suria

Selalu riuh di klinik ambil ubat, mesranya pasangan warga emas bagai baru semalam jatuh cinta... satu hari jenuh doktor mencari, tiada lagi kelibat si isteri - “Ubat habis, saya dah janji”

Kisah cinta hingga hujung nyawa sepasang suami isteri warga emas yang dikongsikan Dr Kamarul Ariffin benar-benar menyentuh hati netizen. Gambar hiasan

SETIAP pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan untuk hidup bersama meniti hari tua sehingga ke akhir hayat.

Memasuki usia emas, pasti kebanyakan masa dihabiskan berdua memandangkan anak-anak sudah mempunyai hidup masing-masing.

Melihat pasangan lanjut usia yang masih bergurau senda, berpegangan tangan dan saling mengambil berat antara satu sama lain, pasti terbit rasa gembira dan ingin mempunyai hubungan yang sama seperti mereka, sebagaimana perkongsian seorang doktor ini.ARTIKEL BERKAITAN: Doktor dedah ibu bapa tonjol teladan tak baik, paksa beri MC pada anak tak sakit... padahal bercuti, tak siap homework - “Ada pujuk, rayu sampai ugut”

ARTIKEL BERKAITAN: Dimaki bodoh kerana rujuk buku, ibu pesakit dapat jawapan padu doktor... sudahnya dapat surat tunjuk sebab! - “Jimat masa, kurangkan human error”

Menulis di Facebook, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi kisah sepasang suami isteri warga emas yang benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepadanya.

Menurut Dr Kamarul Ariffin, pasangan yang berusia lingkungan usia 70 tahun itu menjadi pengunjung tetap kliniknya saban bulan untuk mengambil ubat.

"Mereka datang setiap bulan untuk ambil bekalan ubat mereka. Dua-dua ada kencing manis dan darah tinggi. Si isteri tu kecil sahaja orangnya, kurus, tapi kalau bercakap, suaranya kuat macam halilintar. Kalau jumpa saya, ada saja dia nak cakapkan.

"Si suami pula pendiam. Kalau dalam bilik konsultasi dia jarang bercakap. Dia akan berdiri sahaja di samping isterinya. Senyum bila isterinya melawak, mengiyakan bila isterinya bercerita.



Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan turut terkesan dengan kisah sedih pasangan warga emas berkenaan.

"Si isteri selalunya balas begini 'Tolong suruh dia ni makan ubat, doktor. Pemalas makan ubat dia ni. Kalau tak piat telinga, mesti dia tak makan. Dah tua bangka pun kena paksa makan ubat, macam budak kecil.

"OK OK OK, saya janji saya makan, ujar si suami. Terhibur tengok gelagat mereka berdua. Masih mesra bergurau walaupun dah berpuluh tahun berumahtangga. Cara mereka bergurau tu seolah-olah macam baru semalam mereka jatuh cinta," tulis doktor berkenaan sambil berkata kehadiran pasangan tersebut benar-benar membuatkannya gembira.

Hinggalah pada suatu hari, kehadiran pasangan tersebut ke kliniknya tidak seperti sebelum ini, di mana hanya si suami sahaja berseorangan memasuki bilik konsultasi.

Puas dijengah ke luar bilik konsultasi, namun kelibat si isteri yang suka berceloteh itu tetap tidak juga kelihatan.

"Jadi, saya tanyalah dia adakah dia datang seorang. Saya tanya mana isterinya. Terkebil-kebil dia lihat saya. Saya nampak halkum dia bergerak, telan air liur. Hati saya terus jadi tak sedap.

"Tersekat-sekat tuturnya bila dia beritahu saya bahawa isteri dia dah tiada. Bilik konsultasi terasa sangat sunyi. Rasa amat janggal. Biasanya ceria dengan celoteh isterinya. Hari ini semua itu tiada. Hati saya jadi sebak.



Pasangan berkenaan sentiasa ceria dan riuh setiap kali bertemu Dr Kamarul Ariffin untuk mengambil ubat. Gambar hiasan

"Kalau saya pun terkesan, saya tak dapat bayangkan betapa kosongnya jiwa si suami yang menanggung pilu bila insan yang mewarnai hidupnya selama puluhan tahun, tiba-tiba telah tiada bersamanya. Pasti sukar,"ceritanya mengimbas kembali pertemuan tersebut.

Belum pun reda rasa sebak selepas mengetahui berita duka pemergian isteri lelaki berkenaan, kali ini doktor tersebut tidak lagi mampu menahan air matanya daripada berguguran apabila mendengar bait-bait kata si suami.

"Ubat saya dah habis. Saya dah janji dengan dia. Kata-katanya tersekat kereta menahan sedu, bila sudah henti sedan, dia sambung Saya dah janji akan makan ubat.

"Saya seka air mata. Saya tak kata apa-apa. Tak tahu nak cakap apa. Kelu lidah. Teragak-agak nak respon bagaimana. Risau tersalah cakap. Lama juga kami berdua duduk diam membisu begitu.

"Saya yang susah makan ubat, saya yang selalu culas, tapi dia yang pergi dulu, ujarnya tiba-tiba. Belum sempat saya balas apa-apa untuk mententeramkannya, dia bangun dari kerusi dan terus menuju ke pintu.



Klinik Dr Kamarul Ariffin tidak lagi dikunjungi si suami sejak kali terakhir pada dua bulan lalu, selepas pemergian isterinya. Gambar hiasan.

"Saya minta diri dulu, doktor, katanya sambil mengesat air mata dengan hujung lengan baju kemejanya. Lelaki tu beri salam, dan keluar dari bilik konsultasi. Itulah kali terakhir dia datang ke klinik saya," cerita doktor berkenaan.

Menurut doktor itu lagi, sudah dua bulan berlalu sejak kali terakhir si suami datang ke klinik menjadikannya tertanya-tanya mengenai khabar lelaki tua berkenaan.

"Saya doakan yang baik-baik sahaja buatnya. Semua pasangan akan hadapi saat ini nanti, termasuk saya. Adakah saya mampu hadapinya? Entahlah.

"Pada yang masih ada pasangan tu, jangan pernah culas menyintai pasangan kalian setiap hari. Tak usah bila dah tiada peluang meluahkan kasih dan sayang, baru hendak merindui," tulisnya lagi.

Sehingga kini berkongsian tersebut meraih melebihi 4,000 shares.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain