suria

Tak pernah lupa wishlist 2 tahun lalu... peluang cari hadiah hari jadi adik bongsu bikin kejutan buat satu famili – “Tak sangka seorang lagi adik tiba-tiba menangis”

(kiri) Keluarga Siti Syammi menerima kejutan hadiah. (kanan) Salah seorang adik Siti Syamimi menangis menerima hadiah ukulele. Foto ihsan Siti Syamimi Balqis Sufian

NIAT seorang remaja pada mulanya mahu mencari hadiah sempena ulang tahun adik bongsu, tapi sekali seluruh ahli keluarganya menerima kejutan yang tidak disangka-sangka.

Begitulah misi seorang remaja perempuan yang mencari hadiah untuk diberikan kepada ibu bapa dan adik-beradiknya yang dipaparkan menerusi rakaman video.

Video asal berdurasi hampir lima minit itu menunjukkan majlis sambutan hari jadi adik bongsunya, yang menyaksikan setiap ahli keluarganya membuka hadiah masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan hadiah buat adik-adik, tapi abang yang sebak "Tak pernah meminta-minta, tapi saya tahu mereka teringin"

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan abang! Telefon sendiri rosak selepas beli hadiah phone untuk adik - "Buat masa ni pinjam handphone makcik"

Namun, video diakhiri dengan drama air mata apabila salah seorang daripada adiknya tidak dapat menahan sebak sebaik membuka hadiah berupa sebuah alat muzik ukulele.

Remaja tersebut, Siti Syamimi Balqis Sufian berkata, dia pada mulanya mahu membelikan hadiah untuk adik perempuannya yang menyambut ulang tahun ke-3 pada awal bulan ini.



Wajah ceria keluarga Siti Syamimi.

Masih bergelar pelajar dan tidak mempunyai sumber pendapatan sendiri, remaja berusia 16 tahun itu nekad berniaga spageti secara kecil-kecilan bersama ibunya untuk mendapatkan duit poket tambahan.

"Kami baru mulakan bisnes spageti sejak awal September. Kami buat untuk jana pendapatan sampingan kerana ayah seorang saja yang bekerja, manakala ibu pula suri rumah.

"Selain untuk keluarga, hasil jualan spageti itu juga saya gunakan untuk perbelanjaan sendiri dan bakinya saya buat simpanan," katanya kepada mStar.

Mengenai misi kejutannya, Siti Syamimi berkata, dia membelikan telekung sebagai hadiah buat adik bongsunya bagi menggantikan telekung sedia ada yang agak longgar.

"Kain telekung adik bongsu sebelum ini longgar. Bila saya ajak dia solat, mesti dia lari sebab telekung dia kalau pakai kain mesti kena ikat dengan getah.

"Kain telekung longgar tu buat dia tak selesa. Jadi, saya hadiahkan telekung baru kerana usia dia masih kecil lagi elok untuk dilatih bersolat," ujarnya yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik.



Siti Syamimi membeli hadiah untuk keluarga menggunakan simpanan hasil jualan spageti.

Walaupun jualan spageti dilakukan secara kecil-kecilan, namun gadis berasal dari Klang, Selangor itu bersyukur kerana sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

Sebab itulah dia bercadang untuk berkongsi rezeki hasil jualan spageti itu dengan membelikan hadiah untuk seluruh ahli keluarganya termasuk ibunya sendiri.

"Bila saya keluar dengan kawan, saya beritahu mak yang saya nak belikan hadiah untuk hari jadi adik. Pada masa sama saya pergi cari hadiah untuk ahli keluarga lain.

Masa hari jadi adik yang keenam pada 2018, dia teringin sangat nak ukulele. Tapi saya tak ada duit untuk belikan hadiah masa tu

SITI SYAMIMI BALQIS SUFIAN

"Mak pun tahu duit simpanan saya hasil jual spageti tu untuk belikan hadiah adik. Tapi mak tak sangka saya akan buat kejutan untuk mak dan ayah serta adik-beradik lain," katanya.

Menurut Siti Syamimi, dia membelikan beg sandang untuk kegunaan bapanya ke tempat kerja, sehelai baju untuk ibunya serta sehelai seluar buat abangnya.



Siti Syamimi (kiri) bersama keluarga tercinta.

Bagi adik perempuannya yang berusia lapan tahun, dia menghadiahkan sebuah ukulele yang sebenarnya diminta sebagai hadiah hari jadi dua tahun lalu.

"Masa hari jadi adik yang keenam pada 2018, dia teringin sangat nak ukulele. Tapi saya tak ada duit untuk belikan hadiah masa tu sehinggalah tahun ini baru permintaannya dapat ditunaikan.

"Tapi tak sangka adik tiba-tiba menangis bila dapat ukulele sebab itulah hadiah yang diidam-idamkan sekian lama. Dia sebak sebab wishlist hadiah hari jadi dua tahun lepas akhirnya tertunai, memang dia gembira sangat.

"Alhamdulillah, rezeki saya dan ibu serta keluarga dimurahkan. Ia menjadi semangat untuk kami meneruskan bisnes, dan mungkin nak jual baju secara online pula pada masa akan datang," katanya dengan nada teruja.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain