiga angka, tapi saya bersyukur kerana ia mencukupi memandangkan saya masih bujang.

"Gaji pertama memang tak banyak. Tapi komitmen saya juga berkurangan buat masa ini berikutan kemudahan moratorium ansuran pinjaman dengan bank," katanya kepada mStar.



Ketika bertugas di luar negara menerusi agensi pengembaraan.

Lebih mesra disapa Razi, dia sebelum ini mengusahakan bisnes agensi pengembaraan selama 14 tahun sejak 2008 tetapi terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Dulu saya banyak merantau untuk cari rezeki. Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama tahun lalu, saya buat beberapa kerja seperti menjual nasi lemak dan servis cuci karpet dan sofa.

"Sekarang ni saya dapat kerja pembersihan mengikut kontrak yang saya buat sendiri. Saya yang sapu dan mop lantai, bersihkan karpet dan buang sampah serta cuci tandas," ujarnya yang berasal dari Pasir Gudang, Johor.



Razi bersama ibu yang berusia 61 tahun.

Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, video yang dimuat naiknya di aplikasi TikTok bertujuan untuk berkongsi perkara yang positif kepada netizen.

"Berkongsilah rezeki dengan sesiapa terutama ahli keluarga dan sahabat walaupun gaji kita tak banyak mana. Sebagai anak, menjadi tanggungjawab saya beri wang kepada mak.

Dalam keadaan sekarang tak boleh memilih kerja. Apa yang penting, kerja halal yang kita buat tu boleh jana pendapatan

MOHAMAD RAZI JAMIT

"Mungkin yang tertanya-tanya kenapa gaji cleaner tapi dah boleh belikan hadiah kepada kawan-kawan. Mereka bukan sekadar rakan biasa, tapi sahabat saya ketika susah, senang.

"Masa saya tak ada kerja dulu sebab PKP, mereka tetap bersama saya selain membantu dan belanja saya. Apa salahnya saya menghargai mereka dengan gaji pertama," katanya.



Razi (kiri) bersama tiga sahabat baiknya.

Mengulas lanjut, pemuda yang sedang mengikuti pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan harta tanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu pernah dipandang serong gara-gara melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Ada segelintir pihak yang kata dah ada kelayakan dan jiwa saya lebih kepada bisnes, takkanlah kerja cleaner, cuci tandas. Mereka kata saya downgrade kerja saya.

"Kerja pembersihan yang saya buat ni pun satu bisnes, cuma sekarang saya yang buat semua kerja seorang dan lebih selesa dalam keadaan begitu buat masa ini.

"Bagi saya, kerja apapun boleh asalkan halal. Dalam keadaan sekarang tak boleh memilih kerja. Apa yang penting, kerja halal yang kita buat boleh jana pendapatan," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

‘Jangan terlalu harapkan Ronaldo’

'Barcelona yang dulu bukanlah yang sekarang'