suria

Simpati tengok 5 beranak kait kelapa terbiar ketika hujan, guru terfikir satu keadaan lebih buruk selepas borong semua buah - “Mungkin sebenarnya mereka nak alas perut”

Maisarah berkongsi kisah sedihnya yang terserempak dengan lima beranak menjual buah kelapa, baru-baru ini.

SITUASI pandemik Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga menyebabkan beberapa negeri khususnya Sabah, terjejas teruk, lantaran kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan bagi mengekang penularan wabak berbahaya itu.

Keadaan ini menyebabkan kebanyakan rakyat kehilangan sumber pendapatan kerana tidak semua sektor dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya.

Keasannya, ada yang terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan alternatif demi mencari wang untuk menyara keluarga masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ramai dah tiada kerja, bayi minum air suam, air gula” - Tak sanggup lihat penderitaan, guru jadi sukarelawan... tersentuh dapat sesuatu yang ‘mahal’

ARTIKEL BERKAITAN: Ditugaskan ke Semporna, doktor berpengalaman kini bertahan... tidak mahu tumbang di ‘TheLittleWuhan’- “Saya tak setanding doktor-doktor muda di sini”

Perkongsian seorang guru yang aktif melakukan aktiviti kebajikan di sekitar Sandakan, Sabah di media sosial baru-baru ini nyata menyentuh hati netizen.

Dalam perkongsian tersebut, Maisarah Hannan berkongsi kisahnya bersama rakan-rakan sukarelawan terserempak dengan lima beranak yang sedang mengait buah kelapa untuk dijual ketika hari hujan.

"Si ibu memegang payung untuk melindungi tiga anak kecilnya yang kehujanan, si ayah membetulkan bambu panjang yang digunakannya untuk mengait kelapa muda. Ini situasi yang saya terlihat di tepi jalan semasa dalam perjalanan menuju ke lokasi agihan bantuan," demikian kapsyen pada perkongsian tersebut.



Maisarah dan rakan sukarelawannya memberikan bantuan berupa barangan dapur kepada lima beranak berkenaan.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, guru tersebut berkata kejadian kira-kira seminggu lalu itu benar-benar membuatkannya terkesan kerana tidak dapat membayangkan kesukaran hidup keluarga berkenaan sehingga terpaksa mengait buah kelapa terbiar untuk dijual.

"Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi di mana saya dan tiga lagi rakan sukarelawan sedang dalam perjalanan ke lokasi agihan bantuan. Biasalah, mata pemandu pasti akan peka apa yang ada di tepi-tepi jalan.

"Ketika itu sebaik sahaja ternampak mereka, saya serta merta terus berhentikan kenderaan. Sedih bila lihat tiga anak pasangan ini yang berusia dalam lingkungan dua hingga lima tahun duduk di bawah payung, sementara si bapa sedang betulkan galah buluh.



Maisarah dan pasukan sukarelawan masih lagi aktif menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas di sekitar Sandakan.

"Saya bertanya, nak jual ke kelapa ni. Si ibu mengiyakan. Terus saya kata nak beli semua... dalam pada itu, sempat juga saya bertanya beberapa perkara. Rupa-rupanya si bapa kehilangan kerja sejak PKP. Mereka dari kampung berdekatan.

"Sebaik saja beli buah kelapa, saya hulurkan barang keperluan seperti beras, telur dan barangan dapur yang lain kepada mereka dan berpesan supaya lekas pulang kerana sedang hujan," katanya.

Sudah pastinya keluarga ini dalam keadaan terdesak... sehingga bawa anak-anak untuk mencari rezeki.

MAISARAH HANNAN

GURU/SUKARELAWAN

Menurut guru kaunseling ini, sepanjang lapan bulan bergiat sebagai sukarelawan, pertemuan dengan lima beranak itu merupakan antara kisah yang begitu menginsafkan dirinya.

"Sudah pastinya keluarga ini dalam keadaan terdesak... sehingga bawa anak-anak untuk mencari rezeki. Namun begitu, hati saya ada juga terdetik, mungkin kelapa itu pada asalnya untuk mereka alas perut sebelum saya tawarkan untuk membelinya," kata guru yang mengajar di SMK Conven St Cecilia, Sandakan ini.

Dalam pada itu, Maisarah berkata dia masih lagi bergiat aktif mengagihkan bantuan kepada penduduk kampung lebih-lebih lagi selepas beberapa perkongsiannya sebelum ini tular sehingga ramai pihak menghubunginya untuk menyalurkan sumbangan.



Guru ini aktif sebagai sukarelawan sejak PKP, Mac lalu.

"Saya bergerak bersama rakan-rakan guru dan kadang kala menyertai team NGO lain, antaranya team The 3rd Force (Thirdforce) di bawah Dr Raja Shamri Raja Husin.

"Apa yang boleh saya katakan, terlalu banyak kisah menginsafkan yang saya temui sepanjang terlibat sebagai sukarelawan. Bila kongsi kisah-kisah ini di laman sosial, secara tak langsung ia membuka peluang untuk orang lain sama-sama berkongsi rezeki.

"Dalam pada itu, saya terharu apabila ada juga yang menjadikan apa yang kami lakukan ini sebagai inspirasi. Saya ingin terus aktif selagi ada kudrat... walaupun penat, tapi bila lihat senyuman penduduk, ia satu kepuasan. Bagi saya, ia penat yang sungguh berbaloi," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ahmad Said, isteri disahkan positif Covid-19