suria

“Ramai dah tiada kerja, bayi minum air suam, air gula” - Tak sanggup lihat penderitaan, guru jadi sukarelawan... tersentuh dapat sesuatu yang ‘mahal’

Cikgu Maisarah tidak kekok menjadi sukarelawan dan turun padang menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung.

TUGAS hakikinya adalah sebagai seorang pendidik, namun wanita ini langsung tidak kekok untuk menyusuri kampung-kampung dan mengerah tenaga sebagai seorang sukarelawan.

Terkesan dengan kesusahan hidup yang dialami oleh kebanyakan penduduk gara-gara pandemik Covid-19 mendorong guru ini tampil ke hadapan walaupun berdepan dengan risiko.

Berkongsi cerita dengan mStar, Maisarah Hannan berkata dia aktif sebagai sukarelawan sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebelum ini hanya di belakang tabir... peluang 2 minggu jadi sukarelawan di Sabah, wanita ini dapat pengalaman tak dijangka - “Pernah diacukan kayu sebab ajak buat ujian swab”

ARTIKEL BERKAITAN: Mengajar di pedalaman, guru ‘bina’ kolam renang untuk murid... sanggup tempuh perjalanan beratus kilometer hantar kerja rumah

"Kadang kala saya bergerak bersama dengan rakan-rakan guru dan kadang kala saya menyertai team The 3rd Force (Thirdforce) di bawah Dr Raja Shamri Raja Husin.

"Lokasi-lokasi yang dijelajahi adalah kampung-kampung sekitar Sandakan. Kami masuk kampung yang berbeza. Namun sejak tersebar dan mulai viral, ramai yang mesej saya saya sendiri di Facebook meminta bantuan disampaikan di kampung mereka," kata guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Conven St Cecilia, Sandakan, Sabah ini.

Tidak menyangka perkongsiannya di media sosial mendapat perhatian, guru kaunseling ini bersyukur kerana lebih ramai pihak yang tampil menyumbangkan dana untuk disalurkan kepada golongan yang kurang berkemampuan.



Cikgu Maisarah dan rakan-rakan guru yang bertugas sebagai sukarelawan dengan mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk kampung.

"Sejak viral, memang ramai yang mesej meminta nombor akaun kerana sama-sama mahu memberi sumbangan. Boleh dikatakan sumbangan banyak dapat daripada orang ramai kerana mereka juga mahu tumpang beramal. Kami akan beli barangan keperluan asas, makanan dan pelitup muka untuk diagihkan.

"Secara tidak langsung apa yang berlaku ini tanpa sedar telah membuka peluang kepada orang lain untuk sama-sama mengejar saham pahala. Tak terlintas langsung boleh sampai ke tahap ini kerana niat asalnya mahu tolong-tolong saja.

"Selain mesej minta nombor akaun, ada ramai juga yang mesej memberi kata-kata semangat dan titipkan doa untuk kami. Itu pun 'mahal' sebenarnya buat kami. Benarlah, musibah ini sebenarnya tersembunyi banyak hikmah," kata guru berusia 35 tahun ini.

Kami sukarelawan tiada kelengkapan pelindung peribadi (PPE) jadi kami ambil inisiatif beli baju hujan dan pakai sebagai pengganti.

MAISARAH HANNAN

GURU/ SUKARELAWAN

Bercerita lebih lanjut, guru ini mengakui situasi gelombang ketiga penularan Covid-19 ketika ternyata memberikan kesan yang bukan calang-calang kepada penduduk, sekali gus menyebabkan para sukarelawan berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Banyak kawasan di Sandakan yang sudah dikenakan 'lockdown' jadi ada juga beberapa tempat yang tak boleh masuk suka hati. Tentunya kawasan-kawasan ini dikategorikan sebagai kawasan merah, oleh itu aspek keselamatan adalah perkara utama yang perlu dberi perhatian.

"Kami sukarelawan tiada kelengkapan pelindung peribadi (PPE) jadi kami ambil inisiatif beli baju hujan dan pakai sebagai pengganti," ujarnya yang berasal dari Tawau.



Cikgu Maisarah dan rakan-rakan memakai baju hujan sebagai pengganti kepada PPE.

Walau berdepan dengan risiko serta cabaran sepanjang terlibat sebagai sukarelawan di daerah tersebut, guru ini berkata dia turut mengutip pengalaman berharga yang pasti tidak akan dilupakan seumur hidup.

"Pengalaman-pengalaman sepanjang bergelar sukarelawan benar-benar menjentik keinsafan dalam diri saya. Hati saya sangat sedih dan tersentuh dengan keperitan yang dialami mereka.

"Ada yang hantar mesej dan siap tangkap gambar rumah mereka yang daif. Ada yang mesej minta bantuan dan beritahu bayinya sudah beberapa hari minum air suam dan air gula sebab tak mampu nak beli susu sebab rata-ratanya sudah tiada kerja.



Cikgu Maisarah terlibat sebagai sukarelawan sejak 2017 dan aktif turun padang mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk kampung sejak PKP, Mac lalu.

"Pernah sekali saat tiba di kampung, kami sedang agihkan bantuan yang mana sudah ada penerimanya berdasarkan maklumat yang diterima. Tapi sebaik sampai, rupa-rupanya ramai pula yang keluar dari merata pelosok kampung. Kesian sangat bila tahu ramai yang memerlukan bantuan," ceritanya.

Mengakui situasi di kebanyakan negeri khususnya Sabah terjejas teruk dek gelombang ketiga Covid-19, guru ini berkata kini bukan masanya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak.

"Ramai yang salah-menyalah antara satu sama lain. Namun ini bukan masanya untuk berbalah, sebaliknya kita perlu berganding bahu menolong semampunya. Kalau tak mampu, kita boleh bantu dengan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat negara ini," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain