suria

Wow! 7 beradik terima hadiah barang LV bernilai RM60,000 daripada kakak sulung, tahun ini masing-masing dapat pakej umrah

Kak Bie (baju putih) menghadiahkan barangan LV kepada adik-beradiknya sempena hari jadi mereka.

BUKAN satu kejutan, tetapi tujuh kejutan yang dibuat oleh seorang wanita apabila menghadiahkan barangan jenama mewah buat adik-beradiknya.

Menerusi satu video di aplikasi TikTok, wanita berkenaan menghadiahkan barangan jenama fesyen terkenal dari Perancis, Louis Vuitton (LV) sempena hari jadi adik-beradiknya.

"Saya sayang semua adik-beradik saya," ujar wanita itu menerusi video yang meraih lebih 170,000 tontonan selain dihujani komen-komen positif dalam kalangan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah betul 2 bibik... terkejut terima telefon baharu, rupa-rupanya bonus gelang emas pun pernah dapat - "Tuhan bagi kesenangan bukan untuk kita rasa seorang"

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah lupa wishlist 2 tahun lalu... peluang cari hadiah hari jadi adik bongsu bikin kejutan buat satu famili - "Tak sangka seorang lagi adik tiba-tiba menangis"

Wanita berkenaan, Hartini Sulaiman memberitahu, dia merupakan anak kedua daripada lapan adik beradik yang terdiri daripada tiga lelaki dan lima perempuan.



Adik-beradik perempuan dihadiahkan beg tangan LV.

Anak perempuan sulung berusia 41 tahun itu berkata, kesemua barangan LV itu adalah hadiah yang diberikan sepanjang 2020 buat seorang abang dan enam adiknya yang menyambut ulang tahun kelahiran.

"Mereka tidak meminta untuk dihadiahkan barangan berjenama atau mewah tetapi saya sendiri yang mahu menggembirakan adik-beradik saya.

"Tuhan beri rezeki lebih dan kesenangan kepada saya, jadi saya mahu adik-beradik turut rasa apa yang saya rasa menerusi pemberian hadiah tersebut," katanya kepada mStar.

Lebih dikenali sebagai Kak Bie, katanya, hadiah LV tersebut berharga serendah RM6,800 sehingga mencecah RM12,000 sebuah, menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM60,000.



Adik-beradik lelaki turut dihadiahkan barangan LV.

"Antara hadiah tersebut ada yang saya beli, beli secara online termasuk mendapatkan bantuan adik dan khidmat pembeli peribadi (personal shopper).

"Saya juga mendapat nasihat daripada adik-beradik lain serta jurujual di butik mengenai kualiti, warna dan material serta jenis yang bersesuaian dengan citarasa masing-masing. Adik-beradik lelaki akan dapat LV, manakala perempuan dapat beg tangan LV," ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Tuhan beri rezeki lebih dan kesenangan kepada saya, jadi saya mahu adik-beradik turut rasa apa yang saya rasa menerusi pemberian hadiah

HARTINI SULAIMAN (KAK BIE)

Menurut usahawan produk kecantikan itu, ini bukanlah pertama kali adik-beradiknya dihadiahkan dengan barangan mewah, kerana pada tahun sebelumnya dia pernah menghadiahkan mereka dengan barangan kemas untuk perempuan dan jam tangan buat lelaki.

"Semua adik-beradik saya telah berkahwin, malah ada yang bergaji besar, tapi saya tetap mahu menggembirakan mereka dengan hadiah-hadiah berjenama.

"Nak berkongsi rezeki dengan orang luar, kita juga perlu berkongsi rezeki dengan orang yang dekat dengan kita seperti adik-beradik," katanya.



Kak Bie (duduk, tengah) bersama adik-beradik.

Mengulas lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu terkenang zaman kanak-kanaknya bersama adik-beradik setiap kali memberikan hadiah kepada mereka.

"Teringat masa zaman kanak-kanak, masa semua masih kecil dan bersekolah sehingga sekarang masing-masing ada kehidupan sendiri.

"Walaupun semua dah besar, saya tetap ada rasa tanggungjawab sebagai anak perempuan sulung kepada abang dan adik-adik saya," katanya.



Kak Bie mahu berkongsi rezeki dengan adik-beradiknya.

Kak Bie berkata, dia amat berharap tanpa mengira apa jua dugaan dan cabaran yang perlu dilalui pada masa akan datang, hubungan mereka adik-beradik tetap kuat dan berkekalan.

"Bagi tahun 2021, saya merancang untuk menaja pakej umrah kepada adik-beradik sebagai hadiah hari jadi," katanya sambil menambah adik-beradiknya boleh menunaikan umrah secara percuma sebaik jemaah umrah dari Malaysia dibenarkan untuk menunaikan ibadah itu.

Terdahulu, wanita itu pernah tular kerana menghadiahkan telefon bimbit dan gelang emas kepada dua pembantu rumahnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain