suria

Mengajar di pedalaman, guru ‘bina’ kolam renang untuk murid... sanggup tempuh perjalanan beratus kilometer hantar kerja rumah

Muhammad Nazmi 'mencipta' kolam renang ketika sebagai salah satu pendekatan pembelajaran dan menerima pujian warga Twitter.

TUGAS seorang guru sememangnya tidak mudah.

Bukan sahaja mendidik, namun golongan ini memainkan pelbagai peranan sebagai bapa, pembimbing, kaunselor dan macam-macam lagi.

Belum lagi beberapa tugasan sampingan lain yang tidak termasuk dalam tugas hakiki mereka seperti doktor bidan terjun, kerani, tukang kebun, tukang jahit dan sebagainya, semuanya dilakukan demi memberikan yang terbaik buat para pelajar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Cikgu jadi barber, doktor, mekap artis, naga” - Bukan niat menunjuk... guru senaraikan kerja di luar bidang tugas buat golongan yang tak nampak

ARTIKEL BERKAITAN: Siap sambut tangan guru nak langkah longkang, telatah pelajar comel ini curi tumpuan – “Dia pernah jadi atlet sekolah acara 4x100 meter!”

Bayangkan pula jika ditugaskan mengajar di kawasan pedalaman yang serba serbi mempunyai kekangan, sudah tentu tugas pendidik ini menjadi begitu mencabar.

Baru-baru ini, seorang guru di sebuah sekolah pedalaman di Sarawak berkongsi aktiviti yang dilakukan bersama anak-anak muridnya di Twitter, sekali gus mengundang rasa kagum ramai netizen.



Posting Cikgu Muhammad Nazmi yang menjadi tular di Twitter.

"I made a swimming pool using 200 pieces of plastic bags (Saya buat kolam renang dengan menggunakan 200 helai beg plastik). Ni la life cikgu-cikgu pedalaman. Apa-apa yang boleh di pakai, bedal saja pakai untuk mengajar," tulis guru berkenaan pada kapsyen perkongsian tersebut.

Sehingga kini ia meraih sehingga 10,700 retweet.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Nazmi Rosli berkata ketika itu dia sedang mengajar anak-anak muridnya mengenai 'peraturan'.

"Saya memilih nak mengajar peraturan di swimming pool sebab para pelajar tidak pernah ke swimming pool. Para pelajar di kawasan pedalaman kurang terdedah dengan dunia luar.

"Jadi antara pendekatan yang boleh diguna pakai oleh guru-guru adalah menggunakan bahan-bahan terbuang sebagai bahan bantu mengajar.



Antara aktiviti pengajaran menggunakan pendekatan Danger Room.

"Mengajar sekolah pedalaman memerlukan pendekatan yang berbeza, yang sesuai dengan kondisi di sini kerana tiada capaian internet, liputan telefon, catuan elektrik dan kekurangan fasiliti.

"Sebab ketiadaan kain berwarna biru untuk buat air, saya menggunakan plastik sampah yang ada dalam stok peribadi saya. Kaedah ini saya namakaan Danger Room, kaedah yang bukan sekadar menepati silibus dan memperkenalkan dunia luar kepada pelajar, tapi juga terapkan nilai-nilai murni," kata guru berusia 27 tahun ini.

Tambah guru ini, 'kolam renang' sebagaimana posting yang tular itu bukanlah aktiviti menggunakan bahan terbuang pertama yang dilakukannya bersama anak-anak murid.



Antara teknik pengajaran Cikgu Muhammad Nazmi bagi memberi lebih kefahaman kepada anak muridnya.

"Sebelum-sebelum ini juga saya pernah 'membawa' stesen kereta api, pantai, laundry shop, pet shop, dan banyak lagi ke dalam kelas menggunakan bahan-bahan terbuang," ujarnya yang berasal dari Lawas.

Bercerita lebih lanjut, Muhammad Nazmi yang sudah memasuki tahun keempat bertugas sebagai Guru Bahasa Inggeris di SK Long Sukang Lawas, mengakui cabaran yang dihadapi oleh guru di pedalaman bukan calang-calang.

Kena betulkan niat dan selalu positif, ingat ujian yang Dia pilih untuk letak di bahu kita, sebenarnya kita mampu pikul sebab Dia tak akan uji kita lebih daripada kemampuan kita.

MUHAMMAD NAZMI ROSLI

GURU

"Antaranya tiada internet, talian telefon, tiada elektrik, binatang buas, jalan balak beratus kilometer ke pekan terdekat... tetapi cabaran terbesar adalah motivasi kerana motivasi untuk mengajar mudah rapuh.

"Bayangkan ada anak isteri tersayang tapi cuma dapat call mereka dalam sebulan sekali sahaja, itu pun kena spend duit untuk pergi ke pekan-pekan terdekat.

"Cara atasinya adalah kena betulkan niat dan selalu positif, ingat ujian yang Dia pilih untuk letak di bahu kita, sebenarnya kita mampu pikul sebab Dia tak akan uji kita lebih daripada kemampuan kita," katanya.



Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2019.

Sungguhpun dikelilingi dengan cabaran yang menguji fizikal dan mental, guru ini berkata dia turut mengutip pelbagai kenangan manis sepanjang bertugas di sekolah berkenaan yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

"Kenangan manis antaranya adalah ketika PKP hari tu, sekolah ditutup dan semua sekolah pedalaman tak dapat nak sambung pembelajaran kerana tak dapat buat pembelajaran online. Jadi kami ambil inisiatif buat penghantaran kerja rumah dari kampung ke kampung.



Menghantar kerja rumah anak murid dari kampung ke kampung.

"Inisiatif yang begini sangat berat dan memenatkan... kampung ke kampung ratusan kilometer kepada 111 orang pelajar. Tapi bila tengok mereka lari-lari di sawah nak sambut kami datang bawa kerja rumah, rasa nak menangis tengok senyuman mereka. Sesuatu yang sangat berbaloi," ujarnya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Muhammad Nazmi turut menitipkan kata-kata semangat buat rakan guru yang juga bertugas di sekolah pedalaman.

"It is OK not to be the best, but at least we give our very best (Tak mengapa kalau tidak menjadi yang terbaik, tetapi sekurang-kurangnya kita memberikan usaha kita yang terbaik)," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain